Posted by: peribadirasulullah | September 5, 2009

PENGERTIAN IKHLAS

1. IKHLAS

Firman Allah Taala :

“Sesungguhnya Kami turunkan Kitab (Al-Quran) itu kepada engkau dengan kebenaran. Oleh sebab itu, sembahlah Allah dengan tulus-ikhlas beragama keranaNya semata-mata.

Ketahuilah, bahawa agama yang suci-murni (al-khalis) itu hanya kepunyaan Tuhan. Dan orang-orang yang mengambil pelindung-pelindung selain dari Tuhan itu ( dengan men- gatakan): Kami tidak menyembahnya melainkan untuk membawa kami lebih dekat kepada Tuhan.

Sesungguhnya Tuhan itu akan memutuskan perkara di antara mereka mengenai hal yang mereka sengketakan. Tuhan tidak memberikan pimpinan kepada orang yang pendusta lagi engkar.” (Az-Zumar: 2-3).

“Dan mereka hanya diperintahkan supaya menyembah Tuhan, dengan tulus-ikhlas beragama untuk Tuhan semata-mata, berdiri lurus, menegakkan sembahyang dan membayar zakat. Dan itulah agama yang betul.” (AI-Bayyinah: 5).

2. Niat

Membicarakan soal ikhlas haruslah didahului dengan huraian tentang niat, sebab antara keduanya mempunyai sangkut-paut yang erat, tak ubahnya laksana pohon dengan benih.

Niat itu adalah titik-tolak permulaan dalam segala amal, pekerjaan, perjuangan dan lain-lain. Dia menjadi ukuran yang menentukan tentang baik buruknya sesuatu amal atau perbuatan. Apabila niatnya baik, maka pada umumnya buahnya pun akan baik; sebaliknya, jika niatnya buruk, maka hasilnya pun akan buruk pula. Boleh diumpamakan seperti satu sungai yang mengalir. Kalau sejak dari hulu airnya jernih, maka sampai ke muara pun airnya akan tetap jernih. Tapi, kalau di hulu airnya sudah keruh, maka sampai ke muaranya pun tentu akan keruh pula.

Fungsi dan peranan niat itu sangat menentukan, sehingga sebahagian Ulamak-Ulamak Salaf (dahulu kala) menyimpulkan:

“Kerapkali amal yang kecil menjadi besar kerana (baik) niatnya; dan seringkali pula amal yang besar menjadi kecil kerana (salah) niatnya.”

Niat itu disebut juga iradah atau qasad ( dari kata-kata qasad inilah asalnya kata-kata maksud).

Adapun hakekat niat itu ialah keadaan atau sifat yang tumbuh dalam hati manusia, yang menggerakkan atau mendorongnya untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan.

Tentang peranaan dan kedudukan niat itu dijelaskan dalam satu Hadis, sebagai berikut:

“Dari Amirul Mukminin Abi Hafshin ‘Umar bin Khattab, dia berkata: Saya dengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya segala amal perbuatan bergantung kepada niat, dan sesungguhnya tiap-tiap orang memperoleh sesuatu (sesuai) dengan niatnya itu. Barangsiapa yang hijrah pada jalan Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu ialah kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrah kerana ingin untuk memperoleh keduniaan, atau untuk mengawini seorang wanita, maka hijrahnya ialah ke arah yang ditujunya itu.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Adapun sebab-sebabnya Rasulullah mengeluarkan ucapan (Hadis) tersebut, ialah untuk menjawab pertanyaan salah seorang Sahabat berkenaan dengan suatu peristiwa sebagai berikut:

Ketika Rasulullah hijrah dari Mekkah ke Madinah, yang kemudian diikuti oleh sebahagian besar Sahabat-sahabat, maka ada salah seorang laki-laki yang turut juga hijrah. Tapi niatnya bukanlah untuk kepentingan perjuangan, hanya kerana hendak kahwin dengan seorang wanita yang bernama Ummu Qies. Wanita itu rupanya sudah bertekad akan turut hijrah, sedang laki-laki tersebut pada mulanya memilih akan tinggal menetap di Mekkah. Kerana perempuan itu memajukan syarat bahawa ia bersedia dikahwini di tempat Rasulullah pindah (Madinah), maka akhimya laki-laki itupun turut pula hijrah.

Ketika peristiwa itu ditanyakan kepada Rasulullah, apakah hijrah dengan motif yang demikian itu diterima (makbul) atau tidak, beliau menjawab secara umum seperti yang tersebut pada Hadis di atas.

Pada Hadis itu ditegaskan lebih jauh, bahawa tiap-tiap amal perbuatan haruslah berlandaskan niat, dan nilai amal yang dikerjakan itu pada sisi Tuhan, tergantung kepada niat orang yang mengerjakan, tergantung kepada nawaitunya.

Jika niatnya baik, maka amalnya akan diterima.

Sebaliknya, kalau niatnya kerana “ada udang di sebalik batu”, maka amalnya itupun akan ditolak.

3. Niat Faktor Yang Menentukan

Seperti diterangkan di atas, niat itu adalah faktor yang menentukan dalam sesuatu amal atau perbuatan.

Sebagai salah satu contoh yang sederhana, kita kemukakan tentang seseorang yang masuk ke dalam Masjid. Apabila niatnya masuk ke dalam Masjid itu untuk istirehat, maka yang dicapainya ialah sekadar dapat berteduh dari panas matahari yang terik. Tapi, jika niatnya masuk ke dalam Masjid itu untuk i’tikaf, yaitu satu tatacara amaliah yang dianjurkan oleh Islam, maka dia akan mendapat pahala.

Memang, ajaran Islam memberikan ruang-gerak yang luas kepada manusia dalam setiap pekerjaan yang dilaksanakannya. Tiap pekerjaan yang baik, yang sifatnya biasa dapat ditingkatkan menjadi satu pekerjaan yang diridhai Tuhan dan mendapat pahala daripadaNya, apabila dipasang dengan niat yang baik.

Umpamanya, seorang suami yang membanting tulang untuk mencari nafkah lsteri dan anak-anaknya, memasang niat bahawa itu dilakukannya supaya isteri dan anak-anaknya tidak bimbang-bimbang mengerjakan ibadah, supaya anaknya tekun dalam menuntut ilmu dan lain-lain sebagainya, maka usahanya itu pada sisi Tuhan diperhitungkan sebagai amal-kebajikan yang akan mendapat pahala.

Peranan niat itu begitu menentukan menurut ajaran Islam, sehingga diterima atau ditolaknya amal seseorang, sangat bergantung kepada niatnya.

Dalam satu Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Musa Al-Asy’ari diceriterakan, bahawa seorang laki-laki bertanya kepada Rasulullah:

“Seorang laki-laki berperang dengan gagah berani, berperang kerana marah dan berperang sebab ria, manakah di antara yang tiga macam itu masuk katagori Sabilullah?

“Barangsiapa yang berperang untuk meninggikan kalimah Allah (agama), maka itulah yang dinamakan Sabilullah.”

Malah jika ada dua orang yang berbunuh-bunuhan, maka yang membunuh maupun yang dibunuh, kedua-duanya akan mendapat dosa dan masuk neraka.

“Dari Abi Bakr, bahawasanya Rasulullah berkata:

Jika dua orang Muslim berkelahi memakai pedang, maka yang membunuh dan yang dibunuh masuk neraka. Saya bertanya: Ya Rasulullah! Yang membunuh dapat dimaklumi, tapi kenapa begitu pula yang dibunuh? Nabi berkata: Sebab yang dibunuh itu (pada mulanya) bermaksud juga untuk membunuh lawannya itu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

4. Pengertian Ikhlas

Pokok atau unsur yang penting dari setiap niat ialah ikhlas. Adapun makna ikhlas itu ialah suci-murni, tidak bercampur dengan yang lain. Menurut istilah Syari’ah (Islam), yang dimaksud dengan makna ikhlas itu ialah mengerjakan ibadah atau kebajikan kerana Allah semata-mata dan mengharapkan keridhaanNya.

Sayid Sabiq merumuskan definisi ikhlas itu sebagai

berikut:

“Bahawa menyengaja manusia dengan perkataannya kerana Allah semata-mata dan kerana mengharapkan keridhaanNya. Bukan kerana mengharapkan harta, pujian, gelaran (sebutan), kemasyhuran dan kemajuan.

Amalnya terangkat dari kekurangan-kekurangan dan dari akhlak yang tercela, dan dengan demikian ia menemukan kesukaan Allah.” (Sayid Sabiq: “Islamuna”, halaman 36).

Di dalam AI-Quran, Tuhan mengibaratkan ikhlas itu laksana susu yang bersih-mumi, yang enak rasanya apabila diminum, bahkan yang dapat menyihatkan dan menyegarkan badan manusia.

Tuhan berfirman:

“Dan sesungguhnya tentang kehidupan binatang-ternak itu menjadi pelajaran bagi kamu. Kami beri minum kamu dengan apa yang ada dalam perutnya; di antara tahi dan darah (didapati) susu yang bersih-murni (ikhlas), mudah dan sedap ditelan oleh orang-orang yang meminumnya.” (An-Nahl: 66).

Pada ayat tersebut Tuhan memberikan contoh tentang ikhlas itu laksana susu-murni binatang ternak. Sebelum menjadi susu murni, yaitu tatkala masih berada dalam perut binatang, susu itu terdiri dari dua zat yang kotor dan tidak memberikan faedah, yaitu tahi dan darah. Setelah melalui proses, maka terjadilah susu yang bersih-murni, tidak bercampur dengan kotoran dan zat-zat lainnya.

Tuhan mengibaratkan bahawa sesuatu amal yang ikhlas tak ubahnya laksana susu-murni itu.

Untuk memahami / menangkap pengertian tentang ikhlas itu, kita jelaskan di sini pandangan seorang Ahli Hikmat yang mengumpamakan ikhlas itu laksana air dalam kehidupan tanam-tanaman. Ilmu diibaratkannya seperti benih; dan amal laksana tumbuh-tumbuhan. Tumbuh-tumbuhan itu barulah berbuah apabila dirawat, disiram dengan air, sehingga menghasilkan buah yang dapat dimakan dan mendatangkan faedah. Maka air dalam kehidupan tumbuh-tumbuhan itu mempunyai peranan seperti ikhlas dalam sesuatu amal atau perbuatan. Ertinya, amal yang akan mendatangkan faedah ialah apabila dilakukan dengan ikhlas.

Sebagai natijah dari sesuatu amal yang ikhlas, kita kutib di sini huraian perbandingan Imam AI-Marzabay mengenai seseorang yang sedang mengerjakan shalat (sembahyang). Beliau berkata: “Seorang yang mengerjakan shalat memerlukan empat hal (keadaan), supaya shalatnya itu diterima Tuhan. Yaitu :

(1)   hatinya betul-betul hadir;

(2)   akalnya turut mempersaksikan;

(3)   mematuhi rukun-rukunnya;

(4)   tekun (khusyu’) anggota-anggotanya.

Barangsiapa yang sembahyang tanpa hatinya hadir , maka shalatnya adalah sia-sia. Barangsiapa yang sembahyang, sedang akalnya tidak turut mempersaksikan (memikirkan), maka dia adalah seorang pelaksana shalat yang lalai. Barangsiapa yang sembahyang tanpa mematuhi peraturan-peraturannya, maka sembahyangnya batal. Siapa yang mengerjakan shalat sedang anggota-anggotanya tidak khusyu’, maka sembahyangnya itu adalah salah.” (Syarah Matan Al-Arba’in an-Nawawiyah, halaman 9).

5. Derajat Amal

Amal itu bermacam-macam derajat dan tingkatnya, tergantung pada niat orang yang mengerjakannya.

Yahya bin Syarifuddin an- Nawawi membahagi amal yang baik kepada tiga macam, yaitu:

(1)   Amal budak: Yaitu, beramal kerana takut kepada Allah.

(2)   Amal saudagar: Yakni, beramal kerana mengharapkan pahala dan supaya kelak masuk ke dalam syurga.

(3)   Amal manusia yang merdeka: Yaitu, beramal sebagai bukti dan bakti kesyukuran kepada Allah; beramal merasa sebagai satu kewajipan.

Selain dari itu, ada pula amal yang dipasang dengan niat yang campur-aduk. Contohnya, ialah seumpama orang-oratig yang pergi menunaikan ibadah Haji ke Mekkah, bukan kerana beribadah semata-mata, tapi juga kerana tujuan dagang. Yaitu, di waktu akan pulang dapat membawa sekian kilo emas, sekian dozen jamtangan “Rolex” dan lain-lain sebagainya. Atau seperti orang yang menuntut ilmu bukan kerana melaksanakan perintah Ilahi semata-mata, tapi di samping itu digabungkan pula dengan tujuan supaya diangkat dan disanjung orang sebagai sarjana, dan supaya kelak dapat berkuasa dan lain-lain.

Dilihat dari sudut hukum Syari’iyah, ibadah Haji seperti yang diterangkan di atas, hukumnya sah juga, tapi kurang kemurniannya, kurang afdhalnya. Demikian juga tentang orang yang menuntut ilmu itu.

Adapun ibadah atau amal yang bercampur-gaul antara niat yang ikhlas dengan ria, masih banyak contoh-contohnya, di antaranya:

(a)               Mengerjakan ibadah puasa bukan kerana melaksanakan kewajipan semata-mata, tapi bercampur dengan tujuan menjimatkan belanja hidup sehari-hari, mengurangi makan agar badan kurus, atau kerana malas memasak nasi dan lain-lain.

(b)               Mengerjakan sembahyang tahajjud di tengah malam bukan semata-mata kerana melaksanakan sunat-nafilah yang dianjurkan oleh Tuhan, tapi bercampur dengan niat yang lain, umpamanya kerana perlu berjaga-jaga sebab rumahnya senan- tiasa diintai pencuri.

(c)               Memberikan sedekah kepada orang yang datang meminta-minta ke rumahnya bukan kerana hendak beramal, tapi bercampur dengan niat supaya peminta-peminta itu segera berlalu dari pekarangan rumahnya.

Sesuatu amal atau perbuatan-kebajikan tidaklah dinilai dari jumlah dan banyaknya, tapi dari keikhlasan niat dalam mengerjakannya. Dalam hubungan ini, Rasulullah pernah mengatakan kepada Mu’az bin Jabal: “Berlaku ikhlaslah dalam beramal. sebab amal yang dilakukan dengan ikhlas itu akan memadai (mencukupi) bagimu, walaupun hanya sedikit”

6. Ria

Niat yang tidak ikhlas dinamakan ria.

Perbezaan antara ikhlas dengan ria dijelaskan oleh Al-Haris Al-Muhasibi dalam bukunya “Ar-Ri’ayah” sebagai berikut:

“Ikhlas itu ialah anda menuju Tuhan dengan mentaatiNya, tidak anda kehendaki selainNya. Adapun ria itu terbahagi dua. Pertama, mentaati Allah kerana manusia; kedua, tujuannya manusia, dan Tuhan manusia. Kedua-duanya merosak amal.”

Dapatlah disimpulkan, bahawa ria itu niat yang buruk, yang didasarkan bukan kerana berbakti kepada Allah dan bukan kerana mengharapkan ridhaNya.

Sebagai salah satu contoh tentang amal yang bersifat ria itu, ialah seperti seorang pemuda yang tadinya sama sekali tidak pernah mengerjakan sembahyang, tiba-tiba kerana ia hendak kahwin dengan seorang wanita dari keluarga yang kuat dan taat beragama, maka dia cepat-cepat belajar sembahyang dan mengerjakannya dengan sungguh-sungguh” Maksudnya yang tersembunyi ialah supaya bakal mertua itu menaruh simpati kepadanya. Jadi, mempunyai latarbelakang.

Niat seseorang yang didasarkan kepada ria boleh “disembunyi-sembunyikan” dengan bermacam-macam cara, untuk meyakinkan kepada orang lain bahawa niatnya ikhlas, tapi tidak dapat disembunyikannya terhadap Tuhan dan tetap akan dipertanggungjawabkannya kelak di muka mahkamah Ilahi. Allah menyatakan dalam Al-Quran:

“Sekiranya kamu terangkan apa yang dalam hatimu atau sembunyikan, niscaya Allah akan memperhitungkan kamu juga. Allah mengampuni orang yang dlkehendakiNya dan menyiksa orang yang dikehendakiNya. Tuhan itu kuasa atas segala sesuatu.” (Al-Baqarah: 284).

Sifat ria itu adalah salah satu penyakit rohaniah yang disamakan oleh Rasulullah dengan “syirik yang kecil”, termasuk dalam perbuatan mengsekutukan Tuhan, walaupun bukan dalam bentuk yang terang-terangan.

Di dalam salah satu Hadis diterangkan:

“Sesungguhnya yang saya amat takuti atas kamu ialah syirik kecil (Syirkul-asghar)” Bertanya Sahabat-sahabat : Apakah yang dimaksud dengan syirik kecil itu, ya Rasulullah? Nabi menjawab: “Ria. Ketika manusia datang untuk meminta balasan atas amal perbuatan yang mereka lakukan,maka Tuhan berkata kepada mereka itu: Pergilah temui orang-orang yang kerana mereka kamu beramal (ria) di dunia tengoklah apakah kamu memperoleh balasan kebaikan dari mereka itu?”

Jika dilihat dari pandangan Al-Quran, maka sifat ria itu adalah termasuk salah satu sifat orang yang munafik. Tuhan menegaskan:

“Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Tuhan, maka Tuhan memperdayakan mereka pula. Jika mereka berdiri mengerjakan sembahyang, mereka berdiri dengan amat malasnya. Mereka mengerjakannya hanya supaya dilihat manusia. Mereka tiada mengingati Tuhan, kecuali sedikit sekali.” (An-Nisak: 142)

Mengenai ukuran-ukuran tentang ria itu, pernah dirumuskan oleh seorang Ulamak terkemuka, bernama Fudhail bin ‘Iyadh, sebagai berikut: “Meninggalkan amal kerana manusia adalah ria beramal kerana manusia adalah syirik; dan (yang dinamakan) ikhlas ialah mudah-mudahan Tuhan melepaskan kita dari kedua macam sifat tersebut. ”

Maksud ucapan itu ialah, bahawa barangsiapa yang berniat hendak mengerjakan sesuatu ibadah kemudian ditinggalkannya (dibatalkannya) kerana takut dilihat manusia, maka dia telah berbuat ria, sebab ditinggalkannya amal itu kerana manusia. Adapun kalau ditinggalkannya dengan maksud untuk dikerjakan di tempat yang sepi, maka perbuatannya itu terpuji. Dalam hal ini dikecualikan mengenai amal yang fardhu, seperti sembahyang, zakat, puasa dan lain-lain.

Tidak termasuk dalam katagori ria mengerjakan sesuatu amal secara terang-terangan, dilihat oleh manusia, jika niatnya supaya dicontoh orang.

Di dalam Hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi dari Abu Hurairah diterangkan, bahawa seorang laki-laki datang kepada Rasulullah menanyakan tentang seorang yang melakukan amal secara sembunyi-sembunyi kerana keikhlasan, kemudian dilihat orang lain, sehingga orang yang melihat itu merasa kagum dan menimbulkan kesedaran baginya. Rasulullah menjawab ketika itu:

“Orang yang beramal itu mendapat dua pahala, yaitu pahala kerana sembunyi-sembunyi dan pahala kerana terbuka (terang-terangan).

7. Amal Yang Ikhlas dan Jalan Keluar

Sesuatu amal yang dilakukan dengan ikhlas, kecuali diterima oleh Tuhan, pun dalam kehidupan seringkali memberi pertolongan dan jalan keluar ketika menghadapi sesuatu bencana atau kesulitan. Artinya, Tuhan memberikan per- tolonganNya, berkat amal yang sudah dilakukan dengan ikhlas itu.

Sebagai contoh, kita kemukakan di sini satu peristiwa yang diceritakan dalam suatu Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, berkenaan dengan tiga orang pemuda, y!lng mendapat pertolongan Ilahi yang tidak disangka-sangka tatkala mereka menghadapi satu keadaan yang mencemaskan. Di antara cerita itu adalah sebagai berikut:

Tiga orang pemuda sedang melakukan pengembaraan. Ketika hari sudah malam, mereka masuk ke dalam satu gua dengan maksud untuk menginap di dalamnya satu malam saja.

Setelah mereka berada di dalam, tiba-tiba sebuah batu besar jatuh dari puncak bukit itu dan tepat menutupi pintu gua tersebut. Mereka mencuba mengeluarkan segala kekuatan untuk menggerakkan batu besar itu, tapi sedikitpun tidak bergerak, sebab memang beratnya bukan imbangan tenaga manusia. Dengan demikian mereka terkurung di dalam gua dan mungkin akan mati kelaparan.

Pada saat-saat yang amat cemas itu mereka menyedari sepenuhnya bahawa tidak ada yang dapat memberikan jalan keluar bagi mereka dari kesulitan itu kecuali pertolongan ilahi. Mereka memutuskan untuk berdoa kepada Tuhan dan di dalam doa itu masing-masing mereka itu akan menyatakan salah satu di antara amal-kebajikan yang sudah pernah mereka lakukan dengan hati yang ikhlas.

Seorang demi seorang mereka mulai memohonkan doa.

(1) Pemuda yang pertama merumuskan dalam doanya itu tentang ibu-bapanya yang sudah tua. Dia juga mempunyai seorang isteri dan beberapa orang anak. Dia sangat hormat dan sayang kepada ibu-bapanya itu.

Tiap-tiap pagi dia meninggalkan rumahnya, pergi menggembalakan kambing. Kalau hari sudah petang, dia pun pulang ke rumah membawa susu kambing murni yang segar untuk minuman ibu-bapanya, isterinya dan anak-anaknya itu.

Pada suatu hari, kerana keperluan yang tidak disangka- sangka, dia pulang ke rumah sudah lewat dari waktu yang biasa. Didapatinya ibu dan bapanya sudah tidur, demikian pula isteri dan anak-anaknya. Kerana terlalu lama menunggu-nunggunya, maka mereka tertidur dalam keadaan perut masih kvsong. Pemuda tersebut menyatakan lebih jauh, bahawa ia tidak sampai hati membangunkan ibu-bapanya yang sedang tidur nyenyak itu. Bila mereka itu terbangun, barulah akan diberi minuman yang dibawanya itu.

Adapun yang terbangun di tengah malam ialah anaknya sendiri, yang menangis kerana lapar. Tapi, kerana ibu-bapanya sendiri belum lagi minum, maka ia tidak memberi minum anaknya lebih dahulu. Dibiarkannya saja anaknya itu menangis, dan kemudian tertidur kembali.

Besok paginya, setelah ibu-bapanya diberinya minum lebih dahulu, barulah diberinya pula kepada anak-anaknya dan isterinya. Pada akhir doanya itu ia menadahkan tangannya dan memohon: Ya Allah! Kalau apa yang saya lakukan itu termasuk satu amal kebajikan yang Engkau ridhai, maka berikanlah pertolongan kepada saya supaya dapat keluar dari gua yang tertutup pintunya ini. Tiba-tiba batu itu bergerak sedikit, tapi masih belum memungkinkan bagi mereka keluar dari gua tersebut.

(2) Pemuda yang kedua menyatakan, bahawa ia cinta kepada sepupunya sendiri, yang memang parasnya sangat cantik. Sudah bertahun-tahun mereka bergaul tapi masih ter- pelihara dan terbatas dalam hubungan-hubungan yang baik dan biasa.

Pada suatu ketika, pemuda itu membawa wang 120 dinar , diserahkannya sebagai pemberian kepada sepupunya itu. Tapi, di belakang kepala pemuda itu rupanya sudah tersembunyi satu maksud yang tertentu. Akhirnya sampailah pemuda itu kepada satu keadaan di mana dia tidak dapat lagi mengendalikan dirinya, yaitu hendak merangkul sepupu perempuannya itu untuk melakukan suatu perbuatan yang terlarang. Tiba-tiba anak gadis itu berkata: Apakah engkau tidak takut kepada Allah yang pasti melihat perbuatan ini? Jalan yang sah masih terbuka untuk mencapai maksudmu itu, yakni dengan menempuh perkahwinan.

Mendengar ucapan yang tidak disangka-sangkanya itu, maka pemuda itupun memberhentikan niatnya. Pada penutup doanya itu dikatakannya: Ya Allah! Jika Engkau menilai tindakan saya itu sebagai satu amal kebajikan, maka lepaskanlah saya dari bahaya yang mengancam ini.

Begitu ucapannya itu selesai, begitu pula batu besar itu bergerak sedikit lagi. Tapi, badan mereka masih belum boleh dapat untuk keluar.

(3) Pemuda yang ketiga menyatakan, bahawa dia mempunyai seorang buruh yang sudah bertahun-tahun lamanya ia tidak datang-datang, pada hal masih ada upahnya yang belum diambil atau diterimanya. Wang upahan buruh itu dibelikan oleh pemuda tersebut kepada seekor kambing, kemudian dipeliharanya, sehingga beranak-pinak.

Beberapa tahun kemudian, datanglah bekas buruhnya itu untuk mengambil upahnya. Pemuda itu menunjukkan satu lapangan yang luas di mana terdapat beratus-ratus ekor kambing.

Bekas buruhnya itu mengatakan dengan sungguh-sungguh bahawa kedatangannya adalah untuk meminta haknya itu, sebab dia sangat memerlunya, dan janganlah hendak-nya “dipermain-mainkan”. Tapi, dengan sungguh-sungguh pula pemuda itu menjawab, bahawa dia bukanlah berolok-olok. Diceritakannya lebih lanjut, bahawa upah yang tidak diambil oleh buruhnya itu dibelikannya kambing yang kemudian beranak-pinak sampai jumlahnya beratus ekor. Akhirnya, diserahkannya semuanya kepada bekas buruhnya itu, tidak seekorpun yang diambilnya.

Kemudian, pemuda yang ketiga itu berdoa: Ya Allah! Jika Engkau ridhai perbuatan saya yang demikian sebagai satu amal-kebajikan, maka berikanlah pertolongan kepada saya supaya dapat keluar dari dalam gua ini.

Seketika itu juga batu besar yang menutupi pintu gua itu bergerak lagi, sehingga mereka dapat keluar Inilah salah satu contoh amal-kebajikan yang dilakukan dengan ikhlas, yang pada satu ketika yang diperlukan dengan pertolongan Tuhan dapat memberikan jalan keluar bagi seseorang dari satu keadaan yang susah.

8. Balasan AmaI Berdasar Ria

Di dalam satu Hadis yang lain, yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Hurairah diceritakan bahawa pada hari qiamat kelak akan diadili lebih dahulu tiga golongan manusia, yaitu:

(1)   kaum pejuang

(2)   kaum terpelajar

(3)   kaum hartawan.

Dilukiskan dalam Hadis tersebut proses pemeriksaan terhadap masing-masing golongan itu sebagai berikut:

(1)               Terhadap kaum pejuang ditanya: Apakah yang telah engkau kerjakan di dunia “Saya berjuang dan bertempur pada jalan yang Engkau ridhai, sehingga saya tewas di medan perjuangan” sahutnya ”

Engkau berdusta!” kata Tuhan.

“Engkau tewas bukanlah kerana mempertahankan agama atau pada jalan Allah (sabilillah), tapi hanya kerana mengharapkan supaya engkau disebut sebagai “pahlawan ” .Oleh sebab itu, tempat engkau ialah di dalam neraka. ”

(2)               Kemudian diperiksa kaum terpelajar: “Apakah amal yang engkau kerjakan di dunia?”

“Saya menuntut ilmu, kemudian saya ajarkan pula ilmu itu kepada orang lain.

Dalam pada itu, senantiasa saya membaca Al-Quran” sahut kaum terpelajar itu.

“Engkau juga berbohong!” kata Tuhan.

“Sebab engkau belajar dan mengajar ialah supaya dikatakan orang bahawa engkau seorang Ulamak(terpelajar); engkau selalu membaca Al-Quran supaya disebutkan orang menjadi Qari (ahli membaca Al-Quran). Kerana itu, tempatmu juga adalah dalam neraka.”

(3)               Yang terakhir dihadapkan pertanyaan kepada kaum dermawan “Tuhan telah melapangkan hidupmu dan mengkurniakan rezeki (harta) yang banyak kepada engkau. Apakah yang engkau lakukan dengan nikmat itu dalam kehidupan di dunia?”

“Saya nafkahkan harta yang Engkau kumiakan itu pada jalan Allah (sabilillah).”

“dusta!” kata Tuhan.

“Engkau nafkahkan harta itu hanyalah supaya engkau disebut orang “dermawan”. Oleh sebab itu, tempatmu juga ialah di dalam neraka.”

Ketiga-tiga contoh itu adalah terang tentang orang-orang yang beramal kerana ria.

9. Cerita Seorang Abid Dengan Iblis

Contoh lainnya tentang amal yang tidak ikhlas, yang berdasar ria, dihuraikan oleh Imam Ghazali dalam kitabnya “Ihya’ ‘Ulumuddin” satu cerita yang terjadi di zaman Bani Israil. Walaupun cerita itu mungkin lebih banyak bersifat fiktif, tapi daripadanya dapat diambil ‘itibar tentang pengaruh ikhlas dan/atau ria dalam sesuatu pekerjaan. Cerita itu kita ringkaskan sebagai berikut:

Adapun Abid (ahli ibadah) adalah seorang yang amat tekun beribadah. Sebahagian besar hidupnya dipergunakannya untuk berbakti kepada Tuhan.

Pada suatu hari dilaporkan orang kepadanya, bahawa orang-orang sekampungnya menyembah sepohon kayu besar. Rakyat datang berduyun-duyun ke tempat itu untuk menyembah pohon tersebut.

Dengan marah yang meluap-luap, Abid itu bertekad akan pergi ke tempat tersebut dengan maksud memotong pohon kayu yang dijadikan “keramat” itu. Di tengah jalan, Abid bertemu dengan iblis yang menjelma dalam bentuk seorang laki-laki tua.

Iblis bertanya kepada Abid: “Hendak ke manakah engkau membawa kapak itu?” “Saya hendak pergi ke sana ” sahut Abid sambil menunjuk tempat yang akan ditujunya itu. “Di sana ada sepohon kayu besar yang disembah oleh orang-orang di kampung itu. Saya bermaksud menebang pohon kayu itu. ”

“Untuk apakah engKau bersusah-payah menebang pohon itu, sampai-sampai engkau meninggalkan amalanmu yang tekun beribadat kepada Tuhan” sahut iblis.

Abid itu tidak menghiraukan nasihat iblis tersebut. la meneruskan perjalanannya dengan tekad yang bulat dan ikhlas untuk menebang pohon kayu besar yang menyesatkan manusia itu.

Kerana iblis berusaha juga mencegahnya, maka akhirnya terjadilah perkelahian Abid dengan iblis. Dalam pergumulan itu, Abid membanting iblis sehingga terpelanting jatuh ke tanah. Iblis kalah dalam perkelahian tersebut.

Kemudian iblis memujuk Abid itu dengan mengatakan, bahawa ia akan menunjukkan kepada Abid tersebut satu pekerjaan yang lebih bermenfaat dan menguntungkan. Iblis berkata:

“Tuhan tidak mewajibkan kepadamu untuk menebang kayu itu dan tidak pula diwajibkan kepadamu untuk mencegah orang lain menyembah pohon. Hal itu adalah kewajipan dan tugas para Nabi dan Rasul, sedang engkau tidak masuk golongan itu.”

Meskipun demikian, Abid tersebut tetap bertekad meneruskan perjalanannya untuk menebang pohon kayu itu. Kerana keduanya sama-sama keras, maka akhimya terjadilah lagi perkelahian antara Abid dengan iblis. Dalam perkelahian babak kedua ini, iblis tetap di pihak yang kalah.

Iblis kemudian memujuk Abid dengan rayuan-rayuan: “Sekarang, saya akan berikan kepadamu keuntungan yang terus-menerus. Engkau adalah seorang yang miskin, tidak berharta, sebab setiap hari waktumu senantiasa habis untuk beribadah, sehingga tidak ada kesempatan untuk mencari wang. Oleh sebab itu, saya berikan kepadamu dua dinar tiap-tiap hari. Satu dinar boleh engkau pergunakan untuk keperluan nafkahmu sendiri; satu dinar lagi boleh engkau sedekahkan untuk kaum fakir-miskin dan melarat. Tiap-tiap pagi, wang yang dua dinar itu akan saya letakkan di bawah bantalmu.”

Rupanya tipu-daya iblis itu dapat mempengaruhi Abid tersebut. Dikerumuninya niatnya yang tadinya ikhlas untuk menebang pohon kayu itu. Di hadapan matanya sudah terbayang dua dinar yang akan diterimanya tiap-tiap pagi. Dia beredar pulang kembali ke tempatnya untuk menjalankan ibadat seperti biasa.

Pada hari yang pertama, di bawah bantalnya ditemuinya dua dinar .Hari yang kedua demikian pula. la sudah merasa lega sebab dapat memperoleh wang tanpa mengeluarkan peluh.

Pada hari yang ketiga, diperiksanya kembali di bawah bantalnya. Tapi, ia merasa kecewa, sebab wang yang dua dinar itu tidak ditemuinya lagi, seperti yang sudah dijanjikan oleh iblis.

Dengan perasaan jangkal dan marah, Abid tersebut berangkat kembali dengan tujuan untuk menebang pohon kayu yang sudah dipasangkan menjadi niat pertama kali. Dia marah kepada iblis yang tidak memenuhi janjinya itu.

Di tengah jalan, ia bertemu kembali dengan iblis, yang juga menjelma sebagai seorang laki-laki tua seperti pada bentuk yang pertama kali. Terjadilah pertengkaran mulut antara keduanya, yang diakhiri dengan perkeiahian yang serupa. Berbeza dengan perkelahian pada babak pertama, dalam perkelahian ini Abid terpelanting dan mengalami kekalahan. Kerana Abid tersebut sudah berada di pihak yang kalah, akhimya iblis mengancam: “Kalau engkau akan meneruskan juga niatmu , menebang pohon kayu itu, maka akan saya habisi jiwamu pada saat ini juga. ”

Dalam pembicaraan-pembicaraan selanjutnya, timbullah dialog antara keduanya. Abid bertanya.kepada iblis:

“Kenapakah ketika terjadi perkelahian yang pertama , dan kedua engkau dapat saya kalahkah; sedangkan pada perkelahian yang ketiga ini engkau berada di pihak yang menang?”

Iblis menjawab: “Tidak hairan apabila pada perkelahian kita yang pertama dan kedua itu, engkau berada di pihak yang menang. Sebab waktu itu niatmu untuk menebang pohon kayu itu didasarkan kepada keikhlasan, yaitu supaya orang banyak jangan tersesat menyembah pohon.

Adapun dalam perkelahian yang ketiga engkau kalah, niatmu untuk pergi menebang pohon itu kembali bukan didasarkan kepada keikhlasan, tapi ialah kerana kepentingan hawa-nafsumu. Sebab motifnya pada saat itu ialah kerana engkau tidak menemui wang dua dinar setiap hari yang saya janjikan itu. Kerana niat yang tidak suci itulah maka engkau tak dapat mengalahkan saya ”

Sekali lagi, walaupun cerita di atas ini tldak disebutkan sumber Hadisnya oleh Imam Ghazali, tapi jalan ceritanya mengandungi pelajaran yang berkesan.

10. Kemenangan Dan Ikhlas

Tiap-tiap kemenangan, keuntungan, kejayaan dan lain-lain dalam kehidupan di dunia dan untuk kehidupan di akhirat, kecuali dicapai dengan amal, usaha dan perjuangan, pun yang menentukan pada tingkat dan detik-detik yang terakhir ialah pertolongan Tuhan.

“Sesungguhnya pertolongan Tunan hanyalah diberikan kepada golongan umat yang lemah, yang (sentiasa) berdoa, yang (berlaku) ikhlas dan yang (mengerjakan) sembahyang.” (Riwayat Nasai).

Dari Hadis tersebut dapat disimpulkan, bahawa pertolongan Ilahi yang mendatangkan kemenangan dan kejayaan itu, akan diberikan kepada empat golongan umat, yaitu:

(1)   kaum yang lemah (dhu’afa’, melarat)

(2)   yang sentiasa berdoa kepada Tuhan;

(3)   yang berlaku lkhlas dan

(4)   yang mengerjakan sembahyang.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: