Posted by: peribadirasulullah | Oktober 22, 2012

Dimanakah Allah SWT disaat kita melakukan maksiat ?

https://i1.wp.com/langitilahi.com/pustaka/2011/12/Surrender_by_alyfahmy.jpg

Mudah merasa Allah ada ketika solat, tetapi ketika ingin bermaksiat, bagaimana?

Bukan mudah untuk merasai Allah sentiasa mengawasi kita 24/7 dalam kehidupan kita. Rasa Allah sentiasa Mengawasi.Dalam bahasa Arabnya, disebut muraqabatullah.

Tahu Allah Maha Memerhati dan Maha Mengawasi.
Tahu Allah itu sentiasa ada, tidak pernah mati.

Tetapi, kadang-kadang tindakan kita selalunya tidak menampakkan seolah-olah kita merasai Allah Maha Mengawasi.

Mudah merasai pengawasan Allah bila berada di tengah ramai, tetapi bila seorang diri, Allah baginya seolah-olah tidak wujud lagi.

Mudah merasai pengawasan Allah ketika berada dalam terdesak dan kesusahan, tetapi ketika senang dan lapang, Allah pun ditinggalkan.

Adakah Allah hanya wujud ketika kita bersama dengan kawan-kawan yang soleh sahaja?

Atau adakah Allah hanya wujud ketika solat, ketika kita benar-benar terdesak?

Adakah Allah tidak wujud pada waktu-waktu lain?

AMBILLAH IBRAH DARIPADA KISAH 3 ORANG BANI ISRAIL YANG DIUJI ALLAH

Kisah yang telah kita biasa dengari. 3 orang daripada Bani Israil telah diuji Allah dengan penyakit-penyakit yang menyebabkan masyarakat telah menyisihkan mereka.

Mereka adalah yang biasa kita dengari dengan Si Sopak, Si Botak dan Si Buta.

Saya tidak akan ceritakan keseluruhan kisah itu di sini. Kisah ini boleh dirujuk dalam kitab Riyadhus Solihin karangan Imam Nawawi. Kisah ini diceritakan oleh Rasul s.a.w. dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.

Mereka ini semuanya telah didatangi oleh malaikat untuk mendoakan kesembuhan bagi diri mereka. Bahkan, mereka telah ditawarkan dengan binatang ternakan yang mereka inginkan.

Kesemua mereka mendapat apa yang mereka inginkan. Setelah sembuh dan binatang ternakan masing-masing berkembang biak, Allah telah menguji mereka sekali lagi. Allah datangkan malaikat sekali lagi dalam keadaan menyerupai manusia yang miskin dan susah untuk menguji mereka.

Setelah berada dalam keadaan yang senang dan sihat, ternyata mereka telah lupakan Allah. Si Sopak dan Si Botak telah gagal dalam ujian itu. Ketika susah, mereka berharap penuh kepada Allah. Setelah Allah anugerahkan kesenangan dan kesihatan kepada mereka, mereka melupakan Allah.

Si Buta, tetap dalam keadaan celiknya itu , dalam keadaan beliau yang telah kaya raya itu, masih tetap terus mengingati Allah dengan membenarkan malaikat yang datang mengujinya untuk mengambil sebanyak manapun daripada binatang ternakan yang dimilikinya. Dia tahu yang menilai dirinya semasa dia buta dan semasa dia celik adalah Tuhan yang sama, iaitu Allah.

YANG MERASA LONGGAR DENGAN PENGAWASAN ALLAH, INGATLAH YANG ALLAH SENTIASA CEMBURU

Ramai yang tahu Allah Maha Memerhati. Tetapi berapa ramaikah yang benar-benar merasai dan menjiwai pengawasan Allah itu 24/7?

Kadang-kadang, bila berada dalam suasana yang soleh, suasana yang wujudnya peringatan, jiwa kita seolah-olah terasa begitu dekat dengan Allah. Tetapi, bila pulang ke rumah, tidak ada suasana-suasana yang mengingatkan, kita pun merasa longgar daripada ikatan dengan Allah.

Dalam solat, mampu mewujudkan perasaan Allah Maha Mengawasi. Tetapi, bila keluar daripada solat, perasaan itu seolah-olah tidak pernah wujud.

Di celah-celah kelonggaran ikatan kita dengan Allah itulah, syaitan sentiasa mengambil peluang untuk menjauhkan lagi kita daripada Allah. Maka, kita kembali bermaksiat kepada Allah ketika seorang diri. Kita kembali melazimi diri dengan dosa setelah keluar daripada solat.

Mampu menjaga Allah ketika dalam solat, tetapi gagal menjaga Allah pergaulan dan percakapan.
Mampu merasa Allah ada ketika dalam suasana soleh, tetapi gagal merasa Allah ada ketika menonton movie, ketika melayari internet.

Ingatlah yang Allah itu sentiasa cemburu dengan hamba-Nya. Kehidupan yang Dia anugerahkan, tetapi kita habiskan majoritinya untuk dosa dan maksiat. Kita jauhkan kehidupan kita daripada pengawasan Allah.

Allah pun merasa cemburu terhadap kita. Bagaimana?

Dalam satu hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang mafhumnya : ‘Sesungguhnya Allah Taala itu cemburu dan kecemburuan Allah Taala itu ialah apabila seseorang manusia mengerjakan apa-apa yang diharamkan oleh Allah ke atasnya.’

[Muttafaq Alaih]

ALLAH ITU SENTIASA ADA KETIKA KAU INGIN BERMAKSIAT

Ketika ingin bermaksiat, ingatlah balasan yang akan menimpa dirimu di akhirat nanti. Api neraka dengan kepanasannya yang menggelegak sentiasa menunggu hidangannya. Buah zaqqum dan cairan tembaga yang nantinya akan menghancurkan isi perutmu.

Ketika ingin bermaksiat, segeralah detikkan pada hati yang Allah sedang Memerhati. Jika masih ada rasa untuk bermaksiat, maka kita memang telah bersedia untuk menanggung seksa kubur, dibelit ular, disengat kala dan disebat malaikat sehingga terbenam ke dalam bumi.

Dengan segalanya yang telah Allah berikan untuk kita layakkah kita membalas Allah dengan dosa-dosa kita yang mengenepikan Allah di waktu-waktu senang kita?

Lalu fikirkan pula, setelah kita sentiasa melupakan Allah, maka ketika saat terdesak, ketika tidak ada siapa yang mampu menolong melainkan hanya Allah, maka apakah layak bagi kita untuk memohon pertolongan dari-Nya ketika itu?

Ingatlah yang Allah sentiasa ada, tidak pernah mati. Allah yang kita sembah ketika solat, adalah Allah yang sama melihat kita ketika ingin bermaksiat.

Allah sentiasa kekal tidak pernah fana.

Kalau menunggu terdesak, baru hendak merasa Allah ada, baru hendak kembali kepada Allah, bimbang kita akan jadi orang yang tidak mempunyai kesempatan untuk kembali seperti Firaun.

Sementara kesempatan masih ada, maka segeralah perbaiki.

PENUTUP : YANG BERJUANG MENJAGANYA, AKAN MENDAPAT CINTA ALLAH. ADAKAH YANG LEBIH BESAR DARIPADA ITU?

Yang terus berjuang menjaga muraqabatullah, Allah akan anugerahkan hadiah untuknya.

Dalam segenap kehidupannya, dia sentiasa merasa diperhatikan Allah.

Rasa Allah sedang menilai amal-amalnya. Bila dia merasai Allah sentiasa menilai dirinya, maka dirinya sentiasa tergerak untuk melakukan yang terbaik dalam kehidupannya.

Satu ketika, Nabi s.a.w. bersabda kepada Ibn Abbas :

“Hai anakku, sesungguhnya saya hendak mengajarkan kepadamu beberapa kalimat iaitu : Peliharalah perinta Allah nescaya Dia akan memeliharamu (sepanjang masa), peliharalah larangan Allah, nescaya engkau akan dapati ia selalu di hadapanmu. Apabila kamu meminta, maka mintalah kepada Allah dan apabila engkau hendak memohon maka mohonlah pertolongan dari Allah.”

Yang berjuang menjaga Allah dalam senang dan susahnya, dalam ramai dan seorangnya, Allah juga akan menjaganya setiap masa dan di mana jua dia berada.

Lihatlah, yang berjuang menjaga muraqabatullah pastinya akan mendapat cinta Allah.

Maka, ketika Allah ingin menganugerahkan cinta-Nya kepada kita, adakah yang lebih besar daripada itu?

Pasti. Pastinya tidak ada. Jadi, apa lagi yang ditunggu?

Segeralah rebut nilaian Allah !

Rujukan:

http://langitilahi.com/6152


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: