Posted by: peribadirasulullah | Januari 3, 2016

Bagaimana iman kita di tahun 2016 ?

Mahadi Razak's photo.

Tahun baru dan bagaimana iman kita?

Persoalan,

Apabila ditanya kepada saya, “Bagaimana seseorang itu mengetahui bahawa hatinya telah terbuka (beriman kepada Allah)?”

Maka saya menjawab: Al-Quran telah menjawab persoalan ini dengan menerangkan tanda-tanda mereka yang beriman dan isyarat yang membenarkan diri mereka itu beriman kepada Allah S.W.T.

Pertama, apabila dibacakan kepada mereka al-Quran atau ketika mereka sendiri membaca kalam suci ini hati mereka berasa gentar, takut, bergetar dan terkesan dengan ayat-ayat Allah S.W.T. Allah berfirman di dalam surah Al-Anfal ayat ke-2 yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.” (Al-Anfal : 2)

Kedua, hati mereka khusyuk, tenang, terasa lapang apabila berzikir dan mengingati Allah. Berkata Ibn Qayyim di dalam kitab beliau, Madarij As-Salikin bahawa kalimah khusyuk bermaksud ketenangan, rendah diri, tunduk, berasa kurang dan hina (dihadapan Allah) berdasarkan ayat;

“dan diam khusyuklah segala suara kepada Allah” (Taha : 108)

Bahkan mereka yang beriman ini bukan sahaja khusyuk ketika solat, membaca al-Quran, berzikir, dan berdoa semata, tetapi pada setiap masa dalam keadaan kesempitan dan kesenangan. Allah S.W.T berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik (derhaka).” (Al-Hadid : 16)

Ketiga, mereka merasakan lazatnya kemanisan Iman, kelazatan yang tidak akan dapat dirasai kecuali kepada mereka yang mempunyai ciri-ciri yang telah disebut di dalam hadis Nabi S.A.W:

“Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Ada tiga hal, yang jika tiga hal itu ada pada seseorang, maka dia akan berasakan manisnya iman. (Iaitu) Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selain keduanya; mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah; benci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkan darinya, seperti bencinya jika dicampakkan ke dalam api.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Suka untuk saya petik kata yang dari seorang penyair Tunisia, Ahmad Mukhtar al-Wazi, ketika beliau menggambarkan sosok tubuh jiwa yang bersih dan beriman kepada Allah:

“Tenang dalam diamnya, tetapi lebih jelas dari orang yang berbicara”

Itulah tanda keimanan yang sebenar (berdasarkan syair di atas). Petanda keimanan itu adalah seorang yang pendiam, selalu berfikir, merunung dengan tenang, tidak banyak bicara dan menjauhi gurauan yang melalaikan, akan tetapi kalamnya (ketika dia berkata-kata) dilipiti oleh wibawa yang berpengaruh, dan keindahannya benar-benar menyentuh hati.

Iman adalah kunci segala kebaikan dan kejayaan

Apabila kita membicarakan tentang Iman sebenarnya kita membicarakan tentang segala kebaikan dan kunci kepada kejayaan. Mustahil untuk mengatakan bahawa orang itu beriman tetapi tiada padanya kebaikan. Orang yang beriman pasti melakukan kebaikan. Tetapi tidak semua orang yang melakukan kebaikan itu beriman. Kerana Iman dipandu oleh niat yang ikhlas serta perlaksaan yang bertepatan dengan syarak.

Ini bukan satu perkara yang direka oleh saya. Bahkan telah disebut di dalam al-Quran tentang perkara ini.

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara), Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.” (Al-Ahzab : 70-71)

Sayyid Qutb telah menafsirkan ayat ini dengan mengatakan bahawa; Al-Quran mengarahkan orang mukmin agar berkata benar dan kalam yang baik yang dapat menuntun kepada amal kebaikan. Kerana Allah pasti menjaga orang-orang yang benar, menuntun langkah mereka dan memperbaiki amalan mereka. Ketaatan kepada Allah merupakan kemenangan tersendiri. Taat kepada Allah dan Rasul-Nya telah menjanjikan balasan yang tersendiri iaitu kemenangan sebelum hari hisab (di dunia) dan kenikmatan dan anugerah di hari akhirat.

Ini dikukuhkan lagi dengan hadis Nabi S.A.W yang bermaksud:

“Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah mereka yang paling baik akhlak dan pelakuannya” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Barang sesiapa yang menginkan kebaikan dan kejayaan maka seharusnya mereka beriman kepada Allah. Dan sesungguhnya apabila cahaya keimanan memasuki jiwa seorang mukmin, maka akan hilang segala kegelapan dan kejahatan serta membakar segala nafsu syahwat.

Manifestasi Iman yang lemah,

Petanda iman yang lemah dapat saya simpulkan kepada 4 perkara berikut; pertama, malas untuk bangun menunaikan Solat Subuh di masjid. Kedua, melambat-lambatkan solat lima waktu. Ketiga, tidak beriltizam (merajinkan diri) dengan ibadah sunat. Keempat, apabila membaca Al-Quran hanya pada lisan dan tidak mengesani hati (seperti yang telah saya sebutkan pada awal penulisan ini).

Ini tidak termasuk segala kejahatan dan segala kebarangkalian yang tidak baik yang akan menimpa kepada orang tidak enggan beriman kepada Allah ta’ala. Malah telah disebutkan di dalam al-Quran tentang kepayahan yang menimpa orang yang tidak beriman serta azab seksa yang ditimpan umat terdahulu yang melanggar perintah-Nya. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara. Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit,” (Taha : 123-124)

Tiada jalan tengah antara dua,

Tidaklah mereka itu mendapat hidayah dan petunjuk melainkan berimankan kepada Allah. Sesungguhnya manusia itu diberikan ‘ujian’ atas dua perkara; beriman kepada Allah dan mengikut jalan Nabi SAW atau berpaling dari Allah dan mengikut hawa nafsu mereka. Inilah dua jalan yang dihidangkan kepada manusia dan tiada jalan tengah, la thalath lahuma.

Samada memilih untuk beriman kepada Allah, dan mereka akan mendapat hidayah, petunjuk, kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan akhirat, atau memilih untuk kufur kepada Allah, mengingkari Allah, dan mereka akan terus berada di dalam kesesatan, kepayahan, kesempitan hidup di dunia dan azab yang pedih di akhirat.

Oleh sebab itu diajarkan manusia ilmu mengenal Allah, diutuskan padanya Nabi, diturunkan padanya al-Quran sebagai pentunjuk dan panduan hidup sepanjang perjalanan. Hanya dengan Iman mampu menjadikan manusia hamba yang taat dan patut kepada Allah serta bermanfaat kepada manusia. Dan kini menjelang tahun baru, bagaimana keadaan Iman kita?

Rujukan:

Al-Aqaid Al-Islamiyah, Sayyid Sabiq

Fi Zilal Al-Quran, Sayyid Qutb

Al-Iman, Prof Dr Muhammad Nua’im Yasin

Al-Iman Awwalan Fa Kaifa Nabda’ Bihi, Dr Majdi Al-Hilali

Ar-Raqaiq, Abu Ammar

Afifi Saleh bin Abdul Rahman
Ketua Biro Media ISMA Jordan

http://www.ismajordan.net/…/tahun-baru-dan-bagaimana-iman-…/

☛  ihyaassunnah68@gmail.com

https://www.facebook.com/IHYA-Assunnah-1184250164973202/?ref=aymt_homepage_panel


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: