Posted by: peribadirasulullah | November 25, 2016

Ibadah bentuk jati diri Muslim

Kewajipan ibu bapa bentuk akhlak anak dengan mengutamakan solat berjemaah

Akhlak anak mudah terarah dan dibentuk melalui penghayatan ibadah mereka. Malah, sabda Nabi Muhammad SAW sewaktu menegaskan tujuan Baginda diutuskan adalah demi membentuk keperibadian akhlak dan personaliti unggul.
Justeru, ibadah yang menjadi kewajipan kepada kita khasnya ibadah khusus adalah titik tolak kepada pembentukan personaliti dan sahsiah murni. Tugas kita sebagai ibu bapa adalah memahami pembentukan akhlak yang terhasil daripada ibadah seperti solat, puasa, zakat dan haji.
Andai saja setiap dari kita memahami dan menghayati mesej ibadah solat, sudah tentu kita mengakui kita memerlukan solat untuk menjadi pembimbing dan pendinding kerana kehinaan manusia terpancar apabila mereka meninggalkan solat.

Memanglah ibadah itu perintah Allah SWT, tetapi manfaat daripada seluruh perlakuan ibadah ini akan kembali kepada manusia juga.

Ajak anak lakukan ibadah

Menganjurkan dan mengajak anak melakukan ibadah adalah satu aspek penting selain mendidik mereka menghayati serta mengambil mesej pembentukan personaliti daripada setiap ibadah itu.

Contohnya, solat lima waktu sehari semalam mengajar kita mengenai pengurusan masa.
Waktu solat yang mempunyai tempoh tertentu menjelaskan kepada kita akhlak Muslim adalah menjaga, mengurus serta menghormati waktu dan penuhi hak urusan pada waktunya.

Sebelum solat kita perlu memastikan diri bersih daripada segala najis, ia mengajar menjaga kebersihan diri, tempat tinggal dan sekeliling. Peribadi Muslim sebenar ialah mencintai kebersihan kerana kebersihan itu sebahagian daripada iman.

Solat setiap hari dan dilakukan secara berulang-ulang memberi mesej kepada kita, latihan yang berulang-ulang adalah tuntutan untuk memahirkan diri dengan sesuatu perkara dan tidak mudah berputus asa.

Solat juga mementingkan kualiti yang menentukan khusyuk, maka peribadi murni akan sentiasa mengutamakan fokus dalam melakukan sesuatu. Niat menunaikan solat menjadikan kita seorang yang mempunyai matlamat serta hala tuju dalam hidup.

Keindahan solat berjemaah

Keindahan solat berjemaah membolehkan kita bersosial dengan ahli masyarakat serta menjalinkan silaturahim. Hubungan sesama manusia perlu dihiasi perasaan saling hormat menghormati serta bekerjasama melakukan sesuatu perkara.

Jemaah juga perlu patuh kepada ketua, tertib dan adil menegur ketua selain memberi contoh yang baik. Sifat saling bekerjasama menjadikan perkara berat jadi ringan dan pada masa sama memperkukuhkan ikatan persaudaraan sesama Islam.

Daripada ibadah solat saja, banyak nilai baik dapat diterapkan untuk membina keperibadian mulia yang seharusnya dimiliki setiap individu Muslim. Sabda Rasulullah SAW, solat mencegah daripada perkara keji dan mungkar.

Andai saja setiap dari kita memahami dan menghayati mesej ibadah solat, sudah tentu kita mengakui kita memerlukan solat untuk menjadi pembimbing dan pendinding kerana kehinaan manusia terpancar apabila mereka meninggalkan solat.

Anak tidak mengendahkan ibu bapa kerana mereka lalai dalam solat, suami isteri tidak aman kerana meninggalkan solat. Maha suci Allah yang telah mengarahkan kita dengan perintah ibadah solat demi memunculkan peribadi mulia maka rugilah kita kerana tidak memahami anugerah hebat Allah SWT ini.

Ini baru berkisah kepada hikmah diperintahkan Allah SWT untuk menunaikan solat yang disampaikan sendiri kepada Rasulullah SAW semasa peristiwa Israk Mikraj. Sebenarnya, setiap perintah agama, matlamatnya membentuk manusia yang memiliki keperibadian mulia.

 


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: