Posted by: peribadirasulullah | September 11, 2018

15 Perkara Haram

 

D 4

15 Perkara Haram

Mencari rezeki yang halal adalah kewajipan setiap mukmin. Oleh itu Islam menuntut supaya umatnya berusaha bersungguh-sungguh, berdoa dan bertawakkal kepada Allah serta banyak bersabar dalam mencari rezeki kerana rahmat Allah adalah sangat luas dan Dia tidak akan mensia-siakan doa dan usaha hamba-Nya.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, pada hal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah, ayat 188).

Firman Allah bermaksud: “Hai para Rasul, makanlah daripada makanan yang baik dan kerjakanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kalian kerjakan.” (Surah Al-Mu’minun, ayat 51).

Jika seseorang mengambil makanan daripada sumber halal, adalah diyakini keimanan serta ketakwaannya akan bertambah kukuh, mantap dan kuat. Sebaliknya, jika seseorang itu memakan makanan haram, maka diyakini imannya akan lemah dan akhirnya terhakis daripada hatinya.

Rasulullah SAW menjelaskan orang yang mencari rezeki halal untuk memenuhi keperluan keluarganya sama seperti mujahid dan syuhada.  Baginda bersabda bermaksud: “Barang siapa mencari rezeki halal untuk menafkahi keluarganya, ia laksana mujahid (pejuang) di jalan Allah. Barang siapa mencari harta halal untuk menjaga diri dari keharaman, ia berada pada darjat syuhada (orang yang mati syahid).” (Hadis riwayat Muslim).

Dalam mencari rezeki dan kekayaan, ada ketikanya kita lupa untuk menyemak sama ada cara kita itu betul atau tidak berpandukan al-Quran dan Sunnah. Pentingnya keberkatan rezeki adalah ia menentukan kebahagian hidup manusia di dunia dan akhirat. Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya roh al-Qudus telah datang kepada aku memberitahu bahawa seseorang itu tidak akan mati selagi tidak sempurna rezeki Allah kepadanya. Maka takutlah kepada Allah dan berusahalah dengan baik; dan lambatnya datang sesuatu rezeki itu janganlah menjadi pendorong kepada kamu untuk melakukan usaha mencari rezeki berbentuk maksiat kerana sesungguhnya rezeki Allah tidak akan dapatdiperolehi melainkan dengan cara ketaatan.” (Hadis.Riwayat Ibn Majah dan at-Tabrani)

Menyentuh berkenaan rezeki pada minggu lalu oleh Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin menerusi Rancangan Pesona Dzahra disiarkan di radio Ikimfm, beliau memperincikan berkenaan tajuk Mengenal Yang Haram Dalam Rumahtangga.”

Memulakan bicara Ustaz Muhamad berkata makanan dan rezeki yang menjadi sajian kita akan mempengaruhi sikap, perangai, airmuka, hati, dan keseluruhan kehidupan. Sesungguhnya haram itu jelas, halal itu jelas dan antara keduanya ada benda-benda yang syubahah. Beliau seterusnya mengupas  15 perkara-perkara haram yg harus dihindarkan dalam rumahtangga bagi menjaga kesucian hati ahlinya serta keharmonian sesebuah rumahtangga.

 
Yang pertama adalah Riba. Allah SWT berfirman di dalam Al Quraan surah Al Baqarah ayat 275,  “Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhoyong-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berjual beli itu sama sahaja seperti riba”.  Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”

 

Kedatangan  Nabi Muhamad SAW telah menghapuskan amalan riba yang berleluasa.  Namun sistem riba telah kembali berleluasa pada Kurun 18 akibat tabiat berbelanja di luar kemampuan yang menyebabkan hutang. Wujudnya sistem hutang itulah yang mengakibatkan amalan riba. Justeru jauhilah amalan membazir yang menyebabkan seseorang itu jatuh kedalam beban hutang. Berbelanjalah mengikut kemampuan atau berusahalah mencari pendapatan tambahan seperti berniaga bagi memenuhi keperluan dan kehendak.

Seterusnya yang kedua adalah Judi. Menurut pandangan Islam, judi merupakan perbuatan yang dilarang dan haram dilakukan. Judi mengakibatkan banyak permusuhan dan kebencian disebabkan seperti pemain yang menang mendapat rezeki dan ganjaran tanpa berusaha, Menimbulkan permusuhan antara pemain judi, Menyia-nyiakan harta dan kekayaan dan menyebabkan peningkatan  pencuri, penipu dan perompak kerana mencari jalan singkat untuk mendapatkan wang untuk berjudi. Demikian itulah Islam mengharamkan perjudian yang merosakkan diri, keluarga dan masyarakat. Walaupun nilainya sedikit ia adalah perkara yang mesti dijauhi.

Begitu juga dengan memperoleh harta atau rezeki dari menjualan atau perniagaan yang benda tak pasti (Kharar) – contohnya memaajak kebun durian ketika berbunga, sedangkan belum pasti ianya akan menhasilkan  buah atau tidak.

Seterusnya yang keempat adalah Tipu Daya. Agama Islam yang suci menganjurkan supaya segala kegiatan urus niaga serta jual beli hendaklah dilakukan tidak hanya dengan niat semata-mata untuk memburu keuntungan komersial saja, tetapi apa yang ditekankan ialah dunia perniagaan mengambil kira kepentingan pengguna melalui kejujuran peniaga. Peniaga yang adil, jujur dan ikhlas akan diberi keberkatan serta hikmah. Sabda Nabi Muhammad SAW: “Adapun sebahagian daripada isi neraka Wail di akhirat kelak adalah terdiri daripada peniaga yang menipu atau mengurangi timbangan.” (Hadis riwayat Muslim) 

Benda-Benda rampasan yang diperoleh menerusi cara seperti meragut, merompak , atau  memeras ugut. Merampas hukumnya haram dan ia di kira sebagai salah satu dosa besar. Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya daging-daging yang dibesarkan dengan perkara yang haram, maka nerakalah yang lebih utama untuknya.” (Riwayat at-Tabrani) Orang yang berlaku zalim kepada orang lain, hakikatnya berlaku zalim kepada dirinya sendiri, kerana ia tidak akan terlepas balasan di dunia dan diakhirat.

Yang keenam adalah berlaku Zalim. Zalim beerti menahan hak. Contohnya menahan nafkah yang sepatutnya adalah hak isteri dan anak-anak. Allah SWT telah memberikan pesanan, agar manusia tidak menjadi kedekut dalam kehidupannya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka daripada kemurahan-Nya menyangka, bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka; bahkan ia adalah buruk bagi mereka. (Kelak) Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat.” (Ali Imran: 180). Ustaz menambah Allah SWT menggandakan harta dan rezeki yang ditunaikan haknya pada orang lain.

Berikutnya yang ketujuh adalah amalan Monopoli. Ustaz Muhamad memberi contoh peniaga yang menyimpan/sorok benda-benda keperluan asas seperti gula, beras dan lain-lain dengan tujuan menunggu harga barangan tersebut naik barulah dijual semula untuk keuntungan berganda-ganda.

Kelapan adalah Mencuri. Muhasabahlah sesekali dalam kita mengenalpasti rezeki atau harta yang berkemungkinan datang dalam bentuk mencuri atas hak orang lain. Walaupun nampak mudah, tetaapi contoh seperti mengambil sesuatu tanpa kebenaran tuannya juga dikira mencuri yang dikira haram. Umpamanya meminjam selipar untuk mengambil wuduk tanpa kebenaran tuannya. Yang kesembilan adalahPenipuan – tawar benda lain tapi jual benda lain. Kempen kebaikan ketika jualan walaupun kita tahu benda tu tak bagus (yg sebenarnya)

Seterusnya Rasuah. Rasuah merupakan salah satu dosa besar dalam Islam yang kerap berlaku dalam pelbagai bidang termasuklah dalam perniagaan. Sesetengah orang beranggapan dengan adanya rasuah dapat membantu mereka mendapatkan projek dan peluang perniagaan yang lebih luas dan memudahkan perjalanan projek mereka. Rasuah adalah pemberian yang dibuat bertujuan untuk mendapatkan sesuatu dengan cara yang salah atau bukan dengan cara yang sebenar. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Rasulullah s.a.w. bersabda “Dari Abdullah bin Amru katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda Allah SWT melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.”

Harta jumpaan atau barang yang dijumpai yang dipercayai tercicir atau hilang dan tidak diketahui pemiliknya adalah disebut sebagai luqathah. Antara hadis yang diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhani Radhiallahu ‘anhu, apabila Rasulullah SAW ditanya mengenai barang luqathah, Baginda bersabda, “Ketahui (amati) bekas dan pengikatnya, kemudian hebahkanlah dalam tempoh setahun, sekiranya kamu masih tidak mengetahui pemiliknya maka kamu boleh gunakan dan ia menjadi barang wadi‘ah padamu. Apabila datang pemilik untuk menuntutnya pada suatu hari setelah berlalu suatu jangka masa, maka berikanlah kepadanya.”(Hadits riwayat Muslim).

Justeru sekiranya menjumpai barang di tempat awam, seharusnya perlulah mengumumkannya kepada orang ramai dalam tempoh satu tahun. Dan menyimpannya apabila sekiranya masih tidak menemui pemiliknya atau tiada pemilik yang menuntutnya.Kemudian mengembalikannya sekiranya ada pemilik yang menuntutnya walaupun setelah berlalu suatu jangka masa atau berlalu tempoh satu tahun pengumuman.

Yang ke dua belas adalah perniagaan yang melibatkan secara jelas Urusniaga yang haram. Contohnya menjual atau membeli makanan yang sah haram seperti babi dan arak. Hasil perolehannya juga adalah haram disisi Allah.

Juga disebutkan rezeki yang haram oleh Ustaz Muhamad adalah harta yang diperoleh dari Upah Hasil Haramdari perbuatan atau perniagaan yang jelas maksiat dan terhina. Contohnya upah dari hasil melacur, memukul dan menganiaya orang serta yang berkaitan dengannya. Ianya hendaklah dijauhkan sama sekali oleh umat Islam.

Yang keempat belas adalah Pelaburan haram. Dalam mencari harta, seseorang muslim itu wajib melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan sebelum memulakan sesuatu usaha samada usaha untuk kehidupan di dunia mahupun usaha untuk akhirat. Ilmu akan memandu diri agar selamat daripada perkara-perkara yang dilarang oleh agama semata-mata untuk mengejar keuntungan dan kekayaan.

Manakala yang terakhir adalah Benda-benda yg memudaratkan iaitu hasilnya boleh memudaratkan diri dan mereka yang terlibat dalam perolehannya. Apa yang dapat disimpulkan dari perkongsian kali ini adalah Memakan makanan yang halal sangat dititikberatkan oleh Islam demi menjaga kesucian jiwa. Jiwa yang suci berasal dari fizikal yang suci dan melahirkan seorang manusia yang boleh berfungsi dengan optimum sesuai dengan fitrah dan amanah yang sudah Allah tetapkan untuk kita.

 

https://ikimfm.my/15-perkara-haram/


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: