Posted by: peribadirasulullah | Disember 15, 2014

Hikmah Dan Matlamat Penciptaan Manusia

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bersua kembali dalam episod seterusnya. Pada episod-episod lepas, Mukjizat Saintifik telah membongkar beberapa benda dan perkara yang dianggap picis di mata manusia. Pada episod ini, untuk permulaannya, Mukjizat Saintifik ingin mengajak para pembaca yang budiman agar berhenti sejenak. Kemudian pandang di sekeliling kita. Perhatikan! Adakah terdapat sebarang benda atau perkara yang wujud secara sia-sia. Tidak kira anda berada di mana. Cuba perhatikan!

Sekiranya kita berada di dalam tandas, kita akan dapati di sekeliling terdapat berus tandas, pam tandas, selipar tandas, baldi, paip getah, pencuci tandas, bakul sampah dan lain-lain lagi perkakas tandas. Adakah semua benda ini wujud di dalam tandas tanpa ada tujuan dan matlamat dari pemilik tandas? Tentu sekali jelas matlamat sang pemilik tandas meletakkan segala barangan tersebut di dalam tandas. Sekiranya dia meletakkan sesuatu benda tanpa matlamat dan tujuan, maka tindakannya dianggap sia-sia dan gila.

Tinggalkan sejenak dunia tandas dan lain-lain dunia. Cuba perhatikan kepada kita. Makhluk yang bernama manusia. Manusia adalah makhluk hidup yang paling canggih ciptaannya. Paling halus buatannya. Paling seni ukirannya. Manusia dilengkapi dengan pelbagai sistem badan untuk mengharmonikan keseluruh tubuh badan.

Antara sistem-sistem yang melengkapi tubuh manusia adalah sistem perkumuhan, sistem saraf, sistem pembiakan, sistem endokrina, sistem limpa dan lain-lain lagi. Kesemua sistem ini beroperasi secara harmoni untuk menjaga organ-organ dan deria manusia agar berfungsi dengan baik.


Semua sistem tubuh manusia mempunyai matlamat dan tugas tertentu. Sistem pengliran darah sebagai contoh terdiri dari jantung dan saluran darah. Ia berfungsi satu sistem yang mengalir dan mengedarkan darah beroksigen hasil tindakan jantung yang berfungsi sebagai pam keseluruh badan melalui salurnadi dan salurhalus. Manakala darah yang kurang kandungan oksigennya dibawa balik ke jantung oleh pembuluh darah.

Sistem pernafasan bertindak sebagai agen yang membawa masuk oksigen melalui rongga hidung ke dalam darah di paru-paru dan mengeluarkan karbon dioksida dan wap air dari tubuh. Sistem penghadaman menjalankan tugas yang penting iaitu, menyediakan bahan-bahan makanan untuk diserap supaya bahan-bahan ini dapat digunakan oleh sel-sel tubuh. Sistem endokrina pula adalah satu sistem kilang tanpa salur di dalam tubuh manusia yang menghasilkan bahan kimia yang dipanggil hormon. Hormon ini diserap terus ke dalam darah dan dibawa oleh sistem pengaliran darah ke seluruh tubuh.

Wow! Banyak sekali sistem yang bermatlamat dan penuh fungsi di dalam tubuh manusia. Itu belum dikira lagi fungsi setiap organ dalaman dan luaran. Belum lagi termasuk fungsi setiap deria. Pendek kata semua yang terdapat dalam tubuh manusia samada yang tersiri dari sistem, organ atau pun deria. Manusia itu sendiri terdiri dari pelbagai struktrur yang penuh misi dan matlamat. Persoalannya:

Apakah matlamat kesemua struktur itu untuk manusia?
Apakah matlamat kewujudan manusia?
Mengapa manusia ada di dunia?
Mengapa perlu ada manusia?
Untuk Siapa?
Untuk Apa?

Persoalan ini akan terbongkar pada episod seterusnya.

Bertemu lagi. Kali ini Mukjizat Saintifik akan membawa para pembaca budiman semua kepada satu dialog yang berlaku di antara seorang tokoh dalam ilmu mukjizat saintifik yang dipanggil sebagai Syeikh dengan seorang tokoh ilmuan barat iaitu Profesor Christopher Ballis. Beliau adalah panel pemeriksa bagi ujian kelayakan bagi mendapatkan keahlian Persatuan Perubatan di Raja Britain.

Dialog ini sebenarnya telah diceritakan oleh Syeikh dalam siri kuliahnya yang berkaitan dengan mukjizat saintifik. Begini perbualannya:

Syeikh: Prof, adakah mata dicipta dengan hikmah?

Prof:Ya, tentu sekali.

Syeikh : bagaimana pula dengan hidung? adakah ia dijadikan dengan hikmah?

Prof: Ya.

Syeikh: Bagaimana dengan mulut, tangan, jantung, paru-paru, hati dan usus kecil?

Prof: Anda sedang mengatakan kepada saya tentang satu ilmu yang sempurna yang dikenali sebagai “ilmu tugas-tugas anggota tubuh” (Fisiologi) yang mana tidak mungkin seorang doktor boleh diijazahkan dari mana-mana fakulti perubatan kecuali setelah belajar ilmu ini iaitu ilmu fisiologi.

Syeikh: Terima kasih. Jadi Prof, adakah anggota-anggota tadi dicipta untuk dirinya sendiri atau untuk keseluruhan tubuh?

Prof: (ketawa) Pada pendapat kamu, jika kita datangkan sistem tulang semata-mata tanpa jasad adakah ia mempunyai nilai?

Syeikh: Bukan!

Prof: Jadi, bagaimana kamu boleh berkata bahawa bahagian-bahagian ini dicipta untuk dirinya sendiri? Ia tidak diciptakan melainkan untuk keseluruhan!!!

Syeikh: Saya bertanyakan kamu Prof, dan kamu telah menjawab soalan saya dengan baik, terima kasih. Namun ada satu lagi persoalan pada saya. yang seluruh ini (jasad manusia), apakah hikmah daripadanya? Kenapa ia dijadikan?

Prof: (terperanjat) Ini adalah falsafah

Syeikh: Kamu mengelak (dari menjawab pertanyaan saya) dan kamu cuba melarikan diri sekarang ini. Sebentar tadi ia adalah ilmu fisiologi, ilmu! ilmu!. Dan sekarang, apabila kita sampai kepada yang keseluruhan ini, awak lari dan mengelak. Saya tahu kamu akan lari dan mengelak kerana hikmah tersebut tidak akan diketahui melainkan dari ajaran Tuhan yang menjadikan manusia ini kerana ia adalah ilmu yang tersembunyi pada diri Pencipta Yang Maha Agung lagi Maha Tinggi, Yang Maha Suci. Namun begitu masih ada satu persoalan pada diri saya Prof.

Prof: Apakah ia?

Syeikh: Kasut anda milik anda! adakah ia mempunyai hikmah?

Prof: Ya.

Syeikh: Prof, anda pasti?

Prof: Saya pasti.

Syeikh: Beritahu saya apakah hikmahnya?

Prof: Kasut dapat melindungi kaki saya daripada benda-benda tajam, cecair-cecair yang berbahaya, perubahan cuaca dan daripada benda yang mungkin menembusi tapak kaki saya berupa cacing sekira saya berkaki ayam ketika berjalan.
Syeikh: Kamu pasti?

Prof: Pasti!

Syeikh: Kamu pula, apakah hikmah dari kejadian kamu?

Prof: (terperanjat)

Syeikh: Ajaib! Demi Allah! Saya begitu takjub dengan ketamadunan kamu yang mengatakan kepada anak-anaknya: “kamu lebih hina dari kasut kamu!!!”. Kasut mempunyai hikmah manakala si pemakainya tiada sebarang hikmah daripadanya, tiada hikmah dari kewujudannya!!!.

(Petikan dari Siri Bukti-bukti Keimanan dan Mukjizat-mukjizatnya)

Jadi, apakah hikmah disebalik penciptaan manusia? Siapa yang mencipta? Kenapa kita diciptakan? Bagaimana untuk mengenali siapa pencipta?

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Dalam episod ini, Mukjizat Saintifik ingin mengajak para pembaca yang budiman agar bersama-sama memikirkan apakah hikmah di sebalik penciptaan kita. Mungkin ada di kalangan kita sudah mengetahui jawapannya dan tidak sedikit yang masih kabur tujuan hidupnya. Namun begitu Mukjizat Saintifik akan cuba membuka jalan untuk kita sama-sama berfikir, kaedah terbaik untuk mengetahui tujuan dan matlamat hidup manusia.

Sekiranya anda terjumpa seorang manusia yang terpisah dari arus pemodenan. Tidak pernah kenal erti kemajuan. Tidak pernah mengecap nikmat pembangunan. Teknologi terkini langsung tidak terfikir di benaknya. Kehidupannya hanya sekadar rumah, pakaian dan makanan. Tiba-tiba melintas di hadapannya sebuah kereta. Lalu si manusia tadi berkata: “Apakah benda itu?. Apakah kegunaannya? Mengapa perlu ada benda itu?”.

Mungkin kita boleh menjawab persoalan tersebut secara tepat dan betul. Akan tetapi ramai manakah manusia moden di zaman ini boleh menerangkan fungsi, kegunaan dan matlamat penciptaan kereta? Bagaimanakah cara untuk memastikan kereta yang dibeli ini sentiasa baik kondisinya? Bagaimana hendak menjaganya? Bagaimana pula cara untuk menggunakan kereta agar ia tidak rosak dan musnah?

Persoalan di atas agak sukar dijawab oleh kita. Adakah cara lain untuk mengetahui kesemuanya itu? Ya! tentu sekali ada cara dan penyelesaiannya. Caranya ialah dengan kita bertanya kepada pencipta kereta itu sendiri. Tanya beliau, apakah fungsi dan matlamat dari penciptaan kereta ini? Mengapa kereta ini dicipta? Untuk apa? Untuk siapa? Bagaimana cara untuk menggunakannya dengan cara yang betul agar kereta yang dipandu tidak mudah rosak dan musnah.

Semua persoalan di atas, dapat dijawab oleh pencipta kereta dengan jelas dan tepat. Ini kerana beliau dapat mengetahui selok belok perihal kereta kerana beliaulah yang menciptanya. Beliau tahu tujuan dan matlamat penciptaan kereta, tahu kenapa ia dicipta, untuk apa, untuk siapa dan kaedah pemanduannya.

Oleh itu, bagaimanakah cara yang paling tepat untuk mengetahui matlamat dan tujuan kehidupan serta hikmah kewujudan manusia ini? Sudah tentu persoalan ini perlu diajukan kepada Pencipta manusia itu sendiri. Siapakah Pencipta manusia? Bagaimana cara untuk mengenali Pencipta?
Assalamualaikum dan salam bahagia. Bertemu lagi pada episod ini. Pada siri yang lepas Mukjizat Saintifik telah memperkatakan tentang kaedah untuk mengetahui matlamat kewujudan serta fungsi sebuah kereta secara tepat. Caranya ialah dengan bertanya kepada pembuat kereta tersebut apakah matlamat kewujudan serta fungsinya yang sebenar. Namun begitu adakah kita mengetahui pula tujuan dan matlamat kewujudan manusia secara tepat? Sekiranya kita semua masih samar-samar dan ragu-ragu tentang matlamat dan tujuan kedatangan kita ke dunia ini, maka adalah baik sekiranya persoalan ini diajukan kepada pencipta kita. Oleh itu, siapakah pencipta kita dan bagaimanakah pula caranya untuk mengetahui siapakah pencipta kita dengan betul dan tepat.

Sidang pembaca yang budiman sekalian. Setiap perkara yang wujud di atas muka bumi ini mempunyai pencipta. Tiada sesuatu perkara pun yang terjadi secara tiba-tiba tanpa wujud satu kuasa yang menciptanya. Seandainya kita memberitahu bahawa kerusi adalah tercipta hasil dari ribut taufan yang berlaku dengan menerbangkan kayu balak kemudian terbelah menjadi kepingan papan dan akhirnya bercantum menjadi kerusi sudah tentu ia menjadi bahan ketawa khalayak. Sudah tentu kerusi memerlukan tukang yang khusus untuk menciptakannya.

Sekiranya penciptaan kerusi yang serba ringkas itu pun memerlukan pencipta, apatah lagi dengan kejadian bumi, manusia, haiwan dan lain-lain hidupan yang ciptaannya tersangat kompleks. Tentu sekali mereka memerlukan pencipta. Sekiranya kita ini ada pencipta yang menjadikan kita, maka siapakah pencipta kita? Jawapannya ialah Tuhan, Tuhan yang menciptakan alam ini Yang Maha Pencipta lagi Maha Bijaksana.

Pencarian Mencari Tuhan

Untuk mengetahui tujuan dan fungsi sebenar penciptaan kita, maka bertanyalah kepada pencipta kita. Siapakah Dia? Dia ialah Tuhan sekalian alam. Bagaimanakah cara untuk bertanya kepada Tuhan sekalian alam? Pembaca yang budiaman sekalian, kita sebenarnya tidak mampu berhubung terus dengan Tuhan. Disebabkan jurang inilah maka Tuhan menghantar para utusan dari kalangan manusia untuk memberitahu tugas, peranan dan tujuan penciptaan manusia.

Utusan-utusan Tuhan bertindak menyampaikan amanat yang ditetapkan oleh Tuhan sekalian alam khusus untuk umat tertentu atau umumnya untuk manusia keseluruhannya. Para utusan yang dilantik oleh Tuhan ini dipanggil nabi. Jadi apakah tanda-tanda untuk membuktikan bahawa para nabi ini betul-betul utusan Tuhan?

Para utusan yang diutus oleh Tuhan dibekalkan dengan mukjizat yang sesuai dengan akal dan tahap pemikiran kaum pada masa itu. Mungkin kita pernah mendengar nabi-nabi seperti nabi Sulaiman, nabi Saleh,nabi Musa (Moses), nabi Isa (Jesus), nabi Muhammad dan lain-lain lagi.

Mereka merupakan utusan Tuhan yang diutuskan kepada kaum-kaum tertentu. Setiap dari mereka dibekalkan dengan mukjizat yang luar biasa untuk tujuan melemahkan kemampuan manusia, mengikut suasana dan ilmu kaum pada masa itu.

Sebagai contoh kaum nabi Saleh iaitu Thamud. Mereka memiliki seni perukiran batu yang tinggi. Mereka mengukir bukit-bukau menjadi tempat-tempat kediaman yang cukup indah. Seni ukiran mereka betul-betul memukau bagi mereka yang melihatnya. Kesan peninggalan mereka dapat dilihat di kota Petra yang terletak di negara Jordan. Di tengah-tengah kemajuan teknologi memahat dan mengukir batu kaum Thamud, Tuhan menghantar utusan-Nya, nabi Saleh membawa ajaran dan amanat dari Tuhan. Tatkala kaum Thamud bermegah-megah dengan kepakaran mereka dalam seni ukiran batu, baginda dikurniakan oleh Tuhan mukjizat yang tertinggi dalam bidang pengukiran iaitu dapat membangkitkan unta dari batu. Semua pengukir batu terpaksa tunduk dan akur dengan mukjizat yang agung ini. Tiada seorang pun dari kalangan pengukir batu yang mampu membuat ukiran sehingga menjadi hidup dan bernyawa. Oleh itu mereka tidak mampu dan lemah apabila berhadapan dengan mukjizat yang dikurniakan oleh Tuhan kepada nabi Saleh.

Contoh yang lain pula ialah nabi Musa. Di zaman baginda, ilmu sihir menjadi kemuliaan bagi seseorang. Oleh sebab itulah nabi Musa dikurniakan mukjizat seakan-akan sihir tetapi bukan sihir. Tongkat baginda bertukar menjadi ular apabila ia dicampak. Kemukjizatan ini bertujuan untuk menghadapi khalayak yang mempunyai tahap kesihiran yang tertinggi. Apabila berlaku pertembungan di antara nabi Musa dan ahli sihir, maka terzahirlah yang mana benar dan batil. Ini kerana hanya tukang sihir sahaja yang dapat mengesan kemukjizatan nabi Musa. Hasilnya tukang sihir berbondong-bondong beriman dengan risalah Musa.

Begitu jua halnya dengan Nabi Muhammad. Di zaman itu, penyair dan ahli bahasa dipandang tinggi oleh masyarakat. Bagi tujuan ini, banyak pusat-pusat untuk mendeklamasikan puisi diadakan. Kemudian didatangkan nabi Muhammad dengan mukjizat kitab al-Quran mengandungi gaya bahasa yang tinggi sehingga ramai khalayak sama ada penyair atau pun bukan turut terpukau. Bagi mereka yang terbuka hati, terus beriman dengan nabi Muhammad. Manakala bagi mereka yang ingkar, di tuduh pula Muhammad sebagai tukang sihir. Begitulah keindahan al-Quran sehingga ramai yang terpukau untuk memeluk Islam.

Timbul persoalan pada masa sekarang apabila Islam sampai ke seluruh dunia. Ramai orang Islam membaca al-Quran tetapi tidak memahami isi kandung al-Quran apatah lagi untuk menikmati keindahan bahasanya. Sekiranya ada seorang non Muslim bertanya, apakah kelebihan kitab al-Quran, maka apa pula jawapan kita nanti? Adakah kita perlu berkata kepada non Muslim itu: “Kamu belajarlah dahulu bahasa Arab, kemudian kamu akan dapat merasai kelazatan dan keindahan bahasa al-Ouran.” Adakah tega kita berkata begitu? Jadi apakah penyelesaiannya? Apakah jalan terbaik untuk menyatakan kelebihan dan kemukjizatan al-Quran pada masa kini?

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bersua kembali di episod Matlamat Kehidupan 10 – Hikmah Kejadian Manusia 4. Pada episod lalu, Mukjizat Saintifik ada mempersoalkan cara untuk meyakinkan manusia sama ada Muslim atau non-Muslim terhadap kebenaran al-Quran. Sekiranya al-Quran ini betul-betul kalam Tuhan, apa buktinya?

Pembaca yang budiman. Di zaman ini, dunia meletakkan ilmu sains di tempat yang tinggi dalam kehidupan. Kehidupan masa kini sememangnya tidak terlepas dari kemajuan dan teknologi sains. Sekiranya ingin mengetahui hakikat sesuatu perkara, maka ia perlu melalui displin ilmu sains. Sains adalah segala-galanya dalam kehidupan pasca moden ini.

Bgaimana pula halnya dengan al-Quran? Adakah ia masih sesuai dan relevan di masa kini memandangkan ia di turunkan lebih 1400 tahun yang lampau? Mari kita sama-sama mengorek rahsia al-Quran agar ia terbongkar. Pembongkaran telah bermula.

Cuba kita sama-sama melihat kepada surah al-Baqarah ayat ke 184 yang berbunyi: “dan berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.” Puasa adalah menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa bermula terbit fajar sehingga tenggelam matahari. Fidyah pula bermaksud gantian kepada amalan puasa dengan memberi makan kepada fakir miskin sekiranya terdapat individu yang tidak berkemampuan untuk berpuasa disebabkan tua atau sebagainya.

Ayat ini adalah galakan dari Tuhan agar berpuasa daripada berbuka dan membaya fidyah disebabkan adanya kebaikan yang terkandung dalam puasa. Oleh itu perkara yang ingin dibongkar di sini adalah “berpuasa itu lebih baik bagi kamu”. Apakah kebaikan yang terkandung dalam amalan berpuasa? Berpeluangkah kita untuk mengetahuinya?

Bersama kami di episod akan datang untuk pembongkaran sebenar…
Rujukan:

1.Pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (1981), Anatomi dan Fisiologi, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sila Rujuk blog:

http://mukjizatsaintifik.blogspot.com/search?updated-max=2007-10-21T01:05:00-07:00&max-results=7&start=7&by-date=false


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: