Posted by: peribadirasulullah | Jun 9, 2017

Membentuk tabiat setia al-Quran

MALAYSIA #QuranHour atau pada mulanya dinamakan #MalaysiaNgaji bermula pada 2015, setelah dua tahun penubuhan Rumah Ngaji, iaitu pusat pengajian al-Quran secara percuma dicetuskan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf. Ia mengambil ilham daripada kempen membaca 10 minit yang dimulakan oleh Perpustakaan Raja Tun Uda, Negeri Selangor pada waktu itu. Hasil pengamatan dan pengalaman melaksanakan Rumah Ngaji pada waktu itu, apa yang didapati daripada 10 orang, sembilan orang tidak boleh mengaji dengan baik, apatah lagi memahami al-Quran untuk diamalkan. Pada masa sama, terdapat juga yang sudah bagus bacaan Quran tetapi masih ada ruang untuk memperbaiki diri.  Nilai-nilai daripada al-Quran dengan penanaman Tauhid berQuran, sepatutnya melahirkan buah akhlak. Tetapi, ada yang belajar Quran, tidak sensitif dengan kerapian dan kebersihan; kelas ditinggalkan dalam keadaan bersepah, tidak dipadamkan papan putihnya, bilik air kotor, kasar dan akhlak tidak mencerminkan nilai-nilai daripada al-Quran yang dibaca. Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff menjelaskan bagaimana misi kempen Malaysia #QuranHour mewujudkan persekitaran atau sebuah ekosistem agar kita berinteraksi dengan al-Quran melalui tiga perkara: Baca, Faham dan Amal. Kenapa hanya satu jam bersama al-Quran? Majoriti sasaran yang kami jumpa, orang yang sibuk bekerja dan menjalani hidup sehingga membuatkan mereka jauh daripada al-Quran.  Sedikit demi sedikit meninggalkan al-Quran kerana sibuk.  Ada yang terakhir khatam berpuluh tahun dahulu dan setelah itu tidak lagi membuka Quran.  Ada juga yang baru berjinak-jinak.  Ramai juga yang kami jumpa melihat al-Quran hanya setakat memperelok bacaan tetapi bukan dalam pendekatan memperindah akhlak atau apatah lagi menjadikan al-Quran dasar dan panduan penting keluarga, organisasi dan komuniti. Maknanya, kita sentiasa ada ruang untuk terus melakukan pembaikan berterusan. Justeru, satu jam bersama al-Quran hanyalah sebuah permulaan.  Permulaan yang perlukan kesabaran dalam mengajak dan menasihati. Satu jam yang kami isi dengan talaqi untuk mengikut guru membaca beramai-ramai, memahami isi dan inti daripada al-Quran dan ‘call to action’, ajakan atau seruan untuk terus melahirkan nilai baik daripada al-Quran yang kita baca.  Kalau Quran kata kita perlu bagi makan orang miskin, maknanya kita perlu usaha untuk lakukan segera. Kempen kami bukan satu jam baca Quran setahun.  Malaysia #QuranHour pada 24 Ramadan ini yang bersamaan 19 Jun 2017 dan World #QuranHour pada 9 Zulhijah yang insya-ALLAH bersamaan 31 Ogos 2017 hanyalah momentum atau proses membentuk tabiat agar setia dengan al-Quran sepanjang nyawa, 365 hari setahun melalui kempen berterusan My #QuranHour. Apakah kempen ini bersifat ‘one off’? Ada orang yang tidak faham, merasakan kempen ini hanya bersifat ‘one off’.  Ada yang tidak faham merasakan kita baca Quran masa kempen berjalan sahaja. Hakikatnya kita berkempen agar setiap hari kita baca Quran, di mana sahaja dan mencari guru untuk terus mempertingkatkan hidup bersama Quran.  Kita juga berkempen agar al-Quran menjadi manual kehidupan kita semua. Apa yang cuba diwujudkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas adalah persekitaran atau ekosistem agar kita mula berinteraksi dengan al-Quran (Baca, Faham, Amal) al-Quran sehingga terlahir karakter Muslim sejati melalui tiga upaya utama kami iaitu: Rumah Ngaji, #QuranHour dan Sahabat Quran. Boleh kongsikan kesan pelaksanaan atas kempen yang dijalankan setakat ini? Pada tahun lepas, setelah pelaksanaan World #QuranHour kali pertama, kami mendapat pertanyaan apakah kempen ini bermula dari negara Arab.  Ada juga pensyarah dari Madinah yang menyampaikan rasa teruja kerana inisiatif al-Quran hidup di sini melalui usaha membawa al-Quran ke seluruh dunia ini.  Alhamdulillah, sebuah kesyukuran yang besar kepada ALLAH SWT. Kali pertama kami mengadakan #MalaysiaNgaji pada tahun 2015, kempen ini kami lancarkan di Makkah melalui Street Dakwah yang kami jalankan di sana.  Kami bermula di Makkah kerana ia bumi al-Quran diturunkan.  Ini menjadi motivasi kepada tim kami yang ingin menggerakkannya, tiada niat selain itu. Tahun kedua pelaksanaan #MalaysiaNgaji, kami dapati daripada laporan statistik di media sosial, mulai ramai yang kongsikan tentang program ini iaitu 3,000 shares dan 21 juta impressions. Selain penglibatan dari Malaysia, rakyat Malaysia di sembilan negara luar ikut sama termasuk di Makkah.  Pada waktu yang sama, rakyat Indonesia dan Singapura ikut memulakan #QuranHour di peringkat negara masing-masing.  Sebuah kebersamaan dengan al-Quran yang sangat indah, kami kira. Bersatu dalam lautan al-Quran dan mengambil nilai-nilai mulianya agar dijadikan landasan hidup. Kesan daripada Malaysia #QuranHour atau #MalaysiaNgaji inilah lahirnya World #QuranHour kerana kami menerima banyak maklum balas positif. Alhamdulillah, syukur pada ALLAH yang telah mengizinkan semua ini berlaku, termasuk penglibatan 50 negara luar sebelum ini dengan bantuan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kementerian Pelajaran Malaysia, Madrasah Tahfiz Sulaimaniyyah dan individu yang membantu. Apakah sasaran Malaysia #QuranHour? Malaysia #QuranHour yang akan dijalankan pada 24 Ramadan 1438H tahun ini yang bersamaan dengan hari Isnin 19 Jun 2017, menyasarkan untuk mengumpulkan lebih ramai rakyat Malaysia yang berada di dalam dan luar negara, termasuk yang sedang mengerjakan umrah untuk sama-sama berhenti sejenak daripada segala aktiviti lain dan memperuntukkan minima satu jam bersama al-Quran antara jam 12 tengah hari hingga 1 petang mengikut waktu tempatan negara terbabit. 24 Ramadan dipilih bagi melakukan pecutan 10 hari terakhir Ramadan dengan ketetapan waktu yang dicadangkan bagi memudahkan koordinasi program di seluruh dunia.  Walau bagaimanapun, ada lokasi penganjuran yang bermula lebih awal. Apa hasrat pihak penganjur? #KitakanIslam.  Kita buat sama-sama kerana ALLAH.  Kami hanya berusaha mencetus dan gerakkan usaha ini semampu kami dan sejujurnya tiada daya melakukan semua.  Apatah lagi dari sudut tenaga, kepakaran atau dana. Semoga dengan visi yang sama, kita saling mengukuhkan diri, keluarga, negara dengan kembali kepada ALLAH.  Berikan apa yang ada, daripada ummah untuk ummah.  Moga ianya menjadi tanggungjawab bersama. Namun kami siap untuk berkongsi sedikit pengalaman yang kami ada sekiranya diperlukan.

Read more at: https://www.menara.my/membentuk-tabiat-setia-al-quran/


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: