Posted by: peribadirasulullah | April 23, 2015

GST Mengikut Pandangan SS Datuk Dr.Zulkifli Mohammad Al-Bakri

PETIKAN KENYATAAN RASMI MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN BERHUBUNG ISU GOODS & SERVICES TAX (GST)

———————————————
Klik di sini [http://goo.gl/2vD9IU] untuk membaca artikel lengkap kenyataan rasmi SS Mufti Wilayah Persekutuan

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan Sekalian Alam. Selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sahabat, tabi’in, tabi’ tabi’in dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga ke hari pembalasan.

Cukai Goods and Services Tax (GST) atau juga dikenali juga sebagai Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) menjadi satu polemik yang besar kepada masyarakat Malaysia amnya. Cukai yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi menggantikan SST ini mendapat pelbagai reaksi masyarakat yang dizahirkan terutamanya di media sosial berhubung hal ini.

Saya mendapat banyak persoalan terutamanya daripada kotak mesej di

Facebook

tentang perkara ini. Hakikatnya, ia isu yang memerlukan kajian yang sangat mendalam bagi mendapatkan natijah yang adil, bernas dan mendahulukan maslahah daripada mafsadah. Setelah meneliti pelbagai komentar, pendapat dan juga hujahan dari golongan ulama, umara’, cendekiawan dan juga masyarakat awam, maka amatlah wajar dikemukakan di sini dalam Bayan Linnas Siri Ke-16 untuk memperhalusi isu yang sudah berlarutan hampir setahun. Saya terpanggil untuk memberikan pandangan tentang perkara ini dengan berlandaskan nas-nas daripada al-Qur’an, al-Hadith, fatwa para ulama’ silam dan juga kontemporari.

Sebenarnya isu seperti ini amat berat bagi saya untuk mendahului mereka yang lebih mengetahui dan mendalam ilmu ekonomi Islam daripada saya. Tetapi, selepas memahami beberapa penerangan yang diberikan dengan fakta dan hujahan, maka saya kemukakan pada hari ini 17 April 2015 kepada khalayak. Semoga pencerahan ini memberi kefahaman kepada kita semua.

Definisi GST

GST atau dalam Bahasa Inggeris Goods and Services Tax adalah sejenis cukai di mana apa sahaja barang dan perkhidmatan yang digunakan oleh pengguna mengandungi elemen cukai. Sebab itulah ia juga dikenali sebagai cukai kepenggunaan (consumption tax). Dalam erti kata yang lain, asasnya jauh lebih luas daripada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang ada sekarang.

GST adalah cukai penggunaan dan ia berasaskan konsep nilai ditambah. GST dikutip daripada pelanggan untuk pihak kerajaan oleh organisasi perniagaan yang berdaftar dengan pihak berkuasa cukai. Lazimnya, pembekal atau penjual boleh mendaftar untuk mengutip GST jika jumlah jualan tahunan bagi produk atau perkhidmatan yang dibekal melebihi jumlah tertentu yang ditetapkan.

GST diambil kira dalam setiap tahap urus niaga. Jumlah jualan barangan dan perkhidmatan (dikenali juga sebagai bekalan) merupakan jumlah nilai yang diterima oleh organisasi perniagaan (tidak termasuk GST) ke atas semua aktiviti yang dicukai.

Aktiviti yang dicukai merangkumi aktiviti yang dijalankan secara berterusan. Organisasi perniagaan yang berkenaan hendaklah membekal (atau bersetuju untuk membekal) barangan atau perkhidmatan kepada pengguna sama ada untuk tujuan mendapat untung atau tujuan lain seperti aktiviti perdagangan, pembuatan, kerjaya, persatuan atau kelab.

Harga bekalan yang dijual ditetapkan selepas mengambil kira GST. Organisasi perniagaan juga boleh menuntut kredit cukai bagi setiap GST yang telah dimasuk kira dalam bekalan yang dibeli untuk tujuan mengendalikan perniagaan. Kredit cukai ini dikenali sebagai “kredit cukai input”.[1]

Perbezaan GST dan SST

Secara ringkasnya, pelaksanaan GST merangkumi pelbagai jenis barang dan perkhidmatan dimana pengenaan semua cukai adalah disemua peringkat pengeluaran dan pengedaran disamping boleh menuntut semula semua cukai yang dikenakan daripada kerajaan.

SST (Sales Tax and Service Tax) iaitu cukai yang sediaada hanya dikenakan pada satu peringkat pengeluaran iaitu semasa barang-barang itu dikeluarkan daripada kilang atau diimport. Manakala, cukai perkhidmatan dikenakan ke atas perkhidmatan-perkhidmatan tertentu pada peringkat ianya disediakan kepada pihak pengguna.

Hukum Pelaksanaan GST

Keperluan umum ummah adalah di bawah tanggungjawab pemimpin. Kerajaan memerlukan sumber pendapatan  bagi meningkatkan kemajuan, keamanan, keselamatan, pembangunan dan lain-lain. Selain daripada zakat, sumber pendapatan lain adalah cukai.

Sistem percukaian dalam dunia Islam bermula sejak zaman Rasulullah SAW di dalam Piagam Madinah yang telah menetapkan bayaran jizyah untuk bukan Islam dan zakat untuk orang Islam. Zaman Saidina Umar menyaksikan perkembangan sistem percukaian lain seperti al-kharaj (cukai ke atas tanah), al-‘usyur (perdagangan) dan selainnya. Ia terus berkembang dan melalui beberapa penambahbaikan pada zaman-zaman pemerintahan Islam seterusnya.

Permasalahan cukai adalah termasuk dalam ruang lingkup siyasah syar’iyyah iaitu pentadbiran hal ehwal negara umat Islam yang perlu diteliti aspek mencapai kemaslahatan dan menolak kemudharatan selagi tidak melanggar batas-batas syarak.

Secara ringkasnya, terdapat dua pandangan ulama dalam hal ini iaitu haram dan harus. Seperti yang dibahaskan oleh sahabat saya Prof. Madya Dr. Arieff Salleh bin Rosman, Pengarah Center of Research for Fiqh Science and Technology (CFiRST) UTM Skudai Johor merangkap Felo Fatwa JAKIM dan rakan-rakannya dari UTM, maka saya ringkaskan sebahagian daripada persoalan hukum di sini.

Pendapat Pertama: Haram

  • Pandangan Ulama

Dinyatakan di sini dua pendapat ulama’ yang mengharamkan cukai.

Pertama: Ulama Terdahulu, antaranya

  1. Ibn Muflih berkata: “Diharamkan mengambil cukai daripada rakyat seperti yang dikutip oleh Raja kepada rakyatnya.” (Ibn Muflih, 2003: 10/347; al-Buhuti, t.th.: 3/139)
  2. Al-Hijawi berkata: “Diharamkan mengambil cukai daripada harta orang Isam seperti yang dikutip oleh Raja kepada rakyatnya bukan secara yang dibenarkan oleh syarak.” (al-Hijawi, t.th.: 2/52). Sila rujuk juga pandangan Mustafa bin Saad al-Rahibani (1994: 2/619).
  3. Menurut Ibn al-Azraq, antara contoh urus tadbir yang salah adalah mengutip cukai secara zalim (t.th.: 300)
  4. Ibn Hajar al-Haitami menjelaskan: “Pengutip cukai, penulisnya, saksinya, penjaganya, wakil-wakilnya, dan selain yang berkaitan dengan kutipan cukai merupakan dosa besar pembantu kezaliman, bahkan memungut cukai itu sendiri merupakan suatu kezaliman. Para pengutip cukai mengambil harta manusia secara haram dan mengagihkannya kepada orang yang tidak berhak. Oleh sebab itu, pengutip cukai tidak masuk syurga kerana dagingnya tumbuh daripada sumber-sumber haram. “ (1987: 299)

Kedua: Ulama Kontemporari antaranya

  1. Mulla `Ali bin Sultan al-Harawi al-Qari menyatakan: “Cukai adalah termasuk dalam salah satu kezaliman yang paling hina kerana pengutip cukai merampas harta pada waktu orang dalam kesempitan secara paksa, bukan berasakan cara yang dibenarkan oleh Syarak, juga bukan secara ‘uruf. Bahkan ia melampaui batas ke atas orang Islam, selain daripada mereka mengutip cukai ke atas orang bukan Islam. (al-Qari, 2002: 6/2337)
  2. Hafiz Ahmad ‘Ajjaj Karami menyatakan: “Dalam pemerintahan Nabi SAW, Baginda tidak mengenakan sebarang cukai tambahan dalam apa bentuk sekalipun, tetapi Baginda mengajak rakyat memberikan sumbangan apabila negara memerlukan kewangan tambahan. Bahkan terdapat sumber yang sahih bahawa Baginda melarang seseorang pemimpin membebankan rakyatnya dengan cukai.” (Karami, 1427H: 162)
  3. Fatwa Kerajaan Arab Saudi 23/489 (2009) : “Mengutip cukai kastam, samada cukai import atau eksport adalah termasuk dalam al-maks yang diharamkan. Bertugas sebagai pengutip cukai juga haram, walaupun kerajaan menggunakan hasil kutipan cukai itu untuk membiayai pelbagai projek pembangunan.”
  4. Fatwa Kerajaan Brunei (1985): “Cukai adalah ditegah dalam Islam, sebagaimana tersebut dalam kitab-kitab Fiqh Islam dalam kitab al-Zawajir bagi Imam Ibn Hajar al-Syafi’i yang terkenal pada mukasurat 167 juz awal dan dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin muka 157, 158 dan 253. Katanya: “Cukai itu ialah sejahat-jahat mungkar bahkan ia suatu dosa besar…”
  5. Rujuk juga Qurratul ‘Ain bi Fatawa Ulama al-Haramain mukasurat 332.

Dalil dan Hujah Mereka

Ulama’ yang mengharamkan cukai secara mutlak berpegang kepada beberapa ayat al-Qur’an dan hadith sebagaimana yang dilampirkan di bawah.

  • Al-Qur’an

Antara dalil yang kuat dengan pengharaman ini ialah:

Firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

(Surah al-Baqarah: 188)

Pengutip cukai (al-maks) adalah antara golongan yang melakukan kezaliman kepada manusia, bahkan mereka menzalimi diri mereka sendiri. Mereka mengutip apa yang mereka tidak berhak ke atasnya dan menyerahkannya kepada mereka yang tidak berhak ke atasnya (al-Zahabi, t.th.: 115)

Firman Allah SWT:

وَيَا قَوْمِ أَوْفُوا الْمِكْيَالَ وَالْمِيزَانَ بِالْقِسْطِ وَلَا تَبْخَسُوا النَّاسَ أَشْيَاءَهُمْ وَلَا تَعْثَوْا فِي الْأَرْضِ مُفْسِدِينَ

Maksudnya: “Dan wahai kaumku! Sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan adil dan janganlah kamu kurangkan manusia akan benda-benda yang menjadi haknya, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi.”

(Surah Hud: 85)

Maksud ‘al-bakhs’ yang dilarang dalam ayat 85 surah Hud adalah larangan mengurangkan hak manusia yang wajib kamu penuhi (al-Tobari, 2000: 15/446), dan bagi setiap apa yang dimiliki oleh seseorang tidak boleh dirampas daripadanya atau diambil secara yang tidak dibenarkan oleh Syarak, serta segala pengurusannya mestilah berdasarkan keizinan Syarak (al-Razi, 1420H: 24/528). al-Khattabi (w388H) menjelaskan, pemimpin yang mengambil cukai (al-maks) secara zalim daripada rakyat adalah termasuk dalam maksud ‘al-bakhs’ yang dilarang dalam ayat tersebut (al-Khattabi, 1982: 1/219).

  • Al-Hadith

Antara hadithnya pula:

Daripada Ruwaifi’ bin Thabit al-Ansari RA berkata, Sabda Nabi SAW:

إنَّ صاحبَ المكْس في النارِ

Maksudnya: Sesungguhnya pemimpin yang mengenakan al-Maks (sebahagian ulama menterjemahkannya sebagai cukai) adalah di dalam neraka.”

Riwayat Ahmad (4/109), al-Tabarani (4493) al-Suyuti (2290),

Daripada ‘Uqbah bin Amir RA berkata, Sabda Nabi SAW:

لا يدخُلُ الجَنَّةَ صاحِبُ مَكسٍ

Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga pengutip cukai.”

Riwayat Abu Daud (2937). Hadith ini mengikut pendapat Abu Daud adalah soleh atau boleh digunakan.

Yazid bin Harun menjelaskan, “Sohib maks ialah al-‘asysyar (pengutip cukai ‘usyur ke atas rakyat yang beragama Islam).” (al-Hakim, 1990: 1/562) Juga bermaksud pengutip cukai yang mengambil harta orang ramai secara haram (al-Asbahani, 2004).

Al-Maks juga bermaksud kutipan cukai yang biasanya digunakan merujuk kepada golongan yang melakukan kezaliman dalam proses jual beli (Muslim, t.th.: 3/1323).

Pendapat Kedua: Harus

Ia terbahagi kepada dua keadaan. Keadaan pertama, harus bagi kerajaan mengenakan cukai kepada rakyat sekadar untuk memenuhi maslahah umum pentadbiran negara. Keadaan kedua adalah, ianya harus dikenakan hanya kepada rakyat yang kaya pada waktu tertentu atas keperluan tertentu yang mendesak. Pada keadaan yang biasa, ianya haram.

  • Pandangan Ulama

Ulama Terdahulu

  1. Kerajaan dibenarkan untuk mengenakan cukai kepada rakyat sekadar untuk memenuhi maslahat umum pentadbiran Negara. Pendapat ini dikemukakan oleh Ibn Hazm (t.th.: 4/281), Ibn Taimiyah (1995: 29/194-786), Ibn al-Musili al-Syafi’i (t.th.: 195), al-Syatibi (1992: 1/619) dan Ibn Khaldun (1995).

Menurut Imam al-Syatibi: “Jika seseorang Pemimpin yang ditaati oleh rakyatnya berhajat untuk menambah bilangan tentera untuk menjaga perbatasan Negara serta memelihara kestabilan Kuasa yang semakin luas kepada tanah jajahan yang lain, sedangkan sumber perbendaharaan Negara dalam Baitul Mal sudah habis, serta keperluan tentera semakin meningkat dan perbelanjaan tidak mencukupi, maka Pemimpin – dengan syarat beliau seorang yang adil – boleh mengenakan cukai kepada rakyat yang kaya bagi memenuhi keperluan tersebut. Sehinggalah perbendaharaan Negara dalam Baitul Mal sudah kembali mencukupi. Pemimpin juga dalam masa yang sama perlu berusaha untuk mencari sumber pendapatan Negara daripada sumber yang lain seperti kutipan sewa, pertanian dan sebagainya… Pendapat seperti ini tidak dikemukakan oleh ulama terdahulu kerana sumber perbendaharaan Baitul Mal pada zaman mereka adalah banyak, berbeza dengan Baitul Mal zaman kita. Isu ini perlu dibahaskan dan maslahah dalam isu ini adalah jelas. Jika Pemimpin zaman kini tidak menggunakan sistem seperti ini (iaitu sistem percukaian), maka kuasa Pemimpin akan tergugat, maka Negara Islam akan terdedah kepada penguasaan kuasa kafir. Dengan syarat kuasa yang dimiliki oleh Pemimpin itu digunakan secara adil.” (al-Syatibi, 1992: 1/619).

Ulama Kontemporari antaranya

  1. Syeikh Mahmud Syaltut (al-Fatawa al-Kubra, 16)
  2. Syeikh Muhammad al-Ghazali (Mi’ah Su’al ‘an al-Islam, 256)
  3. Syeikh Abu al-A’la al-Mawdudi (Nazariyat al-Islam, 313)
  4. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi (Fiqh al-Zakat, 2/987)
  5. Syeikh Dr. Ahmad al-Raysuni

Dalil dan Hujah Mereka

Ulama’ yang mengharuskanya, berpegang kepada beberapa ayat al-Qur’an dan hadith sebagaimana yang dilampirkan di bawah.

  • Al-Qur’an antaranya

Firman Allah SWT:

انْفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”

(Surah al-Taubah: 41)

Kewajipan berjihad dengan mengeluarkan harta tidak termasuk kewajipan membayar zakat. Ini membuktikan bahawa selain daripada wajib membayar zakat, umat Islam juga wajib mengeluarkan hartanya untuk berjihad. Dan antara urusan jihad ialah Kerajaan memerlukan perbelanjaan ketenteraan bagi menjamin keselamatan negara. Oleh itu, Kerajaan boleh mengenakan cukai sebagai salah satu cara memenuhi maslahah tersebut (Ibn Hazm, t.th., Ibn Taimiyah, 1995; al-Qaradawi, 2006).

Firman Allah SWT:

قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَى أَنْ تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا Maksudnya: “Mereka berkata: “wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?”

(Surah al-Kahfi: 94)

Al-Syaukani menjelaskan bahawa maksud al-kharaj dalam ayat di atas adalah ‘apa yang dikutip oleh pemimpin’ (al-Syaukani, 1414H: 3/368). Ayat ini menjelaskan bahawa pemimpin perlu mengumpulkan sumber pendapatan negara bagi memelihara kepentingan umum negara dan rakyat , bahkan pemimpin boleh mewajibkan rakyat untuk mengeluarkan sebahagian harta mereka. Ini termasuklah pemimpin boleh mewajibkan rakyat membayar cukai (Ibn al-‘Arabi, 2003; al-Qaradaghi, 2009)

  • Al-Hadith antaranya

Fatimah binti Qais meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ في المالِ لَحَقًّا سِوَى الزكاةِ

Maksudnya: ‘Sesungguhnya dalam harta itu ada hak yang wajib dikeluarkan selain zakat.’

Kemudian Nabi membacakan ayat 177 surah al-Baqarah.”

Riwayat al-Tirmizi (659)

Tarjih

Setelah meneliti dua pandangan di samping melihat kepada realiti semasa, maka mengambil cukai daripada rakyat yang diletakkan dalam satu sistem percukaian adalah harus dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Antara alasan bagi menyokong pendapat keharusan ini ialah

  • Dalil yang dikemukakan bagi pengharaman bersifat umum sedangkan nas berkaitan percukaian adalah bersifat khas.
  • Perkataan al-maks bukanlah bersifat dan tafsiran seperti yang dinyatakan secara mutlak tetapi ia telah ditafsirkan secara khusus oleh ramai ulama’.
  • Realiti semasa berpandukan kepada negara di dunia ini begitu banyak mengamalkan sistem GST berbanding SST.
  • Pengambilan yang dilakukan hendaklah bersifat adil dan juga pengagihannya hendaklah benar-benar kepada sasaran atau untuk maslahah ‘ammah. Imam al-Syatibi dalam al-I’tisam telah memberi pendapat membenarkan pihak pemerintah memungut cukai dengan dhawabit yang tertentu.
  • Suasana ekonomi sesebuah negara perlu diambil kira termasuk di Malaysia di mana keadaan ekonomi masih lagi tidak mencukupi dari beberapa sumber dan hasil mahsul justeru keperluan mengenakan cukai GST adalah bersifat mendesak. Ini selari dengan kaedah fiqh yang masyhur sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam Jalaluddin al-Suyuti dalam al-Asybah wa al-Nazha’ir: “Perbuatan pemerintah terhadap rakyatnya adalah bergantung kepada maslahat.”
  • GST adalah sebahagian daripada ijtihad ekonomi berkenaan keharusan cukai pada sekadar memenuhi maslahat umum pentadbiran negara sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Mahmud Syaltut (al-Fatawa al-Kubra, 116) dan kemaslahatan awam sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Abul A’la al-Mawdudi (Nazhariyat al-Islam, m. 313)
  • Pendapat ini telah diteliti secara langsung dan diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Kali ke-106 yang bersidang pada 21-22 Oktober 2014 telah bersetuju dan memutuskan bahawa Islam mengharuskan pemerintah atau ulil amri untuk mengutip cukai seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia selagimana terdapat keperluan dan maslahah untuk negara dan rakyat. Pelaksanaanya hendaklah berpandukan parameter syarak.

Secara umumnya pada 25 Mac 2015 yang lalu, saya selaku Mufti Wilayah Persekutuan telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali ke-90 dan telah mengajukan pertanyaan berhubung perkara ini sebagai pengukuhan. Kesimpulan yang dapat saya nyatakan bahawa keharusannya adalah lebih kuat tetapi dengan dhawabit (syarat-syarat) dan cadangan yang dikemukakan dan ia hendaklah dipatuhi.

Semoga kita dapat memahami isu ini dengan lebih baik.

Realiti Semasa

Saya maksudkan di sini perlaksanaan GST di negara di dunia ini maka didapati negara yang melaksanakan GST cukup banyak. Pada masa kini, terdapat 160 negara di dunia yang telah melaksanakan VAT/GST.

Bilangan negara berdasarkan rantau adalah seperti berikut:

No. Rantau Bilangan

Negara

  • ASEAN = 7
  • Asia = 19
  • Eropah = 53
  • Oceania = 7
  • Afrika = 44
  • Amerika Selatan = 11
  • Caribbean, Amerika Tengah & Utara = 19

Daripada 160 negara, lapan negara adalah bukan Negara Anggota Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB):

  • Azores;
  • Taiwan;
  • Kepulauan Faroe;
  • Isle of Man;
  • Jersey;
  • Kosovo;
  • Madeira; dan

Berdasarkan pengamatan kami, banyak juga negara Islam telah melaksanakan GST kecuali Arab Saudi, Brunei dan beberapa buah negara yang lain yang mana keadaan ekonomi mereka begitu stabil dan kaya.

Cadangan

Di sini saya mengambil kesempatan mencadangkan kepada pihak berkuasa untuk mempertimbangkan beberapa perkara agar kegusaran dan kegelisahan di kalangan masyarakat dapat dihindarkan. Antaranya :

  • Kadar 6% hendaklah dikurangkan mengikut kemunasabahan dan kemampuan rakyat kebanyakan pada masa kini.
  • Masyarakat Islam yang membayar zakat tidak lagi dikenakan GST atau satu mekanisma khusus diwujudkan agar tidak berlaku dua kali pembayaran sehingga terbeban umat Islam itu sendiri.
  • Ketelusan dalam pelaksanaan ini dengan penuh integriti dan amanah perlu dipertingkatkan bagi mereka yang terbabit dalam urusan GST ini.
  • Rakyat jelata dan orang ramai begitu ternanti-nanti ingin melihat hasil daripada percukaian GST, akan dibaikpulih kualiti sistem pengangkutan awam, kemudahan awam, pembelajaran dan lain-lain yang bersifat maslahah ‘ammah.
  • Penerangan yang menyeluruh disebarkan terutamanya sebarang kekeliruan yang bermain di minda masyarakat hendaklah dijelaskan dengan sebaik mungkin.
  • Mekanisma dan cara pungutan dan pengagihan perlu selamat daripada sebarang unsur penindasan dan orang-orang miskin dikecualikan daripada dibebani dengan cukai. Begitu juga mekanisma supaya tidak berlaku eksploitasi orang yang tidak bertanggungjawab yang perlu dikawal sebaik mungkin agar kemaslahatan terzahir.
  • Mengenalpasti beberapa barangan atau perkhidmatan yang semestinya tidak dikenakan GST terutama yang bersifat ta’awun seperti takaful dan lain-lain.
  • Kerajaan mesti memantau harga di setiap peringkat dari semasa ke semasa samada di peringkat pemborong, pengilang, mahupun peruncit.
  • Penguatkuasaan undang-undang seperti Akta Pencatutan Harga mesti dilaksanakan dengan tegas bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan.

Dalam konteks muamalah atau hal ehwal keduniaan, Islam membuka ruang kepada pelbagai ijtihad dan pandangan yang boleh berubah mengikut zaman dan tempat kerana prinsip digariskan Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّـهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: “Allah mengkehendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak mengkehendaki kamu menanggung kesukaran”

(Surah al-Baqarah: 185)

Keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 yang bersidang pada 21 – 22 Oktober 2014 telah membincangkan Kajian Terhadap Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

  1. Setelah mendengar pembentangan dan meneliti laporan penyelidikan yang telah disediakan oleh Kumpulan Penyelidik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan hasil penyelidikan yang telah dikemukakan.
  2. Berdasarkan hasil penyelidikan tersebut, Muzakarah mendapati bahawa:
  • Sumber pendapatan negara yang dikutip daripada rakyat dibahagikan kepada dua iaitu zakat dan cukai. Isu cukai adalah isu siyasah syar’iyah yang bergantung kepada maslahah yang berbeza-beza antara sesebuah negara dengan negara yang lain dan maslahah pada sesuatu zaman berbanding zaman yang lain
  • Cukai yang tidak berasaskan maslahah yang dibenarkan oleh Syarak adalah diharamkan. Oleh itu, jika Kerajaan sesebuah pemerintahan mengutip cukai bagi memenuhi maslahah daruriyat dan hajiyat rakyat, seperti untuk memenuhi tanggungjawab sosial dan kepentingan rakyat serta untuk keperluan jihad fi sabilillah, maka ia adalah dibenarkan.
  • Sebahagian ulama iaitu Ibn Hazm, Ibn Taimiyah, Ibn al-Musili al-Syafi’i, al-Syatibi, Ibn Khaldun, ulama semasa Mahmud Syaltut dan Ahmad al-Raysuni membenarkan Kerajaan untuk mengenakan cukai kepada rakyat sekadar untuk memenuhi maslahat umum pentadbiran negara.
  • Majoriti para ulama berpandangan Kerajaan haram mengutip cukai daripada rakyat. Namun jika terdapat keperluan yang mendesak, maka Kerajaan dibenarkan mengenakan cukai bagi memenuhi maslahah umum rakyat berdasarkan Qaedah Fiqhiyyah:

الشريعة وضعت لمصالح العباد ودرء المفاسد عنهم

“Syariat itu dibina atas dasar memenuhi maslahah manusia dan menjauhkan mafsadah daripada mereka”.

  1. Berdasarkan dapatan kajian yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa apabila Kerajaan mengutip cukai daripada rakyat, wujud kemudharatan khusus iaitu harta milik rakyat akan berkurangan. Namun, jika cukai tidak dikutip, banyak maslahah umum tidak dapat dilaksanakan oleh Kerajaan. Oleh itu, berdasarkan Qaedah Fiqhiyyah يُتَحَمَّلُ الضَّرَرُ الْخَاصُّ؛ لِأَجْلِ دَفْعِ ضَرَرِ الْعَامِّ (Ditanggung kemudaratan khusus untuk mengelakkan berlakunya kemudaratan umum), Kerajaan dibenarkan untuk mengutip cukai demi untuk memenuhi maslahah umum.
  2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Islam mengharuskan pemerintah atau Ulil Amri untuk mengutip cukai seperti Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia selagimana terdapat keperluan dan maslahah untuk negara dan rakyat, dan pelaksanaannya hendaklah berpandukan parameter syarak seperti berikut:
  1. Kerajaan Komited Melaksanakan Syariat Islam;
  2. Kerajaan Memerlukan Sumber Kewangan;
  3. Cukai Yang Dikutip Hanya Untuk Memenuhi Maslahah Dharuriyat dan Hajiyat;
  4. Bebanan Cukai Dikutip Secara Adil;
  5. Cukai Dibelanjakan Untuk Maslahah Ummah Bukan Untuk Maksiat;
  6. Agihan Cukai Hendaklah Bertepatan Dengan Ijtihad Ulama Semasa dan Setempat;

Pengertian Sebenar Sahibu Maks (صاحِبُ مَكسٍ)

Sepertimana terdapat dalam hadith di atas

لا يدخُلُ الجَنَّةَ صاحِبُ مَكسٍ

Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga pengutip cukai.”

Riwayat Abu Daud (2937). Hadith ini mengikut pendapat Abu Daud adalah soleh atau boleh digunakan.

Akan tetapi ramai di kalangan ulama mendhaifkannya.

Tafsirannya telah dibuat oleh ramai ulama’. Berdasarkan analisa kepada pendapat ulama, ciri ‘al-maks’ yang diharamkan oleh Nabi Muhammad saw ialah:

  • Cukai yang dikutip (al-Harawi, 2001: 10/54; al-Farabi, 1987: 3/979; Ibn Manzur, 1414H: 6/220; al-Zabidi, t.th.: 16/514-516) secara zalim (al-Khattabi, 1982: 1/219; al-Rahibani, 1994; al-Raysuni, 1992: 352) dan melampaui batas (al-Baghawi, 1983: 10/61), oleh pegawai kerajaan yang zalim (Muslim bin al-Hajjaj, t.th.)
  • Cukai tersebut tidak berasaskan kepada kebenaran Syarak (al-Alusi, 1981: 273; Ibn Muflih, 2003: 10/347; al-Hijawi, t.th.: 2/52; al-Buhuti, t.th.: 3/139; alSyawkani, 1993: 7/132; al-Rahibani, 1994: 2/619; al-Qari, 2002: 6/2337).
  • Cukai dikutip, diagih dan diurus secara berlawanan dengan hukum Syarak (al-Suyuti, 1994: 19/500).
  • Cukai yang dikutip mempunyai elemen rasuah kerana pada asalnya ‘al-maks’ yang diamalkan dalam kalangan masyarakat Arab Jahiliyah, wakil pemerintah mengutip ‘al-maks’ daripada peniaga di pasar secara batil (alMaqrizi,1418H: 3/218).
  • Cukai yang dikutip menjejaskan hak orang miskin (al-Bayhaqi, 2003: 7/26).
  • Cukai yang dikutip membebankan pembayar cukai seperti dikenakan cukai ketika dalam kesempitan dan dikutip secara paksa (al-Qari, 2002: 6/2337).
  • Cukai yang dikutip untuk digunakan sewenang-wenangnya oleh pemimpin tanpa berdasarkan kepentingan umum (al-Munawi, 1988: 2/505).
  • Berkata guru kami Fadhilat al-Syeikh Muhsin al-Abbad, makna tidak masuk syurga bukanlah bermakna seseorang itu kafir dan kekal dalam neraka atau juga tiada jalan baginya ke syurga tetapi sebenarnya ancaman dan memberi amaran dengan sesungguh-sungguhnya. Begitu juga ia bukanlah bermaksud orang pertama yang memasuki syurga.

Mengikut pandangan Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan Dr. Ali Mahyuddin al-Qurrah Daghi menegaskan bahawa kalimah maks dalam konteks hadith ini membawa maksud sejenis cukai yang diwajibkan oleh sebahagian pemerintah dan penyokong mereka untuk bermewahan dengannya walaupun menyusahkan rakyat mereka.

Pandangan Pakar Ekonomi

Dilampirkan beberapa pandangan pakar ekonomi berkenaan GST. Antaranya:

  • Profesor Dr. Asan Ali Golam Hassan

Ahli Jawatankuasa Majlis Profesor Negara (MPN)

Menurut Ahli Jawatankuasa Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr. Asan Ali Golam Hassan, menerusi GST, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) boleh membuat pemantauan di setiap peringkat – pengilang, pemborong, peruncit hingga ke pengguna.

Dalam pada itu katanya, pemantauan boleh dilaksanakan menerusi pengumpulan data oleh kerajaan yang perlu dihantar peniaga setiap bulan.

Tegasnya, ia berbeza dengan sistem cukai yang digunapakai sekarang, iaitu pemantauan hanya di peringkat pengilang yang mengenakan cukai barangan.

Katanya lagi, menerusi GST, peniaga perlu memikirkan jumlah cukai korporat yang perlu dibayar jika ingin menaikkan margin keuntungan sesuka hati.

Ia kerana, selain JKDM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga akan memainkan peranan penting bagi memastikan setiap peniaga menjelaskan cukai korporat setiap tahun.

Tegasnya, peniaga perlu membayar lebih banyak cukai korporat seandainya mereka menaikkan margin keuntungan.

Katanya, pelaksanaan GST adalah adil kepada semua pihak yang terlibat termasuk pengguna yang selama ini menanggung cukai barangan.

  • Datuk Dr. Mohamed Ariff

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER)

Kerajaan harus melaksanakan GST pada 2012.

Tahun 2012 adalah masa yang paling sesuai untuk melaksanakan GST kerana pada masa itu ekonomi dijangka berada di landasan yang betul.

Pengenalan GST adalah penting untuk kestabilan hasil Kerajaan terutama selepas krisis ekonomi global.

Utusan Malaysia, 21 Ogos 2009

  • Datuk Paul Selvaraj

Ketua Pegawai Eksekutif Penyelidikan Pengguna dan Pusat Sumber

Saya percaya apa yang kerajaan cuba lakukan sekarang boleh memberi manfaat kepada pengguna dalam jangka masa panjang, tetapi hanya jika mereka jujur dan telus mengenainya.

Apabila anda bercakap tentang mengenakan cukai baru, ia adalah lumrah bahawa sukar bagi orang ramai pada mulanya untuk menerimanya.

Mengapa saya katakan ini berkesan kerana ia adalah mudah, jika anda mahu lebih, anda bayar lebih.

Kita tidak boleh hidup dan bergantung kepada subsidi, ia akan membebankan kerajaan lebih dan kita tidak boleh sentiasa dimanjakan.

Malay Mail (Diterjemahkan), 27 November 2009

  • Datuk Mohd. Salleh Abdul Majid

Bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur

Pelaksanaan GST adalah adil dan tidak membebankan rakyat.

GST telah dilaksanakan di 140 negara (data terkini melebihi 160 buah negara). Rakyat harus memahami objektif pelaksanaannya.

Keputusan kerajaan untuk memberi pengecualian GST ke atas keperluan asas seperti produk pertanian dan barangan makanan asas adalah dihormati.

Kerajaan perlu mencari sumber baru pendapatan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan dalam jangka masa panjang.

Kerajaan tidak patut terlalu bergantung kepada cukai pendapatan dan cukai yang dikutip dari Petronas.

Utusan Malaysia, 19 Disember 2009

Penutup

Saya nukilkan di sini pendapat mufakkir Islami al-Syeikh Muhammad al-Ghazali dalam kitabnya Mi’ah Su’al ‘an al-Islam antara lain membahaskan berkenaan dengan isu percukaian. Beliau berkata: “Aku pernah mendengar ucapan daripada sahabat yang menetap di Eropah sejak sekian masa dan aku begitu kagum dan tidak lupa sesungguhya pada hari penyediaan belanjawan negara dianggap sebagai hari perayaan kegembiraan yang menyeluruh dan terpancar pada wajah masing-masing.

Beliau berkata di sebahagian negara akan dikatakan kepada pembayar cukai, kajilah secara terperinci cara kamu belanjakan dan lihatlah di mana kami letakkan harta yang kami ambil daripada kamu. Mereka melaksanakan maslahah ‘ammah dengan penuh amanah dan integriti. Membiayai pusat pengajian dan hospital. Ini kerana mereka mengambil harta dengan sebenar, memberi dengan penuh penglihatan, membahagi dengan penuh keadilan. Maka tidaklah diwajibkan cukai melainkan persetujuan ahli parlimen dan tidak dibelanjakan melainkan dengan persetujuan.

Inilah yang perlu ditahqiqkan oleh negara agar pelaksanaan percukaian memberi manfaat dan maslahah kepada seluruh rakyat samada dari segi pendidikan, dakwah, penyediaan kapal perang, ketenteraan, persenjataan yang memerlukan kepada sejumlah harta. Saya mengakhiri perbincangan ini dengan mengharapkan agar manfaat daripada percukaian dan harta yang dipungut akhirnya dibelanjakan untuk maslahah ummah dan diberikan tanpa sebarang ungkitan selaras dengan firman Allah:

وَمَا يَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ فَلَن يُكْفَرُوهُ ۗ وَاللَّـهُ عَلِيمٌ بِالْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Dan apa sahaja kebajikan yang mereka kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan diingkari (atau disekat dari mendapat pahalanya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertaqwa.”

(Surah Ali Imran: 115)

Sekali lagi saya berdoa kepada Allah semoga Allah mencukupkan rezeki kita dan rezeki negara kita sehingga menjadi negara yang stabil dan makmur ekonominya sehingga GST dapat dikurangkan kalaupun tidak dapat dihapuskan. Semoga Allah mengurniakan kepada kita kefahaman yang baik dan menjadikan semua di kalangan kita mendapat petunjuk dari-Nya. Amin.

Akhukum Fillah

DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

Mufti Wilayah Persekutuan
———————————————

Di sini saya mengambil kesempatan mencadangkan kepada pihak berkuasa untuk mempertimbangkan beberapa perkara agar kegusaran dan kegelisahan di kalangan masyarakat dapat dihindarkan. Antaranya :

• Kadar 6% hendaklah dikurangkan mengikut kemunasabahan dan kemampuan rakyat kebanyakan pada masa kini.
• Masyarakat Islam yang membayar zakat tidak lagi dikenakan GST atau satu mekanisma khusus diwujudkan agar tidak berlaku dua kali pembayaran sehingga terbeban umat Islam itu sendiri.
• Ketelusan dalam pelaksanaan ini dengan penuh integriti dan amanah perlu dipertingkatkan bagi mereka yang terbabit dalam urusan GST ini.
• Rakyat jelata dan orang ramai begitu ternanti-nanti ingin melihat hasil daripada percukaian GST, akan dibaikpulih kualiti sistem pengangkutan awam, kemudahan awam, pembelajaran dan lain-lain yang bersifat maslahah ‘ammah.
• Penerangan yang menyeluruh disebarkan terutamanya sebarang kekeliruan yang bermain di minda masyarakat hendaklah dijelaskan dengan sebaik mungkin.
• Mekanisma dan cara pungutan dan pengagihan perlu selamat daripada sebarang unsur penindasan dan orang-orang miskin dikecualikan daripada dibebani dengan cukai. Begitu juga mekanisma supaya tidak berlaku eksploitasi orang yang tidak bertanggungjawab yang perlu dikawal sebaik mungkin agar kemaslahatan terzahir.
• Mengenalpasti beberapa barangan atau perkhidmatan yang semestinya tidak dikenakan GST terutama yang bersifat ta’awun seperti takaful dan lain-lain.
• Kerajaan mesti memantau harga di setiap peringkat dari semasa ke semasa samada di peringkat pemborong, pengilang, mahupun peruncit.
• Penguatkuasaan undang-undang seperti Akta Pencatutan Harga mesti dilaksanakan dengan tegas bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan


Responses

  1. Reblogged this on zatisikucinghitam.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: