Posted by: peribadirasulullah | Februari 28, 2017

Penyucian Jiwa

Image may contain: flower, nature and text

*MILIKILAH HATI YANG BERSIH*

Islam merupakan agama yang sempurna dari semua segi. Dalam urusan duniawi dan ukhrawi. Hal ini diterangkan di dalam al-Qur’an dalam surah Surah Al-Maidah, ayat 3:

‎*الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًاٌ*
“Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu”.

Namun apabila agama Islam tidak lagi menjadi pegangan dan panduan umatnya, maka ideologi yang akan menjadi penggantinya. Ideologi itu pula ada yang sudah tersedia tersusun dan terhimpun sebagai satu fahaman politik.

Namun sebenarnya apabila ideologi itu bukan wahyu yang menjadi pegangan dan panduan maka hidup seseorang itu dengan apa yang difikirkannya maka itulah ideologi tanpa nama agama.

Untuk mengekang nafsu buas dan rakus dan menolak segala ideologi sama ada berbentuk isma-isma atau ideologi sendiri, sekaligus dapat mempertautkan hati sesama umat Islam tanpa mengira batas sempadan golongan, puak, kedudukan, bangsa, asal usul, keturunan dan negara dan lainnya.

Agar umat Islam memiliki jiwa yang bersih, maka ia perlu memiliki ciri-ciri seperti berikut:

*1. RASA KEHAMBAAN.*
Berusaha bersungguh dan istiqamah (berterusan) memperolehi atau mencapai rasa kehambaan yang mendalam. Benar-benar mengenali diri kita adalah hamba yang dicipta oleh Allah SWT.

Seiringan dengan itu tidak lekang pula rasa berTuhan yang tinggi, kenal Allah SWT hingga ke peringkat merasai keagungan, kebesaran, kehebatan Allah SWT. Biarpun tidak dapat dicapai dalam tempuh yang singkat namun inilah matlamat hidup manusia yang sebenar. Matlamat ini yang mesti diburu, dikejar dan diusahakan hingga akhir hayat.

*2. INGAT HARI AKHIRAT.*
“Dunia ini adalah tanaman akhirat”. Ertinya segala amalan, pekerjaan, perlakuan dan gerak geri sepanjang hidup ini hanyalah disifatkan sebagai menanam sahaja. Akhirat merupakan tempat memungut hasil.

Apa yang bakal dikutip di akhirat nanti sama ada pahala atau dosa, sama ada syurga atau neraka, bergantung kepada apa dan bagaimana kita menanam di dunia.

*3. PERASAAN BERDOSA KEPADA ALLAH SWT.*
Imam As Shafie menghitung dosanya sebanyak biji pasir di Padang Sahara dan dirinyalah orang yang paling banyak dosa.

Seorang ahli sufi mengira jumlah dosanya hitung panjang sepuluh dosa setiap hari. Dia hidup selama enam puluh lima tahun. Dikira dosanya bermula pada usia lima belas tahun. Maka jumlah dosanya ialah 10 x 365 x 50 = 182,500. Satu hari di akhirat sama panjangnya dengan seribu tahun mengikut ukuran dunia. Andainya setiap satu dosa itu Allah SWT hukum sehari masuk neraka, maka 182,500 dosa itu di darab dengan seribu lantas ahli sufi itu menjerit, jatuh pengsan dan terus mati.

Alangkah indahnya hidup bermasyarakat apabila setiap orang lebih memikirkan dosa dan kesalahan sendiri. Rasa berdosa itu tidak memberi kesempatan dan tidak ada ruang untuk dirinya memikirkan kejahatan dan cacat cela orang lain. Jauh sekali hendak menyakiti, menindas dan menzalimi orang lain. Malah diganti dengan penuh kasih sayang dan cinta mencintai.

*4. LEBIH MENGUTAMAKAN ORANG LAIN.*
Sekumpulan tentera Islam yang cedera parah dari satu peperangan sedang berbaring untuk menerima layanan dan rawatan. Salah seorang merintih kehausan. Pelayan membawa segelas air. Sebaik saja gelas hampir mencecah mulutnya kedengaran pula seorang lain yang juga merintih kehausan. Ditolaknya gelas tersebut sebagai isyarat untuk diberi kepada orang itu. Begitu juga yang berlaku, ada suara mahukan air lalu ditolaknya untuk diberi kepada orang itu pula.

Perkara yang serupa juga terjadi kerana adanya suara kehausan daripada tentera yang baru tiba. Ditolaknya air itu untuk orang baru itu. Tetapi yang baru tiba itu telah meninggal dunia sebelum sempat meneguk air. Lalu pelayan kembali membawa kepada yang pertama, pun telah mati, yang kedua pun menghembuskan nafas terakhir, yang ketiga pun telah meninggal dunia. Segelas air itu tidak sedikit pun membasahi tekak mereka.

Begitulah secebis kisah betapa para sahabat yang berjiwa luhur, di saat nyawa hampir melayang pun masih sempat berbakti dan mengutamakan orang lain. Mereka tidak langsung adanya kepentingan diri. Bukan keselesaan hidup yang tergugat, bukan kesenangan hidup yang tergugat, bukan harta benda yang tergugat, malah di saat nyawa tergugat pun masih meletakkan orang lain lebih utama dan berharga. Orang lain lebih layak diberi peluang untuk menyambung hidup.

*5. MENUTUP AIB SAUDARANYA.*
Memiliki jiwa bersih bukan sahaja tidak mengorek ngorek, tidak mengintai dan mengintip, tidak mencari cari kesalahan saudaranya, malah kesalahan yang terlanjur pun diusahakan untuk menutupinya.

Ini bukan bererti bersubahat dan menyetujui perbuatan jahat saudaranya itu tetapi tidak dijaja, tidak disebar dan tidak diberitahu kepada orang lain, kecuali kalau terpaksa dengan maksud untuk membaikinya, maka diadukan kepada orang tertentu umpamanya qadhi atau pemimpin.

Kalau pun terpaksa didedahkan, itu pun menurut kaedah yang diharuskan oleh syariat seperti untuk pendakwaan atau penghakiman yang sangat terbatas kepada orang-orang tertentu.

Bukannya tersebar hingga orang buta dan orang pekak pun turut tahu. Anak-anak kecil yang belum mukallaf pun sudah mengenal kemungkaran orang lain. Kesalahan orang lain yang dipandang berat itu pun andainya berlaku berulang kali akan sangat memberi kesan buruk kepada kepentingan masyarakat. Kesalahan yang sekadar sekali, mungkin terlanjur tidak boleh lawan nafsu maka diharapkan yang empunya diri akan sedar dan insaf sendiri dan membaiki kesalahan tersebut tanpa melibatkan orang lain.

Rasulullah SAW bersabda : “Barangsiapa membela (menjaga nama baik/kehormatan) saudaranya tanpa kehadirannya maka Allah akan membelanya di dunia dan di akhirat.” (HR. Al-Baihaqi).

Hati merupakan anugerah Allah SWT yang amat berharga, semua manusia dikurniakan sejenis hati yang sama pada zahirnya. Namun, sebersih dan seputih mana hati itu dijaga oleh pemiliknya yang bernama insan….manusia @ insan yang penuh dgn kelemahan. Maka perlulah kita setiap saat memohon hidayah agar sentiasa diberi petunjuk. Jika kita lihat, ulama dan ahli sufi, bermujahadah tinggi sehingga jiwa mereka bersih dari kesan kotoran. Marilah kita sama-sama pujuk hati kita agar jangan biarkan hawa nafsu menguasai kita, tapi biarlah kita yang menguasai nafsu.

“Ya Allah, kuatkanlah hati kami dan umat Islam seluruhnya, bersihkanlah hati kami, jauhkanlah ia dari bisikan syaitan, berilah ia petunjukMu sepanjang masa, peganglah ia, luruskanlah ia menuju jalan keredhaanMu.
Aamiinn Yaa Robbal ‘Aalamiin !!!!!

Wallahu A’lam.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: