Posted by: peribadirasulullah | Ogos 19, 2015

Menjadi Insan Pilihan Allah SWT

Kehadiran Habiballah berbeza daripada kehadiran Hakikat Muhammadiah dan Insan Kamil. Hakikat Muhammadiah dan Insan Kamil membawa makrifat tentang urusan dan pentadbiran Tuhan. Habiballah pula memperingatkan si hamba tentang kedudukannya sebagai manusia yang hidup di atas muka bumi, di dalam dunia, mempunyai tugas untuk dilaksanakan. Kehadiran Habiballah membawa si hamba menyaksikan seorang insan yang paling sempurna bergelar kekasih Allah. Insan tersebut adalah Nabi Muhammad s.a.w, manusia maksum yang tidak pernah melakukan kesalahan. Inilah manusia yang paling baik untuk dijadikan contoh teladan. Selagi belum sesuai dengan Sunah baginda s.a.w selagi itulah pencarian belum berakhir. Jangan menyangka orang yang asyik dengan Hakikat Muhammadiah dan Insan Kamil itu telah mencapai kesempurnaan. Kesempurnaan yang sebenar telah ditunjukkan oleh seorang manusia yang telah menerima dengan lengkap, penuh dan sempurna segala bakat dan keupayaan yang tersimpan pada  Hakikat Muhammadiah dan Insan Kamil. Nabi Muhammad s.a.w, Muhammad bin Abdullah yang berbangsa Arab, itulah cermin yang sempurna bagi Hakikat Muhammadiah dan Insan Kamil. Jika ada orang mendakwa dirinya bermakrifat dengan Hakikat Muhammadiah dan Insan Kamil sedangkan dia berada pada jalan yang berbeza daripada jalan Nabi Muhammad s.a.w, sesungguhnya dakwaan orang itu adalah tidak benar. Orang berkenaan telah diserkup oleh kekeliruan di suatu peringkat dalam perjalanannya. Pencariannya belum berakhir. Kebenaran yang sejati belum ditemuinya. Mungkin kesan kefanaan dan mabuk belum terhapus sepenuhnya daripada hatinya.

 Tanda seseorang itu belum pulih daripada kefanaan, mabuk dan kebaqaan adalah dia masih mencari-cari hakikat dirinya, makam dirinya dan mengintai-intai kalau-kalau namanya ada dalam senarai wali-wali agung. Dia masih lagi melihat hakikat dirinya pada makam ketuhanan, masih dikuasai oleh suasana Ilmu dan dia tidak berselera melakukan amalan syariat. Dia masih lagi dalam keadaan menanti-nanti sesuatu yang dia sendiri tidak tahu apa yang dinantikannya. Orang seperti ini perlu mengucapkan salawat banyak-banyak, mudah-mudahan dia mengenali Muhammad Habiballah yang sebenarnya. Bila Muhammad Habiballah sudah dikenali, maka semua pengalaman kerohanian yang sudah dilalui akan menjadi kenangan manis. Ia menjadi modal bagi seseorang mencari keuntungan di dalam syariat. Syariat adalah medan perniagaan yang luas. Modal yang tidak dilaburkan di dalam syariat tidak akan berkembang. Lama kelamaan modal tersebut akan kehabisan.

 Ada orang yang telah mengalami hakikat mendapati sukar untuk masuk semula kepada syariat. Sekalipun mereka tidak membuang syariat mereka lebih suka ‘membawa diri’ daripada menyertai kegiatan orang ramai seperti yang dianjurkan oleh syariat. Ada di antara mereka yang tidak bersembahyang Jumaat bersama-sama dengan orang ramai. Mereka tidak mencegah kemunkaran yang berlaku di hadapan mata mereka. Mereka tidak mengajak orang lain kepada yang makruf. Sikap menyepi diri biasa ditemui pada orang yang melalui jalan hakikat.

 Dalam perjalanan menaik seseorang itu mengalami keadaan fikirannya menjadi tidak aktif, kehendaknya menjadi lemah dan perhatian terhadap diri sendiri dan orang lain menjadi berkurangan. Dia kemudian sampai kepada satu tahap di mana semua itu tidak berfungsi seperti biasa. Segala-galanya hilang daripada kesedarannya, yang ada hanyalah Allah s.w.t. Dia hanya inginkan Allah s.w.t, ingatkan Allah s.w.t dan kasihkan Allah s.w.t. Hal ini meninggalkan kesan yang lama pada hati walaupun dia telah kembali kepada kesedaran kemanusiaan. Hati yang sudah dipenuhi dengan Allah s.w.t sukar menerima kehadiran yang lain, yang dirasakannya mencabar kedudukan Allah s.w.t dalam hatinya. Dia bimbang dengan memberi perhatian kepada makhluk akan berkurangan perhatiannya kepada Allah s.w.t. Suasana begini sukar diperbetulkan. Ia memerlukan kehadiran suasana yang lain yang lebih kuat baharulah hatinya tunduk dan menyerah kepada suasana baharu yang lebih kuat itu.

 Kehadiran Habiballah memainkan peranan penting dalam menolak seseorang ahli hakikat ke dalam syariat secara menyeluruh. Tidak ada manusia yang kasihkan Allah s.w.t melebihi Nabi Muhammad s.a.w. Tidak ada manusia yang memberi perhatian kepada Allah s.w.t melebihi Nabi Muhammad s.a.w. Kasih dan perhatian Nabi Muhammad s.a.w kepada Allah s.w.t tidak menutup kasih dan perhatian baginda s.a.w kepada makhluk Allah. Kesibukan baginda s.a.w melayani orang ramai tidak menyebabkan baginda s.a.w lalai daripada mengingati Allah s.w.t. Pada yang demikian tersembunyi rahsia besar. Bagaimana hati yang mempunyai satu muka boleh berhadap kepada dua perkara dalam satu masa. Inilah yang dinamakan rahsia syariat. Syariat mengajar manusia mengenali Yang Esa melalui dua perkara yang berlawanan. Manusia yang mempunyai akal, hati dan dua aspek yang berlawanan pada dirinya, seperti kanan dengan kiri, menjadi bekas yang paling sesuai menerima syariat. Malaikat yang diciptakan dengan satu aspek sahaja, iaitu tidak ada lelaki dan perempuan juga tidak ada kanan dan kiri, tidak sesuai menanggung syariat. Manusia yang mempunyai dua nilai yang bertentangan pada dirinya boleh mengenal Tuhan melalui nilai-nilai tersebut. Semakin manusia menggunakan bakat dan nilai yang ada pada dirinya semakin dia mengenal Tuhan. Menggunakan bakat dan nilai yang ada pada diri merupakan sebaik-baik jalan untuk mengenal Tuhan. Tuhan dikenali kerana ada makhluk Tuhan. Berbakti kepada makhluk Tuhan atas dasar mentaati peraturan Tuhan menambahkan ingatan dan pengenalan kepada Tuhan. Sebab itulah kesibukan melayani makhluk Tuhan tidak membuat hati lalai daripada mengingati Tuhan, malah ingatan kepada-Nya menjadi lebih kuat lagi. Kesedaran tentang perkara ini diperolehi melalui kehadiran Muhammad Habiballah yang telah mempraktikkan yang demikian sepanjang hidup baginda s.a.w. Jika perhatian seseorang hanya tertumpu kepada Muhammad dalam hakikat atau Muhammad Insan Kamil, kesedaran tersebut tidak muncul. Muhammad Habiballah yang membimbing manusia kembali kepada kesedaran kemanusiaan sepenuhnya dan menggunakan bakat serta nilai diri untuk berbakti kepada Allah s.w.t secara langsung atau secara tidak langsung melalui khidmat-bakti kepada makhluk-Nya. Orang yang tidak berjumpa dengan kebenaran Muhammad Habiballah mendapati sukar untuk menetapkan kesedaran kemanusiaannya dan berkecimpung di dalam kegiatan masyarakat.

 Orang yang memasuki jalan pelarutan diri ke dalam hakikat sukar kembali kepada kesedaran kemanusiaan. Bila ‘bertembung’ dengan Hakikat Allah s.w.t dia merasakan dirinya adalah Allah s.w.t. Bila ‘bertembung’ dengan Hakikat Muhammadiah dia merasakan dirinya adalah Muhammad. Bila ‘bertembung’ dengan Hakikat Insan Kamil dia merasakan dirinya adalah Insan Kamil. Bila ‘bertembung’ dengan Habiballah dia merasakan dirinya adalah Habiballah. Sukar baginya untuk keluar daripada mabuk untuk menyaksikan  kebenaran yang sebenar-benarnya benar. Mabuk menjadi hijab menutup pandangannya daripada melihat dan menerima kenyataan. Orang yang seperti ini mungkin menerima penyerapan yang berkekalan oleh hakikat yang menguasai hatinya. Dia akan menjadi ujian kepada orang ramai, terutamanya mereka yang berminat kepada jalan hakikat.

 Perkataan orang yang di dalam mabuk mengenai hakikat dan penyatuan dengan Tuhan memang seronok didengar. Manusia memang cenderung kepada perkara ganjil. Ujian akan berubah menjadi fitnah apabila orang yang di dalam mabuk mengeluarkan kekeramatan yang menyebabkan orang-orang jahil yang lemah iman memegang sepenuhnya perkataan orang yang di dalam mabuk itu. Orang yang di dalam mabuk berhak dimaafkan jika dia mengeluarkan ucapan yang menyalahi syariat tetapi orang yang di dalam kesedaran jika ikut yang demikian dia berhak dihukumkan kufur. Mereka wajib bertaubat dan kembali kepada jalan kenabian.

Orang yang berminat dalam soal-soal kerohanian mestilah yakin bahawa kebenaran yang paling tinggi bukanlah menjadi Tuhan atau bersatu dengan Tuhan. Kebenaran yang tertinggi adalah menjadi hamba Tuhan. Hakikat Muhammadiah dan Insan Kamil boleh dilihat sebagai Hamba Allah kerana kedua-duanya bergantung kepada Allah s.w.t, bukan berdiri dengan sendiri. Hamba Allah dalam suasana ketuhanan dipanggil Urusan Allah bagi membezakannya dengan makhluk yang mendiami alam. Urusan Allah adalah kewujudan di dalam Ilmu Allah, bukan kewujudan di dalam alam. Ilmu Allah tidak menempati ruang dan zaman. Ia juga bukan bertempat di dalam hati manusia. Hati hanya diizinkan merasai suasana Hadrat atau kehadiran hakikat bukan berhadapan dengan hakikat yang sebenar. Merasai kehadiran Insan Kamil bukan bermakna Insan Kamil benar-benar ada di hadapan. Merasakan menjadi Insan Kamil bukan bermakna benar-benar menjadi Insan Kamil. Merasakan menjadi Insan Kamil adalah suasana mabuk. Merasai kehadiran Insan Kamil pula adalah suasana menerima kenyataan Insan Kamil itu. Merasai kehadiran Allah s.w.t pula bermakna menerima kenyataan Allah s.w.t. Ia disebut juga ayat-ayat Allah, sifat-sifat Allah, nama-nama Allah, tanda-tanda Allah dan sebagainya. Walaupun digunakan istilah-istilah yang tidak pernah didengar seperti Lahut, Balhut, Ghaibul Ghuyub, Ghaibul Mutlak dan lain-lain, semuanya bukanlah Allah s.w.t tetapi hanyalah cerita tentang Allah s.w.t. Cerita yang paling baik dan paling benar mengenai Allah s.w.t adalah cerita daripada al-Quran. Tidak ada cerita lain yang kebenarannya mengatasi apa yang diceritakan oleh al-Quran. Oleh itu apabila mendengar cerita daripada mana-mana sumber rujuk semula kepada cerita al-Quran. Jangan diikuti orang yang di dalam mabuk kerana orang yang demikian sudah hilang pertimbangan.

 Dalam perjalanan kerohanian, apabila ‘berjumpa’ dengan kehadiran Habiballah baharulah fikiran terbuka luas, begitu juga dengan kesedaran diri. Sebelum itu jiwa seseorang seumpama berada di dalam laut, dilambung oleh gelombang. Sekalipun tidak mabuk namun ‘pening-pening lalat’ tetap juga ada.

 Dalam perjalanan kerohanian seseorang itu memasuki empat tahap kesedaran diri. Tahap pertama adalah kesedaran nafsu, dibahasakan sebagai Alam Nasut atau alam jasad. Kesedaran nafsu mengarahkan kepada ingatan yang jahat, melakukan dosa dan maksiat. Tahap ke dua adalah kesedaran kalbu atau hati, dibahasakan sebagai Alam Malakut. Dalam kesedaran hati timbul sifat patuh dan taat kepada perintah dan peraturan Allah s.w.t. Tahap ke tiga adalah kesedaran rohani, dibahasakan sebagai Alam Jabarut. Dalam kesedaran ini si hamba bebas daripada kegembiraan dan kerisauan, fikiran dan keinginan. Dia menjadi patuh kepada perintah rohani dan dia menjadi tenteram, dengan kepatuhan tersebut. Tahap ke empat adalah kesedaran Sir, dibahasakan sebagai alam Lahut. Dalam kesedaran ini si hamba tenggelam dalam tafakur tentang Tuhan. Penyaksiannya hanya kepada Tuhan, tidak kepada yang lain. Dia mengalami suasana hakikat-hakikat ketuhanan atau dikatakan juga hatinya menerima sinaran nur Ilahi. Selepas peringkat ini baharulah kesedaran diri kembali semula sedikit demi sedikit.

 Permulaan jalan kembali kepada kesedaran itu dinamakan baqa. Kesedaran terhadap Insan Kamil muncul pada peringkat permulaan baqa. Baqa adalah suasana bergerak daripada Tuhan bersama Tuhan. Ada unsur perpisahan dan perbezaan dengan Tuhan tetapi masih lagi bersamaan. Kesedaran dalam peringkat inilah membuat seseorang bercakap secara berteka-teki dan samar-samar kerana suasana teka-teki dan kesamaran yang menguasai hatinya. Semakin jauh dia masuk ke dalam baqa semakin terhurai teka-teki tersebut dan semakin berkurangan kesamaran.

 Baqa adalah salah satu daripada peringkat perjalanan kerohanian. Bila kesedaran pulih sepenuhnya kebaqaan tidak ada lagi.

 Keseluruhan perjalanan boleh dibahagikan kepada empat peringkat.

Peringkat pertama dinamakan jalan orang Islam biasa.Pada jalan ini penekanan adalah pada syariat zahir. Penggerak utama pada jalan ini adalah syurga dan peringatannya adalah neraka. Matlamat pada jalan ini adalah mencapai kedudukan sebagai seorang mukmin yang layak menjadi penghuni syurga. Jalan ini menjadi asas kepada jalan-jalan yang lain. Tanpa jalan ini jalan-jalan yang lain tidak dapat dibina. Orang yang meninggalkan jalan ini dan terus pergi ke jalan hakikat itulah yang mudah jatuh ke dalam jurang yang menyesatkan.

 Sambungan kepada jalan syariat zahir adalah jalan syariat batin atau jalan tarekat tasauf. Jalan ini merupakan jalan hamba mencari Tuhan. Keinginan mengenal Tuhan mendorong mereka melakukan ibadat bukan kerana inginkan syurga atau takutkan neraka. Segala usaha dan ikhtiar digunakan bagi mendekatkan diri dengan Tuhan. Pada peringkat awal mereka kuat bersandar kepada amal kerana menyangkakan kekuatan amal itulah yang mendekatkan mereka dengan Tuhan. Pada peringkat ini ada bahaya yang menanti. Bahaya tersebut adalah perasaan tidak sabar untuk cepat sampai kepada matlamat, sedangkan matlamat itu sendiri tidak jelas. Sikap tidak sabar dan kurang penyerahan kepada Tuhan membuat seseorang mudah terdorong kepada amalan yang ganjil-ganjil yang diharapkan mempercepatkan perjalanan mereka. Sebahagian daripada mereka yang keliru pada peringkat ini mengambil amalan melihat jin dan bersahabat dengan khadam. Mereka menyangkakan amalan yang demikian adalah sebahagian daripada jalan ketuhanan yang mendekatkan diri mereka dengan Tuhan. Kesan daripada yang demikian ada yang gila akalnya atau pun gila hakikatnya. Gila hakikat adalah mendakwa diri sudah memiliki hakikat sedangkan dia belum memasuki jalan hakikat. Apa yang mereka anggapkan alam hakikat itu sebenarnya adalah alam khadam. Orang yang gila hakikat, dalam kesedaran biasa, mengaku mereka menjadi wali yang agung dan memiliki berbagai-bagai kekeramatan. Mereka menyangkakan mereka adalah manusia pilihan Tuhan atau pun mereka adalah nabi. Beginilah keadaan nabi palsu yang selalu muncul dalam sejarah. Nabi palsu itu yakin yang diri mereka adalah nabi, terutamanya jika pada diri mereka muncul sesuatu yang luar biasa. Perkara luar biasa itu mereka sangkakan mukjizat tetapi yang sebenarnya hanyalah perbuatan khadam yang mendampingi mereka.

 Dalam melalui jalan ini seseorang mestilah membulatkan maksudnya kepada Allah s.w.t semata-mata, tidak dicampur dengan keinginan kepada kekeramatan dan pangkat kewalian. Apabila maksud sudah bulat kepada Allah s.w.t baharulah ada harapan untuk memasuki jalan kerohanian. Tanda seseorang itu telah memasuki jalan ketuhanan adalah dia dikurniakan Petunjuk Ghaib. Dia dapat merasakan kuasa ghaib mengheretnya dengan menangkis apa sahaja yang cuba membuatnya berhenti. Perhatian dan kesedaran terhadap segala sesuatu akan menjadi lemah. Dia masuk ke dalam kesedaran kebatinan. Dalam kesedaran tersebut dia mengalami kehadiran kenabian. Dia mengenali kenabian secara zauk.

 Apabila hati sampai kepada suasana nama-nama Tuhan pula dia mengenali Tuhan melalui nama-nama tersebut. Di sini dia melihat urusan Tuhan menguasai perjalanan segala sesuatu. Seterusnya dia sampai kepada suasana keesaan Tuhan. Kemudian dia memasuki pula suasana yang menggambarkan bahawa tiada sesuatu yang serupa dengan Tuhan. Dia menemui kenyataan bahawa Tuhan tidak dijumpai melalui ilmu dan makrifat. Hamba yang sampai ke sini mengakui kelemahan dirinya di hadapan keperkasaan Tuhan. Wujudlah sifat kehambaan yang sejati dalam jiwanya. Kuatlah dia bersabar menanggung ujian Tuhan dan berserah diri kepada-Nya. Orang yang berhenti pada peringkat ini akan menjadi ahli ibadat yang tidak ada pekerjaan melainkan beribadat kepada Allah s.w.t. Akhir peringkat kedua adalah menyaksikan Allah Yang Maha Esa, Maha Perkasa.

Peringkat ke tiga dinamakan jalan hakikat. Dalam peringkat kedua dahulu si hamba menemui kenyataan bahawa ilmu dan amal tidak berupaya memecahkan benteng keperkasaan Tuhan. Penemuan tersebut membuat si hamba tidak lagi bersandar kepada ilmu dan amalnya. Apa juga amalan yang dilakukannya adalah kerana Allah s.w.t bukan kerana sesuatu kepentingan dirinya. Amal tidak lagi menjadi alat untuk mendapatkan sesuatu daripada Tuhan. Dia sudah memperolehi keyakinan bahawa yang dapat membawanya kepada Tuhan adalah Tuhan sendiri, dengan kehendak-Nya bukan dengan kehendak hamba-Nya, atau ilmu dan amal hamba-Nya.

Perjalanan pada peringkat ke tiga bermula daripada suasana keesaan. Si hamba dilambung oleh gelombang kefanaan yang kuat. Dia tidak lagi mengetahui siapakah dirinya. Dia terpisah daripada sifat kemanusiaan dan tidak lagi memperdulikan peraturan masyarakat. Orang yang berada pada peringkat ini patut dipisahkan daripada orang ramai supaya kehadirannya tidak mendatangkan fitnah terhadap dirinya dan juga orang lain. Ucapannya mengenai hakikat yang dialaminya mungkin akan menimbulkan salah faham orang lain. Pada peringkat ini si hamba berada ‘di luar’ sesuatu dan dia hanya menyaksikan. Dia melihat perbuatan muncul daripada dirinya tetapi dia melihatnya ‘dari luar’ dirinya, sebagaimana orang lain melihatnya. Dia merasakan yang dia tidak terlibat dengan perbuatan tersebut. Dia menyaksikan segala perkara sebagai tindak tanduk urusan Tuhan. Dalam suasana yang demikian dia mendapat pengertian bahawa sebenarnya bukan dirinya yang mencari Tuhan tetapi sebenarnya Dia yang mencari dan Dia yang dicari. Tidak ada sesiapa yang masuk campur dalam urusan-Nya. Orang yang dalam kefanaan menggambarkan peringkat ini dengan ucapannya “Dia yang mencari dan Dia yang dicari. Dia yang bertemu dengan Diri-Nya sendiri!” Orang yang di dalam kesedaran pula menggambarkan suasana pada tahap ini dengan ucapannya, “Aku kenal Tuhanku melalui Tuhanku sekadar yang Tuhanku izinkan daku mengenali-Nya”. Perjalanan yang bermula daripada suasana keesaan itu berakhir pada suasana Insan Kamil.

 Insan Kamil adalah permulaan jalan peringkat ke empat, jalan menuju baqa, dinamakan jalan Diri mencari Diri. Pada peringkat suasana Insan Kamil ini kesedaran terhadap diri sendiri sudah mula datang kembali dalam keadaan dia tidak mengenali dirinya sendiri. Kesedaran yang sudah kembali sedikit itu menggerakkannya untuk mencari dirinya yang ‘hilang.’ Pada suasana Insan Kamil itu si hamba menyaksikan hakikat dirinya dalam Hakikat Muhammadiah. Dia menyaksikan hakikat dirinya sebagai Hakikat Abdul Rab (hamba Tuhan). Si hamba ditarik kepada satu nama Tuhan yang menguasai dirinya. Dia ditarik kepada Yang Empunya nama. Tarikan ketuhanan Yang Empunya nama itu membawa si hamba keluar dari alam fana sedikit demi sedikit, masuk ke alam baqa. Dalam kebaqaan itu si hamba melihat hakikat dirinya yang tidak berpisah dengan Tuhan. Hakikat Abdul Rab (kewujudan kehambaan pada sisi Tuhan atau urusan Tuhan yang menguasai perjalanan kehambaan kepada Tuhan) tidak berpisah dengan Tuhan. Penyaksian terhadap hakikat diri yang tidak berpisah dengan Tuhan dan suasana hati yang merasakan tidak berpisah dengan Tuhan itulah dinamakan baqa.

 Penghujung jalan baqa menemukan si hamba dengan Hakikat Ahmadiah. Pada tahap ini si hamba menemui dirinya sebagai rohani yang ‘menerima’ bakat daripada hakikat kehambaan. Rohani hanya mempamerkan apa yang ada dengan hakikat yang menguasainya. Penyaksian terhadap kewujudan rohani ini membuka perhatiannya kepada kewujudan jasadnya. Kesedaran kemanusiaan yang bertubuh badan kembali semula kepadanya secara sedikit demi sedikit. Dia (rohani) sudah memperakukan bahawa alam jasad itulah daerah kekhalifahannya atau tempat tinggalnya. Rohani dan jasad ‘bercantum’ semula dalam suasana kehadiran Habiballah. Diri yang mencari berpadu dengan Diri yang dicari. Si hamba kembali mengenali dirinya. Pusingan perjalanannya menjadi lengkap.Awal perjalanannya berpadu dengan akhir perjalanannya. Batinnya berpadu dengan zahirnya.

 Perpindahan daripada suasana kebaqaan kepada suasana kehambaan sepenuhnya diistilahkan sebagai hijrah kerohanian. Si hamba berpindah daripada kesedaran hakikat kepada kesedaran kemanusiaan, masuk ke dalam syariat zahir dan batin. Nabi Muhammad s.a.w berhijrah daripada Makkah yang padanya ada Kaabah, pergi ke Madinah yang padanya syariat diperlengkapkan. Ahli hakikat juga perlu berhijrah meninggalkan ‘Kaabatullah’ (makam hakikat yang ada fana, bersatu dengan Tuhan, baqa dengan Tuhan dan lain-lain suasana hakikat) pergi ke ‘Madinah’ (makam kehambaan yang padanya ada agama yang sempurna, syariat yang sempurna, peraturan zahir yang sempurna, amalan batin yang sempurna, Islam yang sempurna, iman yang sempurna dan makrifat yang sempurna). ‘Hijrah’ adalah makam hakikat dan makrifat yang paling tinggi. Apabila seseorang Ahli hakikat ‘berhijrah’ baharulah kesedaran kemanusiaannya kembali sepenuhnya. Syariat zahir dan batinnya sempurna. Agamanya pun sempurna.

Hari ini Aku sempurnakan bagimu agamamu. Dan Aku cukupkan nikmat-Ku atasmu. Dan Aku reda Islam menjadi agama (syariat)mu. ( Ayat 3 : Surah al-Maa’idah )

 Perjalanan yang tidak merialisasikan maksud ayat di atas adalah perjalanan yang tidak lengkap. Perjalanan kerohanian yang lengkap mengandungi:
1:  Jalan orang Islam biasa
2:  Jalan hamba mencari Tuhan
3:  Jalan Dia yang mengenali Diri-Nya
4:  Jalan Diri mencari Diri atau jalan mengenal diri.

 Ada orang yang sengaja mengambil jalan Diri mencari Diri, iaitu jalan mengenal diri sahaja tanpa mengambil jalan-jalan yang lain. Jalan mengenal diri yang dilalui oleh orang yang mengalami kefanaan, kelenyapan terhadap kesedaran diri sendiri, berbeza daripada jalan mengenal diri yang digubah oleh orang yang tidak ada zauk, tidak hilang kesedaran diri, tidak hilang akal fikiran, tetap gelojoh dengan makan dan minum dan masih mahukan kesenangan dunia. Golongan ini mengambil perkataan ahli zauk untuk dijadikan iktikad dalam kesedaran mereka. Mereka menyamakan hamba dengan Tuhan. Iktikad mereka telah sesat dan menyesatkan.

 Di antara semua peringkat perjalanan kerohanian yang paling sukar dilakukan adalah berhijrah daripada hakikat kepada syariat. Ramai di antara ahli sufi tidak melakukan hijrah. Mereka tidak dapat melepaskan diri daripada kesan kefanaan dan mabuk. Pengalaman bersatu dengan Tuhan yang mengasyikkan membuat mereka enggan melepaskan keghairahan tersebut.

 Ahli sufi yang dipimpin kepada jalan mahabbah melakukan hijrah dan kembali kepada jalan kenabian dengan sempurna. Hijrah Nabi Muhammad s.a.w dari Makkah ke Madinah mengambil masa tujuh hari. Bukan perkara yang ganjil jika hijrah ahli hakikat ke syariat secara sepenuhnya mengambil masa tujuh tahun. Kehadiran Habiballah yang membuka pintu hijrah kepada ahli hakikat. Orang yang melihat dengan ‘mata’ Allah tidak dapat melihat kebenaran yang sejati. Orang yang melihat dengan ‘mata’ Rasul Allah yang dapat melihat kepada Yang Haq. Walaupun Allah s.w.t memperkenalkan sifat-Nya melalui sifat manusia tetapi itu hanyalah sekadar iktibar. Allah s.w.t tidak jadikan sifat-Nya sebagai sifat manusia. Sesiapa yang cuba menggunakan sifat Allah s.w.t akan terbaliklah akal dan hatinya. Orang yang sengaja berbuat demikian berkemungkinan menjadi tidak stabil mentalnya, biasanya dipanggil ‘isim’. Keadaan akal dan hatinya seumpama tayar kereta yang tidak seimbang, menggegarkan keseluruhan bahagian kereta. Allah s.w.t telah meletakkan “mata kebenaran” pada Nabi Muhammad s.a.w. Hanya dengan memandang melalui ‘mata’ Nabi Muhammad s.a.w seseorang itu dapat menyaksikan kebenaran yang sejati lagi tulen.

Tidak Kami utuskan engkau (Muhammad) kecuali sebagai rahmat ke seluruh alam. ( Ayat 107 : Surah al-Anbiyaa’ )

Sesungguhnya adalah bagi kamu pada (diri) Rasulullah itu satu teladan yang baik bagi orang yang percaya kepada Allah dan Hari Kemudian dan menyebut Allah (sebutan) yang banyak. (Ayat 21 : Surah al-Ahzaab )

Orang yang beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w dan mengikuti jalan baginda s.a.w akan sampai kepada kesudahan makam iaitu makam penetapan.

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada pada makam Amin (kedudukan yang aman). ( Ayat 51 : Surah ad-Dukhaan )

 Makam Amin adalah makam penetapan, dikurniakan kepada mereka yang bertakwa. Tidak ada takwa jika tidak ada syariat kerana takwa adalah memelihara syariat. Orang yang bertakwa mengakui kewujudan sempadan dan hukum-hukum. Mereka memelihara sempadan jalan yang lurus itu dan juga memerhatikan hukum-hukumnya. Perkara yang menyalahi syariat adalah umpama duri-duri di atas jalan dan orang yang bertakwa berjalan dengan menjaga tapak kakinya agar tidak terpijak duri.

http://alhakiki.tripod.com/hakiki038.html
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Y.Bhg,Tan Sri/Dato’ Seri/Dato’/Datin/Prof./Dr./Tuan/Puan.
Kami memohon jasa baik semua pihak agar dapat menyumbang kepada kepada kami walaupun RM 10 kerana kami kini terpaksa berhutang kepada Maybank demi menampung perbelanjaan kegiatan dakwah kami di Kemboja :

Sunduq 2015

sondoq 2015
SUNDUQ AL BIRRI AL ALAMI SOLUTION
(TABUNG DANA KEBAJIKAN SEDUNIA)
MAYBANK 551070416346
CIMB 8602299125
Mohon emailkan kepada kami selepas anda menyumbangkan sedekah:

Sunduq_albirri@yahoo.com

Borang Qurban Sunduq Al-Birri
Diatas kerjasa dan keprihatinan pihak tuan terlebih dahulu saya ucapkan jutaan terima kasih.
Sekian Wassalam.
Alhamdulillah, program Qurban telah mendapat 2 bahagian dan jutaan terima kasih kami ucapkan di atas sumbangan sedekah yang pasti amat menggembirakan para pelajar Maahad Tahfiz An-Nur, Kampot Kemboja.
In Sya Allah Kami akan adakan program solat hajat dan doa selamat buat mereka yang telah menderma kepada tabung kami, oleh yang demikian amatlah baik sekira para penderma memberi nama penuh berserta nama ibu untuk mereka lafazkan semasa dalam majlis tersebut .
Yakinlah.. Wahai Para Penderma yang budiman semua, sesungguhnya doa orang mukmin kepada Allah SWT dapat merentasi alam semesta dan didengari oleh Allah SWT Yang Maha Mendengar walaupun dibumi Kemboja mereka mendoakan kebaikan dan keberkatan buat para penderma di Malaysia, Singapore,Brunei dan Indonesia serta seluruh negara di dunia ini..
Jalinan ukhuwah yang disaksikan oleh Para Malaikat Rahmat utusan Allah SWT pasti lebih kukuh berbanding dengan ikatan duniawi semata-mata. Sila layari :
https://peribadirasulullah.wordpress.com/2015/08/16/berniaga-dengan-allah-swt-dan-menjadi-jutawan-dunia-dan-akhirat/


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: