Posted by: peribadirasulullah | Oktober 25, 2018

Mendaki Gunung Tujuh

Mata Lebah

Bimbingan Rohani Bersama Ihya Assunnah Solution

*Mendaki Gunung Tujuh*

*Ada tujuh* peringkat atau jalan yang perlu di lalui oleh setiap orang untuk berjaya menuju cinta dan keredhaan Allah. Kalau di ibarat jalan-jalan itu sebagai gunung, mereka yang berjaya mendaki ke tujuh-tujuh gunung ini, bermakna mereka telah dapat darjat orang bertakwa, dan layak mendapat syurga. Sebaliknya jika gagal melepasinya, ia akan kecewa di dunia dan di Akhirat.
Apabila Allah campakkan hidayah-Nya, hati kita sudah terbuka untuk islam, cinta dengan islam dan seronok melaksanakan perintah Allah. Firman Allah:
“Barangsiapa yang Allah kehendaki seseorang itu supaya diberi kepadanya petunjuk, nescaya Allah bukakan hati untuk islam.” (Al An’am:125)

Gunung-gunung yang perlu kita daki itu ialah:
1. Gunung ilmu
2. Gunung taubat
3. Gunung ‘Awa’iq
4. Gunung ‘Awa’iq
5. Gunung Bawa’ith
6. Gunung Qawadih
7. Gunung Hamdi Was-syukri

*1. Gunung Ilmu (‘Aqabatul Ilmu)*
Mempelajari ilmu tentang islam.
Sabda Rasulullah saw: “Barangsiapa yang Allah kehendaki ia akan kebaikan, maka Allah beri dia faham di dalam agamanya.”
(Bukhari&Muslim)

Ilmu dan ibadah itu adalah dua permata. Tetapi ilmu lebih utama kerana ia ibarat penyuluh. Dengan ilmu yang tepat, amal ibadah dapat dilaksanakan dengan sempurna. Sebaliknya tanpa ilmu, amal ibadah akan tertolak dan tidak diterima Allah.

Di atas gunung itu ada tiga cabang:
1. Ilmu Tauhid
2. Ilmu Fekah
3. Ilmu Tasawuf

*Ilmu Tauhid*
Ilmu tauhid yang wajib dipelajari ialah sekadar dapat mengesahkan iktiqad atau imannya. Iaitu dia mesti mengenal sifat wajib, mustahil dan harus bagi Allah dan Rasul dengan dalil naqli (Al Quran ) dan aqli (hujah akal) sekurang-kurangnya secara ijmali (ringkas )
Barangsiapa tidak belajar tauhid atau mengenal Allah dan Rasul sama ada secara tafsili (terperinci ) atau ijmali (ringkas ), iktiqadnya tidak sah dan amalannya akan tertolak. Dan di Akhirat akan tercampak ke neraka. Wal’iyazubillah

*Ilmu Fekah*
Sekurang-kurang ilmu Fekah yang wajib dipelajari ialah sekadar fardhu ain. Iaitu mengetahui sah dan batal nya ibadah, tahu cara sembahyang yang betul, tahu bagaimana bersuci, berpuasa, berzakat, haji, berpakaian, menyusun rumah tangga yang betul dan sebagainya.
Orang yang tiada ilmu Fekah sekadar fardu ain, tidak dapat menyuluh kehidupan lahirnya menurut apa yang dikehendaki Allah dan Rasul. Lalu dia akan menjadi orang yang berdosa disisi Allah setiap masa.

*Ilmu Tasawuf*
Ilmu Tasawuf ialah ilmu yang ada kaitannya dengan hati. Mengetahui sifat-sifat mazmumah atau sifat-sifat keji dan sifat-sifat mahu dah atau sifat-sifat terpuji di dalam hati.

*Apabila seseorang itu berjaya memiliki ketiga-tiga cabang ilmu itu, barulah dia dikira berjaya mendaki gunung yang pertama.*

*2. Gunung Taubat*
Bertaubat membersihkan diri dari dosa lahir dan batin. Allah tidak akan terima hadiah (amal bakti) kita, kalau kita masih bergelumang dengan dosa. Ibarat seorang yang hendak mempersembahkan hadiah kepada raja, tetapi badan kotor dan bernajis tidak mungkin dia dapat bertemu raja itu.
Dosa ada dua bentuk:
1. Dosa kita dengan Allah
2. Dosa kita dengan makhluk

*Dosa dengan Allah*
Dosa kerana meninggalkan segala kewajipan dan dosa kerana melakukan larangan Allah. Kedua-dua bentuk dosa ini mesti dibersihkan supaya amal bakti kita Allah terima.
Tiga syarat taubat:
1. Menyesal atas dosa-dosa kita
2. Tinggalkan perbuatan jahat itu
3. Berazam sungguh-sungguh tidak akan mengulanginya lagi.

*Dosa dengan makhluk* ada empat jenis:
1. Dosa yang ada hubungan dengan dirinya
2. Dosa yang ada kaitan dengan hartanya.
3. Dosa yang ada hubungan dengan keluarganya
4. Dosa yang ada hubungan dengan agamanya

Supaya terhapus dosa dengan manusia ada empat syarat taubat:
1. Menyesal atas dosa-dosa itu
2. Tinggalkan perbuatan tersebut
3. Berazam untuk tidak mengulanginya
4. Memohon maaf dengan orang yang kita berdosa dengannya

*3. Gunung Awa’iq*
Iaitu gunung yang *menghalang kita dari beribadah* dan melaksanakan ajaran islam:
. Dunia
. Manusia
. Syaitan
. Nafsu

*Dunia*
Ialah apa sahaja yang kita lihat semuanya cantik dan indah serta mengghairahkan. Apabila hati terpaut dengan dunia, kita akan lalai daripada ibadah dan berbuat kebaikan. Dunia merupakan penghalang yang menipu daya.
Firman Allah:
“Dan tidak ada kehidupan di dunia ini melainkan mata benda yang menipu daya semata-mata.”
(Al Hadid:20)

Kita kena lawan dengan zuhud. Seorang yang zuhud tidak akan terpaut dengan dunia dan tidak susah hati kalau hilang semua tu.

*Manusia*
Seperti sahabat, jiran, anak isteri kita, kalau tanpa didikan agama, sentiasa mengajak kita kepada kelalaian dan kejahatan.
Firman Allah:
“Yang membisikkan was-was (kejahatan ) ke dalam hati manusia adalah dari jin dan manusia.
(An Naas: 5-6)

Mereka menjadi penghalang untuk kita berbakti kepada Allah dengan sebaik-sebaiknya. Kita mengajak orang kepada kebaikan, mereka pula mengajak kepada kemungkaran.
Firman Allah:
“Hanya sanya harta kamu dan anak kamu adalah menjadi fitnah kepada kamu.”
(At Taghabun:15)

Dalam menghadapi halangan manusia itu, kita kena bersabar, kuatkan azam untuk berbuat kerana Allah dan berdoa meminta kekuatan daripada Allah.

*Syaitan*
Tentang syaitan Allah berfirman:
“Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.”
(Al A’raf: 22)

Cara syaitan menghalang kita dari beribadah kepada Allah ialah dengan menghasut-hasut hati kita. Syaitan boleh masuk dan mengalir dalam darah kita. Jadi untuk menyempitkan jalan syaitan dianjurkan kita supaya jangan terlalu kenyang, sebaik-sebaiknya selalu berlapar
Rasulullah bersabda:
“Makanlah ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang.”

Syaitan juga menghasut kita dengan meniti di atas sifat-sifat mazmumah yang ada pada hati. Sebaliknya orang yang benar-benar ikhlas dan bersih hatinya, tidak ada jalan bagi syaitan untuk menggoda dan menyesatkannya.
Maka untuk menghadapinya kenalah *belajar ilmu Tasawuf* bagi menyuluh hati kita. Kalau ada sifat-sifat mazmumah itu buanglah cepat-cepat dengan bermujahadah dan minta pertolongan dari Allah.

*Nafsu*
Juga sentiasa menghalang kita dari berbakti kepada Allah. Firman Allah;
“Sesungguhnya nafsu itu sentiasa mengajak kepada kejahatan.”
(Yusuf : 53)

Untuk mengekang nafsu yang menghalang kepada kebaikan itu mesti dengan *sifat Taqwa dan belajar ilmu Tasawuf.* Dengan ilmu Tasawuf kita dapat tahu bisikan hati kita, kalau bisikannya mengajak kepada kejahatan boleh di tolak cepat -cepat. Kalau bisikan mengajak kepada kebaikan, kena ikutkan dan di dorong untuk melaksanakannya.

*4. Gunung A’warid*
Iaitu *perintang* yang menghalang kita daripada beribadah kepada Allah, berbentuk godaan-godaan yang mendatang iaitu:
. Rezeki
. Khuatir
. Qada
. Musibah

*Rezeki*
Apabila kita asyik memikirkan dan mencari rezeki, kita ambil mudah dengan Allah, lewat sembahyang dan sebagainya.
Cara menghadapinya, hendaklah banyak *bertawakkal* kepada Allah (setelah berusaha). Selepas kita berusaha dan berikhtiar, kejayaannya kita serah kepada Allah

*Khuatir*
Iaitu bimbang yang bukan-bukan seperti takut datang sakit, takut apa yang berlaku di masa tua nanti, bimbang masa depan dan sebagainya.
Untuk melawannya hendaklah kita *berserah diri kepada Allah*. Allah lah yang menentukan masa depan kita, Allah lah yang tahu apa yang akan berlaku pada kita dan Allah lah yang mentadbir kita. Berbaik sangka sahaja kepada Allah dan serahkan diri kita bulat-bulat kepada Allah.

*Qadha dan qadar*
Adalah ketentuan Allah ke atas setiap perkara yang berlaku, sama ada perkara yang baik mahupun yang buruk. Kita terhalang daripada ibadah kerana hati kita sentiasa susah dan resah akan nasib kita dan terganggu kerana takut apa yang dihajati tidak tercapai.
Untuk mengatasinya ialah dengan mendatangkan rasa redha dengan ketentuan Allah. Sama ada senang atau susah, sihat atau sakit, pandai atau bodoh, kita redha menerimanya. Yang baik kita syukuri, yang menyusahkan kita sabar menghadapinya. Dengan itu moga hilanglah rasa susah hati kita.

*Musibah*
Apabila musibah atau bala bencana menimpa diri kita, timbullah rasa tidak sabar, resah, keluh kesah, susah hati dan rasa hendak marah.
Supaya musibah tidak mengganggu ibadah kita, kenalah kita sabar dengan musibah yang menimpa diri kita. Bila ditimpa musibah eloklah kita baca: “Dari Allah aku datang dan kepada Allah aku di kembalikan”.
Dengan itu hati akan tenang, tidak resah dan gelisah lagi dan mudahlah kita beribadah.

*5. Gunung Bawa’ith*
Ertinya pembangkit ibadah. Ia mendorong beribadah dan beramal bakti kepada Allah. Ada dua cabang:
1. Khauf
2. Raja’

*khauf*
Ertinya takut kepada Allah. Satu perasaan yang datang ke dalam hati seseorang. Contohnya datang perasaan takut bila terkenang neraka yang penuh azab yang maha dahsyat. Dengan rasa takut itu mendorong kita beramal dan meninggalkan larangan Allah.
Untuk mendapatkan rasa takut itu hendaklah kita ingat-ingatkan diri dengan hari akhirat, gambaran neraka dan contoh orang-orang soleh.
Allah merakamkan orang-orang yang takut dengan Allah melalui firman Nya:
“Hanya sanya orang-orang yang takut kepada Allah di antara seluruh hamba-hamba Ku ialah para ulama “..
(Al Fathir :28)

*Raja*
Bererti harap iaitu mengharap kepada Allah. Walaupun ibadah yang dilakukan itu susah, berat, tidak khusyuk dan tidak sempurna, kita berharap agar Allah menerimanya. Dengan adanya rasa harap kita tidak akan kecewa dan berputus asa dengan rahmat Allah.
Kita mesti dapatkan rasa harap untuk mendorong kita beribadah walau dengan apa cara sekalipun. Setelah kita beribadah dan beramal sungguh-sungguh kita bergantung harap bulat-bulat kepada Allah.

*6. Gunung Qawadih*
Gunung yang mencacatkan ibadah. Ia dikatakan mencacatkan ibadah kerana ia boleh meruntuhkan kesemua gunung yang kita daki.
Ada dua cabang:
1. Riya’
2. Ujub

*. Riya’*
Adalah berbuat sesuatu supaya disebut atau dipuji orang. Di Akhirat nanti siapa beramal riyak, Allah suruh orang itu meminta pahala dari orang yang di riya’kan nya.
Untuk hilangkan riya’, kita ikhlaskan sungguh-sungguh amalan kita semata-mata kerana Allah

*Ujub*
Ialah rasa hairan pada diri sendiri, rasa diri hebat, baik dan istimewa, rasa diri layak masuk syurga dan sebagainya.
Untuk buang rasa ujub, ialah bergantung kepada Allah, banyakkan istighfar dan rasa diri lemah serta sentiasa menyebut:
“Tiada daya dan upaya melainkan (dengan kuasa) Allah.”

*7. Gunung Hamdi Was-syukri*
Ia bermaksud sentiasa *memuji dan bersyukur* kepada Allah. Bersyukur dan memuji Allah di atas setiap nikmat.

*Hakikat Syukur*
Selain daripada mengucapkan ‘Alhamdulillah’, apa sahaja nikmat sama ada dalam diri atau luar diri, di gunakan untuk Allah bagi mendapatkan keredhaanNya. Misalnya:
Jika ada harta, kita korbankan untuk jalan Allah, membangunkan agama Allah dan sebagainya. Bila ada pangkat, wang ringgit, ilmu pengetahuan dan lain-lain, ia digunakan untuk mencari keredhaan Allah.
Tiada ertinya menyebut ‘Alhamdulillah’ jika wang ringgit yang banyak dihabiskan untuk berpoya-poya, main judi dan sebagainya.

Inilah tujuh gunung yang mesti dilalui oleh setiap orang. Jika kita berjaya mendaki ke tujuh-tujuh gunung itu, barulah kita selamat di dunia dan akhirat.

(Syarah dari kitab Minhajul Abidin karangan Imam Al Ghazali)

Bersama Mentarbiah Umat Manusia Ke Arah Kebaikan Dan Kebajikan Agar Menjadi Insan Terbaik Di Dunia Dan Akhirat.


Responses

  1. Reblogged this on Penyucian Jiwa.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: