Posted by: peribadirasulullah | Ogos 26, 2009

BAGAIMANA ALLAH MENDIDIK RASULULLAH

Seringkali Rasullah s.a.w. bersikap merendah diri memperkecilkan kedudukannya, sentiasa memohon kepada Allah s.w.t. agar Dia, yakni Allah memperhiaskan dirinya dengan tata-sopan yang mulia dan budi pekerti yang luhur. Baginda sering menyebut dalam doanya:

“Ya Allah! Ya Tuhanku! Elokkanlah kejadianku dan budi pekertiku!”

Dalam doa yang lain pula, baginda mengucapkan:

“Ya Allah! Ya Tuhanku! Jauhkanlah diriku dari budi pekerti yang terkeji.”

Allah Ta’ala telah mengabulkan doanya, kerana menepati janjiNya dalam ayat berikut:

“Mohonlah kepadaKu, niscaya pasti aku mengabulkan.” (al-Mu’min: 60)

Lalu Allah Ta’ala menurunkan ke atas Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. al-Quran dan mendidiknya sesuai dengan akhlak al-Quran, sehingga baginda menerima kepujian yang amat tinggi dengan dikatakan, bahwa budi pekerti baginda itu adalah al-Quran.

Sebenarnya al-Quran telah mendidik baginda supaya bersifat pemaaf suka mengajak orang ke jalan kebaikan serta tiada menendahkan kata-kata yang bodoh, seperti firman Allah yang berbunyi:

“Berikanlah kemaafan dan suruhlah dengan kebaikan serta pedulikanlah orang-orang yang bodoh itu.” (al-A’raf: 199)

Al’Quran juga mendidik baginda supaya melaksanakan keadilan, melakukan kebaikan kepada orang ramai, ingat kepada kaum kerabat melarang melakukan segala macam kemungkaran dan kekejian seperti firman Allah Ta’ala yang berikut:

“Sesungguhnya Allah memerintah agar berlaku adil, berbuat baik dan memberi keluarga yang terdekat dan Dia melarang berbuat kekejian (zina) kemungkaran dan kedurhakaan.” (an-Nahal: 90)

Al-Quran juga mendidik baginda supaya sentiasa bersabar dalam segala hal, sebagaimana firmanNya:

“Dan bersabarlah terhadap apa yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu termasuk perintah-perintah yang sungguh-sungguh.” (Luqman: 17)

Al-Quran juga mendidik baginda supaya bersifat pemaaf dan memberi kelonggaran, sebagaimana firmanNya:

Al-Quran juga mendidik baginda supaya bersifat pemaaf dan memberi kelonggaran, sebagaimana firmanNya:

“Maka maafkanlah mereka dan berikanlah kelonggaran, sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berbuat baik.” (al-Maidah: 13)

Al-Quran juga mendidik baginda supaya kejahatan itu ditolak dengan kebaikan, sebagaimana firmanNya:

“Tolaklah kejahatan itu dengan cara yang paling baik, sehingga kiranya ada permusuhan di antaramu dengannya menjadi seolah-olah kawan yang setia.” (Surah Fussilat: 34)

Al-Quran juga mendidik baginda supaya menahan marah dan memaafkan orang lain, sepertimana ayat yang berikut pula:

“Dan mereka yang menahan kemarahan serta memaafkan orang-orang lain.” (ali-Imran : 134)

Al-Quran juga mendidik baginda supaya meninggalkan semua sangkaan-sangkaan buruk, tidak mengintip-intip atau mengeji orang lain, sebagaimana firman Allah yang berikut:

“Jauhilah banyak-banyakj persangka, kerana setengah dari persangka itu dosa. Dan janganlah kamu mengintip-intip dan jangan seseorang kamu mencaci seorang yang lain.” (al-Hujurat: 12)

Demikianlah pengajaran al-Quran terhadap peribadi Rasulullah s.a.w dan pengajaran-pengajaran seumpama ini sangat banyak terdapat di dalam al-Quran. Dan orang pertama yang dimaksudkan bagi pendidikan dan pengajaran ini, ialah diri Rasulullah s.a.w. Kemudian dari itulah barulah cahayanya menyinari sekalian makhluk yang lain. Sesungguhnya baginda Rasulullah s.a.w. telah mendapat pendidikan yang seumpama dari al-Quran, lalu baginda mendidik ummatnya pula dengan al-Quran juga.

Sebab itulah Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Aku telah diutus semata-mata untuk menyempurnakan budi pekerti yang mulia.”

Selanjutnya Rasulullah s.a.w. telah mengajak sekalian makhluk supaya melengkapi diri masing-masing dengan akhlak yang mulia, Apabila Allah Ta’ala telah menyempurnakan budi perkerti baginda lalu Allah memujinya dengan firmanNya yang berbunyi:

“Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad), di atas budi pekerti yang amat luhur.” (al-Qalam: 4)

Kemudian baginda pun menyatakan kepada sekalian makhluk di bumi, bahwasanya Allah amat mencintai akhlak dan budi pekerti yang mulia seraya membenci akhlak dan kelakuan yang jahat.

Berkata Saiyidina Ali r.a.: Aku merasa amat hairan, bila seorang Muslim didatangi saudaranya Muslim yang lain dengan suatu keperluan, malangnya ia tiada menganggap dirinya layak untuk membuat kebajikan. Apakah ia tiada mengharapkan pahala, ataupun tiada takut kepada balasan? Sepatutnya ia akan menyegerakan dirinya kepada budi pekerti yang mulia, kerana yang demikian itu akan menunjukkan dia ke jalan yang selamat.

Dalam sebuah Hadis pula:

Sesungguhnya Allah menghiasi Islam dengan budi pekerti yang mulia dan perbuatan yang terpuji.”

Dalam kontek Hadis tersebut ialah: Bergaul dengan baik memperlakukan secara terhormat dan sopan-santun, membuat baik, memberi makanan dan minuman, memberi salam, melawat pesakit, mengiringi jenazah, berbaik-baik dengan semua jiran, tidak kira Muslim atau kafir, menghormati orang yang lebih tua, menerima undangan dan mendoakan bagi si pengundang, memaafkan orang memperdamaikan antara orang ramai, murah hati dan sedia memberi, berlapang dada, menahan marah, meniggalkan segala larangan agama, menjauhi caci-maki, tidak bohong, tidak kikir dan bakhil, tidak menghampakan, tidak menipu atau memperdayakan orang, tidak mengumpat, tidak mengadu domba, tidak memutuskan tali silaturrahim, tidak berakhlak jahat, tidak sombong, tidak bermegah diri, tidak meninggi diri, tidak banyak bicara, tidak bercakap kotor, tidak melakukan kekejian, tidak menyumpah-seranah, tidak dengki atau hasad, tidak memuji diri, tidak membuat curang, tidak melanggar batas dan tidak menganiayai.

Berkata anas r.a: Tidak ada suatu nasihat yang baik yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w melainkan baginda telah menyeru kita sekalian untuk bersifat dengannya dan memerintahkan kita melengkapi diri kita dengannya. Sebaliknya tidak ada suatu penipuan atau kecelaan yang dilarang oleh baginda, melainkan baginda telah mengingatkan kita, dan menyuruh kita menjauhi diri daripadanya.

Dan memadailah nagi kita ayat yang berikut ini, sebab ia telah mencakup semua sifat-sifat mulia yang perlu kita bersifat dengannya; iaitu firman Allah Ta’ala:

“Sesungguhnya Allah memerintah agar berlaku adil, berbuat baik dan memberi keluarga yang terdekat dan Dia melarang berbuat kekejian (zina), kemungkaran dan kedurhakaan. Allah menasihati kamu moga-moga kamu sekalian ingat”. (an-Nahal: 90)

Berkata Mu’az pula: Rasulullah s.a.w. telah berwasiat kepadaku, katanya: Wahai Mu’az! Aku mewasiatkan engkau dengan bertaqwa kepada Allah, dan berbicara benar, menepati janji, menunaikan amanat, menjauhi khianat, memelihara tetangga, berbelas kasihan terhadap anak yatim, berlunak dalam kata bicara, memberi salam, bagus dalam pekerjaan, sedikit berangan-angan, menetapi keimanan, mendalami al-Quran, mencintai akhirat, gentar akan hari penghisaban dan merendah diri.

Aku melarang engkau memaki orang yang bijaksana, mendustakan orang yang benar, menuruti orang yang berdosa, mendurhakai Imam (Pemerintah) yang adil dan merosakkan tanah.

Aku mewasiatkan lagi agar engkau sentiasa takut kepada Allah pada setiap batu, pohon dan tanah. Dan hendaklah engkau bertaubat pada setiap dosa yang engkau lakukan. Yang rahasia secara rahasia, dan yang terang secara terang-terangan.

Demikianlah contohnya baginda Rasulullah s.a.w. mendidik umatnya serta menyeru mereka supaya bersifat dengan budi pekerti yang luhur dan akhlak yang mulia.

Contoh-contoh akhlak Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w. itu adalah manusia yang amat toleran, amat berani, amat adil dan amat bersopan-santun sekali. Tangannya tidak pernah sama sekali menyentuh tangan wanita ajnabiah (asing) yang bukan miliknya sebagai hamba sahaya atau yang mempunyai hubungan pernikahan dengannya ataupun yang bukan mahramnya.

Baginda amat murah hati orangnya. Tidak pernah baginda tidur selagi ada dalam tangan baginda sedinar ataupun sedirham. Bila ada kelebihan wang dalam tangannya dan tiada pula sesiapa yang hendak diberikannya sehingga malam tiba, maka baginda tidak akan kembali ke rumahnya, melainkan sesudah baginda menemui orang yang berhajat untuk diberikan wang yang lebih itu kepada orang tersebut.

Baginda tiada mengambil rezeki yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala lebih dari keperluan makan-minum untuk setahun saja. Selebih dari rezeki-rezeki itu baginda letakkan untuk fi-sabilillah. Tidak pernah dimintai sesuatu darinya, melainkan baginda memberinya. Apabila habis, baginda akan mengambil pula dari simpanan makanan keluarganya sendiri lalu memberikan kepada orang yang berhajat, sehingga seringkali belum sempat selesai akhir tahun, makanan itu akan kehabisan, lalu baginda terpaksa meminjam pula dari orang lain untuk mencukupi keperluannya sendiri.

Bagindalah sendiri yang menjahit kasutnya bila putus dan menampal bajunya bila koyak. Baginda suka membantu ahli rumah dalam pekerjaan rumahtangganya. Baginda amat pemalu orangnya tidak pernah menatap wajah orang lama-lama. Baginda menyahut undangan orang yang merdeka dan hamba sahaya. Baginda menerima hadiah tidak kira pun apa pun, walaupun hanya seteguk air susu, dan sering membalas hadiah itu dan memakannya. Tetapi baginda tidak memakannya dari pemberian sedekah.* baginda tidak pernah merasa dirinya rendah bila memenuhi keperluan hamba sahaya wanita ataupun seorang miskin.

* Kerana sedekah itu adalah bahagian fakir-miskin dan seumpamanya – pent.

Baginda amat marah sekali jika hak Allah dicabul, tetapi tidak marah pula, jika haknya sendiri dilanggar. Pada suatu kali, seorang sahabatnya terbunuh di kawasan perkampungan Yahudi (tidak diketahui siapa pembunuhnya – pent), baginda tidak membalas dendam terhadap kaum Yahudi, tetapi baginda menghukum menurut yang hak; iaitu mendenda mereka membayar fidyah sebanyak 100 ekor unta betina tidak lebih dari itu. Padahal para sahabat ketika itu, sangat berhajat kepada tambahan sekalipun sesekor lagi untuk dijadikan makanan bagi menguatkan diri mereka.

Baginda sentiasa mengikat batu di perutnya untuk menahan lapar. Bila makan tidak pernah cerewet, tetapi makan apa yang disediakan saja dan tidak pernah menolak. Kiranya makanan yang dihidangkan itu hanya buah tamar tanpa roti, baginda makan juga. Kiranya yang dihidangkan itu daging panggang, makan juga. Ataupun jika roti gandum atau roti syair, makan juga. Ataupun manisan saja atau madu, makan juga. Ataupun susu semata-mata tanpa roti, minum juga. Jika diberikan semangka ataupun kurma mengkal, makan juga. Tidak pernah bersandar di waktu makan ataupun memasang meja untuk meletakkan makanan. Tidak pernah kenyang dari roti gandum selama tiga hari berturut-turut, sehingga wafat menemui Allah Ta’ala. Ini semuanya dilakukan semata-mata kerana mementingkan diri orang lain dari diri sendiri bukan kerana fakir atau kikir.

Adapun peribadi Rasulullah s.a.w. itu seorang yang amat tawadhu’ (merendah diri) amat pendiam bukan sombong, amat fasih dalam tutur kata tanpa banyak bicara amat sempurna dan elok paras rupanya. Tidak pernah menganggap penting sesuatu pun dari urusan keduniaan. Cincinnya terbuat dari perak, yang dipakainya di jari kelingking kanan dan kiri. Baginda mengenderai keledai dan membenarkan di belakang keledai itu dibuncingi oleh hamba sahayanya ataupun orang lain. Selalu melawat pesakit-pesakit meskipun rumahnya jauh dipinggir kota, suka kepada yang baik, sering duduk bersama-sama fakir-miskin, memberi makan kepada orang miskin. Baginda menghormati orang-orang yang terutama, sentiasa memuliakan orang-orang yang dimuliakan dengan berbakti kepada mereka.

Baginda Rasulullah s.a.w. sentiasa berhubung dengan kaum kerabatnya, tidak pernah mengecewakan sesiapapun, selalu menerima alasan orang yang memberikan keuzuran, suka bergurau-senda, tetapi tidak berkata melainkan yang hak saja, tertawanya setakat senyum saja tanpa mengilai. Baginda tidak pernah mengingkari permainan-permainan yang mubah (harus) yang di bolehkan oleh agama, pernah berlumba lari dengan isterinya. Ada kalanya setengah-setengah orang tidak bertimbang rasa mengangkat suara di hadapan baginda, tetapi baginda tetap bersabar saja. Tidak pernah makanan atau pakaian baginda lebih baik dari makanan dan pakaian hamba sahayanya. Tidak pernah berlalu suatu masa pun tanpa membuat sesuatu pekerjaan yang diredhai Allah, ataupun pekerjaan lain yang perlu untuk membetulkan diri sendiri.

Baginda selalu bersiar-siar di kebun-kebun sahabat-sahabatnya. Tidak pernah menghina-hinakan orang miskin kerana kemiskinannya. Tidak gentar kepada kepada raja kerana kekuasaan atau kerajaannya. Baginda menyeru yang rendah dan yang tinggi kepada Allah Ta’ala dengan seruan yang sama.

Allah Ta’ala telah melengkapkan peribadi Rasulullah s.a.w. dengan kelakuan yang tinggi dan siasah yang sempurna, padahal baginda itu seorang yang ummi, tidak pandai membaca atau menulis. Baginda dibesarkan di negeri yang masih dibelenggu oleh kejahilan dan dikelilingi oleh padang pasir, hidup dalam keadaan miskin dan sebagai penggembala kambing, seorang anak yatim tiada berayah dan tiada beribu. Tetapi Allah Ta’ala telah mendidik baginda dengan  sifat budi pekerti yang luhur dan perjalanan yang terpuji. Diceritakan kapada baginda berita-berita orang yang terdahulu dan yang akan datang untuk di ambil pelajaran daripadanya. Dijadikan sempadan bagi keselamatan dan kemenangan di Hari Akhirat serta tauladan bagi kebahagiaan dan jalan keluar di dalam dunia.

Moga-moga Allah mengurniakan petunjuk kepada kami untuk menurut segala perintah Rasulullah s.a.w. dan mencontohi segala tauladan dalam perbuatan dan perilakunya, Amin Ya Rabbal Alamin.


Adab dan akhlak Rasulullah s.a.w.

Sebagaimana yang diriwayatkan mengenai perilaku Rasulullah s.a.w., bahwa baginda tidak pernah sama sekali memukul seorang pun dengan tangannya, melainkan  dipukulnya kerana fi-sabilillahi Ta’ala. Baginda juga tidak pernah memeram dendam kerana sesuatu yang dilakukan ke atasnya dirinya sendiri, melainkan bila melihat kehormatan Allah dicabuli. Jika baginda diminta untuk memilih antara dua perkara, tanpa ragu-ragu lagi baginda akan memilih yang paling ringan dan mudah antara keduanya, kecuali jika pada perkara itu ada dosa, ataupun akan menyebabkan terputusnya perhubungan silaturrahim, maka baginda akan menjadi orang yang paling jauh sekali daripadanya. Tiada pernah seseorang yang datang kepada nabi s.a.w., baik ia merdeka atau hamba sahaya ataupun amah (hamba sahaya perempuan) mengadukan keperluannya, melainkan baginda akan memenuhi hajat masing-masing.

Berkata Anas r.a.: Demi Zat yang mengutusnya dengan kebenaran. Ia (Nabi) tiada pernah berkata padaku dalam perkara yang tiada diinginnya, mengapa engkau lakukan itu. Dan apabila isteri-isteri memarahiku atau sesuatu yang aku lakukan, maka ia berkata kepada mereka: Biarkanlah si Anas itu, dan jangan dimarahi, sebenarnya tiap-tiap sesuatu itu berlaku menurut ketentuan dan kadar.

Termasuk akhlaknya yang mulia, ialah memulakan memberi salam kepada sesiapa saja yang ditemuinya. Jika ada orang yang mengasarinya kerana sesuatu keperluan, ia menyabarkannya sehingga orang itu memalingkan muka daripada baginda. Bila berjumpa dengan salah seorang sahabatnya, segera ia akan menghulurkan tangan untuk berjabat tangan. Baginda tidak pernah bangun atau duduk, melainkan lidahnya sentiasa menyebut nama Allah. Seringkali bila sedang sembahyang, lalu ada tetamu yang datang kerana sesuatu keperluan, maka segeralah ia meringkaskan sembahyangnya untuk menyambut tetamu seraya bertanya kepadanya: Apa hajat anda?

Bila baginda berada di dalam sesuatu majlis antara para sahabatnya tidak pernah dikhususkan satu tempat baginya, melainkan di mana saja baginda sampai, di situlah ia duduk. Baginda selalu menghormati sesiapa saja yang mendatanginya, sehingga terkadang-kadang baginda sampai menghamparkan bajunya supaya orang itu duduk di atasnya. Sering pula baginda memberikan bantal sandaran kepada orang yang datang, supaya orang itu bersandar padanya. Bila di dalam suatu majlis yang ramai, baginda menghadapkan wajahnya kepada semua orang, satu lepas satu, sehingga seolah-olah kesemua majlisnya, pendengarannya, percakapannya, kehalusan budi pekertinya dan perhatiannya ditumpukan kepada setiap orang yang duduk bersamanya di dalam majlis itu. Padahal majlis Rasulullah s.a.w. itu umumnya ialah majlis yang diliputi oleh kesopanan kerendahan diri dan amanah.

Allah telah berfirman di dalam al-Quran al-Karim:

“Oleh kerana rahmat Tuhan engkau bersikap lemah lembut terhadap mereka, dan kiranya engkau berbudi kasar dan berhati bengis, niscaya mereka akan lari dari sekelilingmu.” (ali-Imran : 159)

Baginda lebih suka memanggil para sahabatnya dengan nama gelaran masing-masing untuk menghormati mereka akan memikat hati mereka. Sesiapa yang tidak punya nama gelaran, baginda memberinya nama gelaran, lalu ia pun dipanggil dengan gelaran itu. Bukan kaum lelaki saja yang diberi nama gelaran malah kaum wanita juga, sama ada pernah melahirkan anak mahupun yang tidak. Bahkan kepada anak-anak kecil pun demikian juga, sehingga hati anak-anak itu tertarik kepada peribadinya s.a.w.

Baginda Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang amat jarang marahnya, tetapi jika marah paling segera redha pula. Baginda adalah orang yang berhati belas terhadap orang ramai, paling baik antara mereka sekalian, dan paling banyak memberikan manfaat kepada seluruh manusia. Tidak pernah sekalipun terdengar suara yang tinggi dalam semua majlis-majlisnya.

Apabila bangun dari majlisnya, baginda sering membaca :

Maha Suci engkau wahai Tuhanku dengan segala kepujian bagiMu, aku menyaksikan bahawasanya tiada tuhan melainkan Engkau, aku memohon keampunan kepadaMu dan aku bertaubat kepadaMu.”

Percakapan Rasulullah dan ketawanya

Adapun Rasulullah s.a.w seorang yang amat fasih sekali dalam kata-kata dan amat manis sekali dalam tutur bicara. Baginda pernah berucap, ujarnya: Saya adalah orang yang sangat fasih bertutur dalam bahasa Arab.

Kata bicara baginda sentiasa padat lengkap, tidak panjang, tidak pendek, sehinggat amat mudah bagi orang yang mendengarnya untuk menghafalkan dan menurut arahannya. Bila bercakap, suara baginda sangat nyaring, indah tekanannya bila di dengar. Baginda tidak bicara tanpa perlu. Tiada berkata-kata dalam ketika redha atau marah, kecuali yang hak semata-mata. Bila mendengar ada orang yang berbicara kurang baik, baginda akan memalingkan mukanya dari orang itu. Tetapi bila ada sesuatu yang harus disampaikan sedangkan ia benci kepadanya, maka baginda akan menggunakan kata-kata kiasan atau sindiran.

Bila baginda berbicara dalam sesuatu majlis semua para hadirin akan mendengar dengan penuh minat. Apabila baginda selesai dari bicaranya, barulah pada hadirin pula berbicara, seorang demi seorang tanpa bertelingkah antara satu dengan yang lain. Dalam semua perbicaraannya, baginda sering isikan dengan kata-kata yang hak dan nasihat-nasihat yang berguna.

Baginda seringkali tersenyum dan tertawa dihadapan para sahabatnya. Sering terharu terhadap apa saja yang dibicarakan oleh mereka, malah kadang-kadang baginda turut sama dalam perbicaraan itu. Ada kalanya baginda tertawa agak melebar sedikit hingga ternampak gigi-gigi serinya. Manakala para sahabat turut tertawa sama, tetapi tidak lebih dari kumtum senyuman, kerana menuruti jejak langkah baginda sambil menghormati kedudukannya di dalam majlis.

Apabila turun sesuatu bencana yang menimpa ummat, maka baginda segera akan menyerahkan perkara itu sepenuhnya kepada Allah dan membersihkan dari dari segala kekuasaan dan kekuatan. Kemudian baginda memohon turunnya petunjuk dari Allah Ta’ala lalu berdoa:

“Ya Allah! Ya Tuhanku! Dan wahai Tuhannya Jibril, Mikail dan Israfil, Tuhan yang mencipta semua petala langit dan bumi. Maha Mengetahui segala yang ghaib dan yang terang, Engkaulah yang menghukumkan antara sekalian hamba-hambaMu dalam segala perkara yang mereka pertelingkahkan. Berikanlah kepadaku petunjuk yang benar dalam perkara yang dipertelingkahkan itu dengan keizinanMu, sesungguhnya Engkaulah yang memberikan petunjuk kepada siapa yang Engkau kehendaki ke jalan yang lurus.”

Tata-tertibnya di waktu menghadapi makanan.

Rasulullah s.a.w sentiasa memakan apa saja yang disediakan baginya. Apabila hidangan telah tersedia, baginda pun membaca:

Dengan nama Allah, wahai Tuhanku! Jadikanlah makanan ini suatu nikmat yang disyukuri yang akan menyampaikan nikmat ini kepada nikmat syurga.”

Baginda tidak suka memakan makanan yang panas, ujarnya: Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak memberi kita makanan dari api, sejukkanlah makanan itu dulu!

Bila makan, baginda sentiasa makan apa-apa yang ada di dekatnya. Baginda makan roti gandum, mentimum dengan kurma mengkal. Kebiasaannya makanannya sehari-hari terdiri dari air dan kurma. Makanan yang paling disukai oleh baginda ialah daging. Baginda suka juga memakan tsarid (roti bercampur suf) dengan daging, dan suka makan buah qara’ (sejenis buah).

Dari daging kambing yang paling digemari oleh baginda ialah bahagian rusuk dan bahunya, dan yang tiada digemarinya pula ialah buah-pinggang, bahagian kemaluan jantan atau betina, tempat simpan air kencingnya, daging keras yang tumbuh di bawah kulit kerana sakit. Semua ini adalah makruh mamakannya.

Baginda tidak makan bawang putih atau bawang besar. Baginda tidak pernah menjijik sesuatu makanan pun, tetapi jika ingin di makannya, jika tidak ditinggalkannya. Baginda tidak suka daging biawak* dan empedu tiadalah ia mengharamkannya. Selesai saja dari makan, baginda akan berdoa:

*        Yang dimaksudkan di sini ialah biawak yang hidup di padang pasir dihukumkan halal memakannya, kerana ia hidup di darat saja. Adapun biawak yang terdapat di negeri kita itu adalah haram memakannya, kerana ia hidup di darat dan di laut atau sungai, harap jangan sampai terkeliru – pent.

“Segala pujian bagi Allah. Ya Allah! Ya Tuhanku! BagiMulah segala kepujian, Engkau telah memberiku makan, sehingga aku kenyang. Engkau telah memberiku minum sehingga aku puas. BagiMu segala kepujian. Tiada teringkarMu nikmatMu, tiada tertinggal bahkan sentiasa diperlukan lagi.”

Sebaik-baik saja baginda selesai dari memakan daging, akan dibasuhnya kedua tangannya sebersih-bersihnya. Baginda meminum air dengan tiga kali tegukan dengan meminumnya seteguk demi seteguk, bukan ditelannya sekaligus sehingga habis. Setiap kali ia meneguk air itu setiap itulah ia bernafas, bukan di dalam bekas itu tetapi di luarnya.

Seringkali juga bila baginda berada seorang diri di rumah, baginda tidak merasa berat untuk menyediakan makanan yang hendak di makan atau menghidangkannya untuk dirinya sendiri.


Tata-tertibnya bila memakai pakaian.

Baginda Rasulullah s.a.w. memakai apa saja pakaian tanpa memilih, tetapi kebanyakkan dari pakaian yang dipakainya ialah yang berwarna putih. Semua pakaian baginda melabuh hingga ke buku lali, manakala qamisnya sentiasa terkancing butang-butangnya tetapi kadang-kadang terbuka juga.

Baginda mempunyai dua salinan baju khusus untuk sembahyang Juma’at selain pakaian-pakaian yang dipakainya pada hari-hari selain Jum’at. Ada kalanya baginda memakai selembar pakaian saja, tidak ada padanya selain dari itu, lalu baginda mengimami orang ramai dengan memakai pakaian itu juga. Pernah suatu masa dahulu, baginda mempunyai pakaian serba hitam yang dipakainya, tetapi kemudian diberikannya pada orang. Baginda memakai cincin. Kadangkala baginda keluar rumah dan pada cincin iti diikatkan seutas tali, agar tali itu akan mengingatkannya sesuatu yang dilupainya. Dengan cincin itulah, baginda mengkhatam (memohorkan) semua surat-surat.

Baginda juga memakai kopiah (songkok) di bawah ikatan sarbannya kadang-kadang memakai kopiah saja tanpa sarban. Kadang-kadang pula baginda menanggalkan kopiah itu dari kepalanya lalu dijadikannya sebagai batasan tempat sembahyang, kemudian baginda bersembahyang berhadapan dengannya.

Bila baginda memakai pakaian, baginda memulakan dari kanan seraya berdoa:

“Segala kepujian bagi Allah yang telah memberikan pakaian untuk menutupi auratku dan untuk aku menghiaskan diri dari muka orang ramai.”

Apabila menanggalkan pakaian, dimulakannya dari kiri dan bila baginda menukar pakaian baru, diberikanlah yang lama itu kepada orang miskin, kemudian dia bersabda:

“Setiap orang Muslim yang memberi pakaian kepada Muslim yang lain kerana Allah, niscaya ia berada dalam jaminan Allah dan pemeliharaanNya semasa hidup mahupun setelah mati.”

Baginda mempunyai tempat tidur yang terbuat dari kulit berisi jerami, dan bersamanya selembar baju ‘abaah yang dijadikan hamparan tidur di bawa kemana saja perginya.

Selain itu, baginda juga sering memberi nama kepada binatang tunggangannya, senjatanya dan juga barang-barangnya.

Suka memaafkan orang lain.

Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang amat lapang dada  dan suka memaafkan orang lain meskipun baginda mampu membalas dendam. Sekali peristiwa dalam suatu peperangan, seorang dari kaum musyrikin telah melihat kaum Muslimin sedang berehat-rehat, lalu ia pun mendapatkan Rasulullah dan berdiri dikepalanya dengan sebilah pedang, seraya berkata kepada baginda: Siapakah yang dapat mempertahankan engkau dari pedangku ini? Rasulullah s.a.w. segera menjawab: Allah. Mendengar perkataan itu, gementarlah tangan orang musyrik itu dan pedang itu pun jatuh dari tangannya. Maka Rasulullah s.a.w. pun mengambilnya, seraya berkata pula kepadanya: Siapakah kini yang dapat mempertahankan engkau daripadaku pula? Orang Musyrik itu dengan susah payah menjawab: Ambillah nyawaku dengan cara yang baik. Baginda pula berkata kepadanya: Katakanlah: Asy-hadu Allaa Illaha Illallahu wa Annii Rasulullaahi (Aku menyaksi bahwasanya tiada tuhan melainkan Allah dan aku ini Rasulullah). Katanya: Tidak. Aku tidak akan mengucapkannya, akan tetapi aku berjanji tidak akan memerangimu lagi, dan tidak akan membantu orang-orang yang memerangimu itu.

Oleh baginda dibebaskannya orang itu, lalu ia pun mendapati kaumnya seraya berkata: wahai kaumku! Aku telah datang dari seorang yang amat baik sekali di antara manusia sekalian (yang di maksudkannya ialah Nabi Muhammad s.a.w.)

Dalam peristiwa-peristiwa yang lain, banyak sekali berlaku para sahabat meminta izin membunuh orang-orang yang membuat jahat kepada Rasulullah s.a.w. Mereka mengatakan kepadanya: Izinkanlah kami menetak kepalanya wahai Rasulullah! Tetapi Rasulullah s.a.w. tidak bersetuju malah malarang.

Dalam pada itu baginda tidak pernah menolak alasan-alasan orang yang memberikan keuzuran kepadanya, dan baginda sering berkata:

Mudah-mudahan Allah merahmati saudaraku Musa, sebenarnya beliau itu telah disakiti lebih dari itu, tetapi beliau bersabar saja.”

Baginda pula berkata:

“Jangan sampai ada seseorang kamu yang menyampaikan sesuatu berita tentang seorang dari para sahabatku, sesungguhnya aku ingin keluar kepadamu sedangkan aku dalam keadaan berlapang dada”

Toleransinya terhadap sesuatu yang dibencinya

Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang berwatak lemah lembut pada segala hal, lemah lembut lahir dan batin, mudah diketahui pada raut wajahnya ketika baginda sedang marah ataupun sedang redha. Meskipun demikian, baginda tetap tidak suka menampakkan sikap kebenciannya kepada seseorang secara terus terang.

Pernah berlaku pada suatu ketika bahwa seorang Arab dusun kencing di dalam masjid di hadapan majlis Rasulullah s.a.w. maka para sahabat segera mendapatkan orang itu untuk melakukan kekerasan terhadapnya. Tetapi Rasulullah s.a.w. segera menghalang mereka dengan berkata: Janganlah putuskan kencingnya (yakni: biarlah ia kencing hingga selesai). Sesudah itu, baginda bersabda kepadanya: Dalam masjid-masjid serupa ini tidak boleh dibuat sesuatu semacam itu.

Kemurahatiannya dan kedermawannya

Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang murah hati dan dermawan terhadap para ummatnya. Terutama sekali pada bulan Ramadhan, kemurahatian dan kedermawanannya laksana angin yang menghembus, yakni tidak putus-putusnya sehingga tidak ada sesuatu pun yang akan tinggal lagi dalam tangannya yang mulia itu.

Saiyidina Ali bin Abu Talib r.a., ketika mensifatkan peribadi Nabi s.a.w., katanya: Baginda adalah orang yang amat murah hati di antara sekalian manusia, tangannya sentiasa terbuka untuk memberi, dadanya sentiasa lapang untuk memaafkan,  tutur bicaranya sentiasa benar pada segala hal, janjinya sentiasa ditepati, sikapnya sentiasa lunak, pergaulannya sentiasa atas dasar kemuliaan, siapa saja yang melihat baginda tetap merasakan kehebatannya, siapa yang pernah bergaul dengan baginda secara berkenalan terus akan mencintainya. Orang yang menceritakan tentang sifatnya berkata: Saya belum pernah melihat seorang pun seperti baginda, baik di masa dahulu, mahupun sekarang. Tidak pernah dimintai sesuatu barang, melainkan baginda akan memberi si peminta itu.

Suatu masa, seorang telah mendatangi Nabi s.a.w. seraya meminta sesuatu daripadanya. Maka baginda pun memberinya sekelompok kambing yang banyak, sehingga menutupi jalan antara dua bukit. Orang itu kembali kepada kaumnya seraya berkata: Wahai kaumku! Masuklah Agama Islam, kerana Muhammad memberi pemberian orang yang tidak takut menjadi miskin. Dan ia tidak pernah menolak sesiapa yang meminta atau tidak tahu berkata: Tidak ada.

Pernah dalam suatu peristiwa, baginda telah dibawakan wang sebanyak 90,000 dirham, lalu diletakkannya wang yang banyak itu di bawah tikar. Maka mulalah baginda membahagikannya kepada sesiapa yang memerlukan wang itu, tiada seorang pun yang ditolaknya sehingga habis semua wang itu dibahagi-bahagikan.

Dalam peristiwa yang lain pula, telah datang seorang menemui baginda seraya meminta darinya sesuatu. Maka jawab baginda: Dukacita, masa ini saya tidak mempunyai apa-apa. Tetapi pergilah beli sesuatu dan harganya hutangkanlah atas saya. Nanti bila ada rezeki yang datang, akan saya lunaskan hutang itu.

Saiyidina Umar Ibnul-Khattab yang kebetulan ada di situ merasa kurang senang dengan sikap baginda sampai begitu sekali, lalu berkata kepada baginda: “Wahai Rasulullullah!” Tuhan tiada memberatimu atas hal-hal yang engkau tiada berkuasa atasnya.”

Ucapan Umar itu agak menyinggung perasaan baginda s.a.w. Tetapi orang itu pula segera menyahut: Belanjakanlah hartamu dan jangan takut dari Zat (Tuhan) yang menguasai Arasy akan dikurangi harta itu. Mendengar itu, baginda segera tersenyum dan kelihatan pada raut wajahnya tanda kegembiraan dengan ucapan orang itu.

Dalam suatu peristiwa yang lain lagi, setelah selesai Rasulullah s.a.w dari peperangan Hunain, baginda telah didatangi oleh kumpulan orang-orang Arab dusun meminta-minta kepadanya, sehingga baginda terpaksa berlindung di bawah sebatang pohon. Dalam pada itu, kain rida’nya (selendangnya) juga sempat direnggut oleh mereka. Kembalikanlah kepadaku kain ridaku! Seandainya aku mempunyai harta yang banyak seperti banyaknya duri-duri di pohon ini, niscaya aku akan bahagikan di antara kamu sekalian. Kemudian sesudah itu, kamu tidak akan mendapatiku lagi sebagai seorang yang kikir atau pembohomng atau pengecut.

Keberaniannya

Rasulullah s.a.w. adalah manusia yang termulia dan amat berani. Berkata Saiyidina Ali r.a.: Saya dapati diri saya pada hari peperangan Badar bersama-sama orang yang melindungi Nabi s.a.w. sedang tempatnya paling hampir sekali kepada musuh. Ketika iti Rasulullah s.a.w di antara orang-orang yang paling bersemangat sekali ketangkasan dan keberaniannya.

Saiyidina Ali menceritakan lagi tentang peribadi Rasulullah s.a.w., katanya: Ketika pertempuran menjadi gawat, dan musuh telah tercampur aduk dengan kami, kami pun terus berlindung diri kepada Rasulullah s.a.w., maka ketika itu tiada seorang pun yang paling hampir kepada mush selain diri baginda s.a.w. Apabila kaum musyrikin menyerbu ke arahnya, baginda pun segera turun dari tunggangan baghalnya seraya bersajak:

Aku Nabi bukannya pendusta

Aku anaknya Abdul Mutalib.

Pada saat dan ketika itu, tiada seorang pun yang nampak lebih bersemangat daripada diri baginda s.a.w. sendiri.

Tawadhu’nya

Sekalipun tinggi kedudukannya dan mulia martabatnya antara para sahabat sekalian, namun baginda sentiasa bersifat merendah diri. Baginda mengenderai keledai dengan beralaskan sekeping tikar saja, dan terkadang-kadang membiarkan di belakangnya dibuncingi orang lain pula. Baginda sering melawat pesakit-pesakit dan mengiringi jenazah ke perkuburan. Baginda mengkabulkan undangan hamba sahaya, menjahit kasutnya sendiri, menampal bajunya sendiri. Baginda selalu membantu ahli rumah dalam urusan kerja rumah tangganya.

Para sahabat tidak pernah bangun untuk menghormatinya ketika ia tiba, kerana perkara itu amat dibencinya. Bila dia berlalu di tempat kanak-kanak bermain, dia selalu memberi salam kepada mereka. Baginda duduk bersama-sama para sahabatnya bercampur aduk, seolah-olah ia salah seorang dari mereka, sehingga apabila ada orang gharib (asing) yang datang, sukar baginya untuk mengenal, mana satu Nabi kecuali setelah diberitahukan kepadanya.

Ketika sedang duduk-duduk dalam suatu majlis bersama-sama para sahabat, mereka berbual-bual mengenai urusan keakhiratan, baginda turut bersama-sama membicarakan tentangnya. Jika mereka berbual-bual tentang makan-minum, baginda turut juga membicarakan perkara yang sama, sebagai tanda belas kasihan dan tawadhu’nya kepada mereka sekalian.

Para sahabat sekalian selalu juga melagu-lagukan syair-syair dalam majlisnya. Dan terkadang-kadang mereka menyebut-nyebut beberapa perkara yang pernah di lakukan dalam zaman jahiliah dahulu, sehingga menimbulkan perasaan geli hati dan tertawa. Apabila mereka sekalian tertawa, baginda hanya turut terseyum.

Baginda tidak pernah melarang para sahabat sekalian dari perkara-perkara tersebut, melainkan jika ada yang haram, maka ketika itu baginda tidak akan tergesa-gesa lagi untuk melarangnya.

Bentuk kejadiannya.

Rasulullah s.a.w. adalah sederhana saja perawakannya, tubuhnya tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah. Warna kulitnya berseri-seri, tidak terlalu merah ataupun terlalu putih melepak. Rambutnya tidak terlalu lurus ataupun terlalu kerinting, dan rambut itu mengiringi sampai ke tepi dua telinganya. Uban di kepala atau di janggut tidak sampai dua puluh helai. Dahinya luas. Bulu keningnya tidak lebat tetapi panjang. Alis matanya juga panjang. Giginya renggang-renggang. Jangutnya lebat dan dibiarkannya panjang tanpa di potong, manakala misainya kemas diandam. Kedua tulang belikatnya besar melebar dan antara kedua belah bahunya terdapat khatamun-Nubuwwah (Mohor Kenabian). Langkahnya satu-satu seolah-olah ia sedang turun dari tempat tinggi.

Mutiara kemukjizatannya.

Ketahuilah, bahwasanya sesiapa yang memperhatikan sifat-sifat Rasulullah s.a.w. dan mendengar berita-beritanya yang berkenaan dengan akhlak dan budi pekertinya, perbuatan dan perilakunya hal-ehwal dan keadaannya, adat-istiadat dan watak tabiatnya, kelebihan dan keutamaannya, siasah dan politiknya terhadap sekalian makhluk, hidayat dan petunjuknya untuk menyusun dan mengatur cara kehidupan mereka, kebiasaan dan kemesraannya dalam pergaulan dengan segala lapisan masyarakat dan kepimpinannya terhadap mereka agar mentaati segala perintahnya, tambahan pula jika diperhatikan dan diteliti pula segala cerita-cerita mengenai keluar biasaan jawabannya terhadap persoalan-persoalanyang rumit, kegemilangan pentadbirannya dalam kepentingan rakyat umum, keindahan pengaturannya dalam mengupas hukum-hukum syariat Islam yang zahir, yang kiranya dikemukakan kepada para cendekiawan, tentu sekali akal fikiran mereka akan menjadi buntu untuk mencari pangkal permulannya, meskipun mereka berusaha sepanjang umur mereka.

Oleh kerana itu, maka tiadalah dapat diragukan atau disyaki lagi, bahwa semua itu adalah suatu pancaran yang bersumber dari kekuasaan langit, dan kekuatan yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala. Segala-gala itu tidak mungkin digambarkan oleh seorang pendusta atau penipu. Bahkan semua budi pekerti dan perilakunya, semua hal-ehwal dan keadaannya menjadi saksi dan bukti atas kebenarannya. Sehingga seorang Arab yang tidak mengerti apa-apa apabila melihat saja kelakuan Rasulullah s.a.w. itu , ia terus berkata: Muka ini bukan muka pendusta.

Jika orang yang hanya melihat perilaku dan akhlaknya saja, sudah berani menyaksikan kebenarannya, bagaimana pula dengan orang yang sehari-harian bersama-samanya menyaksikan segala keluhuran budi pekertinya dan merasakan kejempolan hal-ehwalnya dalam segala sumber dan puncanya.

Kami utarakan di sini sebahagian dari akhlak dan budi pekerti baginda, agar anda mengerti tentang keluhuran perilakunya. Sesudah itu hendaklah anda faham, baik tentang kebenarannya dan ketinggian darjatnya dan kebesaran kedudukannya di sisi Allah Ta’ala, sebab Allah Ta’ala telah melengkapkan diri baginda dengan segala sifat kemurniaan akhlak dan budi pekerti, padahal baginda adalah seorang yang ummi, tidak pandai tulis baca, tidak pernah mempelajari ilmu pengetahuan, tidak pernah membaca atau menatap buku-buku dan tidak pernah belayar kerana menuntut ilmu di negeri mana pun. Akan tetapi baginda dibesarkan di kalangan orang-orang bodoh dari kaum arab yang kasar budi lakunya. Baginda dibesarkan pula sebagai seorang anak yatim, amat lemah. Maka bagaimana dan dari mana baginda telah mendapat segala pendidikan keluhuran akhlak dan adab itu? Bagaimana dan dari mana baginda mengetahui selok-belok hokum agama yang terkhusus ini, dan tidak mengetahui selainnya dari ilmu pengetahuan pula? Terutama sekali kemakrifatannya tentang zat Allah, Malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya dan seumpamanya dari pengkhususan-pengkhususan yang biasanya dilengkapkan kepada seorang Nabi?!

Pendekata dari mana baginda memperoleh semua ini kalaulah tidak menerusi wahyu yang diturunkan dari langit?! Fikirkanlah, manusia mana yang dapat mencapai semua pengkhususan-pengkhususan ini menerusi kekuatan yang ada padanya?! Andaikata tiada lain bukti yang ada pada baginda untuk membuktikan dirinya sebagai seorang Nabi dan Rasul melainkan dengan perkara-perkara lahir yang disebutkan tadi, sudah memadai dan cukuplah! Padahal telah jelas dan terang keterangan-keterangan mengenai kemukjizatannya apa-apa yang tidak boleh diragukan atau ditolak lagi.

Berikut kita cuba menyebutkan sedikit dari berbagai-bagai mukjizatnya yang banyak, yang mana beritanya sudah tersebar dengan luas. Kita sebutkan di sini seringkas-ringkas yang boleh, iaitu:

(1) Telah tersiar berita Rasulullah s.a.w. telah menjamu makan kepada segolongan orang yang ramai dari makanan yang sedikit. Iaitu seperti yang berlaku di rumah Jabir, di rumah Abu Talhah, pada hari mengorek Khandaq (Kubu). Pernah berlaku juga suatu masa, baginda menjamu makan seramai 80 orang dari beberapa keping roti syair yang dibawa oleh Anas kepada baginda. Mereka sekalian telah memakannya sehingga kenyang sekenyang-kenyangnya, dan sesudah itu ada pula bakinya lagi.

(2) Memancarkan air dari antara jari-jemari baginda, sehingga dapat menghilangkan dahaga seluruh askar-askarnya, padahal mereka sedang dalam keadaan dahaga yang amat sangat. Juga pernah pula mereka itu dapat berwudhu’ dari semangkuk air yang amat kecil, sehingga apabila baginda hendak memasukkan tangannya ke dalam mangkuk itu pun sukar dikeranakan sempitnya.

(3) Rasulullah s.a.w. pernah mencurahkan air yang disediakan untuk baginda berwudhu’ ke dalam perigi Tabuk, sedangkan perigi itu kekeringan air pada ketika itu, tetapi kemudian memancar semula matair itu mengeluarkan airnya, sehingga dapat diminum oleh askar-askar yang bilangannya berjumlah ribuan orang dengan puas dan berlebihan lagi. Demikian pula peristiwa yang sama berlaku lagi di salah sebuah perigi Hudaibiah, di mana seramai 1,500 orang telah meminum dari perigi itu, padahal perigi itu perigi buta, tidak pernah berair sama sekali sebelumnya.

(4) Pernah Rasululullah s.a.w. melempar tentera musuh dengan segenggam tanah, sehingga penglihatan mereka seolah-olah buta, tidak boleh melihat lagi. Peristiwa ini telah dikuatkan beritanya oleh al-Quran al-Karim sendiri dalam ayatnya yang berbunyi:

“Bukannya engkau yang melempar ketika engkau melempar itu, akan tetapi Allah yang melempar.” (al-Anfal: 17)

(5) Ada sebatang pokok yang dahulunya Rasulullah s.a.w. pernah berkhutbah di atasnya. Tetapi apabila telah dibuatkan bagi baginda minbar untuk digunakan berkhutbah menggantikan batang pohon itu, maka kedengaranlah batang pohon itu seolah-olah menangis seperti suara unta yang mengeluh sehingga suara itu terdengar oleh para sahabat sekalian. Oleh baginda maka batang pohon itu lalu dipeluknya tanda kesayangan, barulah suara itu diam.

(6) Pernah kaum Yahudi mencabar baginda supaya mencita-citakan maut. Lalu baginda pun bertaruh mengatakan, bahwa mereka sekalian tidak berani mencita-citakan maut.*

* Dalam sambungan riwayat itu: Jika mereka benar-benar mencita-citakan maut niscaya mereka akan mati bergelempangan di situ juga. Kaum Yahudi itu kemudian merasa takut dan gentar – Pent

Maka kaum Yahudi itu dapat merasakan kebenaran kata-kata Rasulullah, lalu mereka pun menarik balik cabarannya itu.

(7) Pernah Rasulullah s.a.w. memberitahukan tentang berita-berita ghaib, kemudian berita-berita itu berlaku tepat seperti yang ditelahinya, iaitu: Saiyidina Usman bin Affan, pernah diberitahu oleh baginda bahwa malapetaka akan menimpanya suatu masa nanti dan sesudah itu ia masuk syurga.*

* Malapetaka yang dimaksudkan itu ialah berlakunya suatu pemberontakan rakyat terhadap pemerintah Khalifah Usman, di mana beliau akhirnya terbunuh syahid, ketika sedang membaca al-Quran – Pent. Baca: Sejarah dan Kebudayaan Islam, Jilifd 1 ms. 303-314. PN 1975

Ammar bin Yasir akan dibunuh oleh segerombolan manusia penganiaya. Al-Hasan bin Ali ditakdirkan Tuhan akan mendamaikan antara dua puak Muslimin yang besar. *

* Semua telahan-telahan itu telah berlaku tepat seperti yang diberitahukan oleh Rasulullah s.a.w. yang telah menjadikan setengah kaum Muslimin insaf dan setengah yang lain tetap atas penganiayaannya – Pent.

Dalam suatu peristiwa pula Rasulullah s.a.w. telah memberitahu tentang diri seorang yang berjihad dalam sabilillah, bahawasanya orang itu dari ahli neraka, maka orang itu talah diintip-intip oleh seorang sahabat dan mendapatinya telah membunuh diri sendiri disebabkan tak tertahan lagi oleh pedihnya luka-luka di badan.

Semua telahan-telahan ini adalah perkara-perkara yang bersumber dari Tuhan, tidak mungkin diketahui oleh sesiapa dengan apa cara sekalipun. Tidak pernah pula diketahui bahwa Rasulullah s.a.w. telah mengambil sumber pengetahuannya tentang perkara semacam rumusan atau dengan ramalan, atau secara kasyaf, bukan pula dengan rumusan atau dengan ramalan tetapi kesemuanya adalah datangnya dari Allah yang telah memberitahukannya menerusi wahyuNya.

(8) Dalam suatu peristiwa pula, Suraqah bin Malik telah mengejari baginda (ketika berhijrah ke Madinah), lalu tiba-tiba kaki kudanya terbenam ke dalam tanah, sehingga Suraqah meminta tolong kepada Rasulullah supaya melepaskannya. Baginda pun berdoa dan kaki kuda itu pun terlepas.

(9) Rasulullah s.a.w pernah menelah bahwa akan diletakkan ke atas dua belah bahunya gelang Kisra (Majaraja Parsi) dan ini juga telah berlaku.

(10) Baginda telah memberitahu tentang pembunuhan al-Aswad Al-Ansi, pendakwa Nabi yang bohong. Ia akan di bunuh pada malam hari, ketika berada di shan’aa (Yaman). Diberitahukan sekali pembunuhnya.

(11) Baginda telah memberitahu bahwa ia sendiri akan membunuh Ubai bin Khalaf al-Jumahi. Maka pada peperangan Uhud, baginda berjaya memancung leher Ubai dengan sekali pancungan yang lembut saja, di mana Ubai telah menemui ajalnya.

(12) Baginda pernah dihidangkan makanan yang beracun. Orang yang makan bersama-sama baginda telah mati kerana racun itu, tetapi baginda terselamat dan masih terus hidup empat tahun lagi sesudah peristiwa itu. Baginda terselamat disebabkan daging itu memberitahunya yang ia beracun.

(13) Baginda memberitahu perihal tempat pertempuran dengan pasukan-pasukna Quraisy, maka Rasullah s.a.w telah menghentikan mereka itu seorang demi seorang, tidak seorang pun dapat maju lagi ke hadapan dari tempat itu.

(14) Baginda memberitahu juga, bahwa segolongan dari ummatnya akan mengharungi lautan, yang kemudian berlaku tepat seperti telahannya.

(15) Allah Ta’ala telah menggulung bumi bagi baginda sehingga terlihat olehnya sudut timur sampai sudut barat. Lalu diberitahukan kepada baginda, bahwasanya kekuasaan ummatnya akan meliputi segala tempat dalam bumi yang terlihat olehnya tadi. Maka hal ini sebenarnya telah pun berlaku. Sebab kaum Muslimin pernah berkuasa dari sudut timur bermula dari negeri Turki, hingga ke sudut barat dari laut Andalus (Spain) dan negeri barbar (Algeria dan sekitarnya).

(16) Baginda memberitahu puterinya Siti Fatimah radhiallahuanha, yang ia adalah orang pertama sekali akan menyusul baginda setelah baginda wafat. Ini betul-betul telah berlaku.

(17) Baginda memberitahu isteri-isterinya juga, bahwa yang paling ringan tangannya akan lebih dahulu menyusulnya, setelah baginda wafat. Maka isterinya yang bernama Zainab r.a. yang terkenal seorang dermawan adalah paling awal sekali mengikutinya di antara isteri-isteri baginda.

(18) Baginda pernah suatu ketika mengusap-usap tetek seekor kambing yang telah kering susunya, maka dengan serta-merta tetek itu mengeluarkan susu. Ini juga telah menyebabkan Abdullah bin Mas’ud r.a. (terkenal Ibnu Mas’ud) masuk Islam.

Sebelum itu telah berlaku perkara yang sama juga di Khemah Ummi Ma’bad al-Khuza’iah.

(19) Sekali peristiwa pernah mata seorang sahabat terkeluar dari kelopaknya, lalu Rasulullah s.a.w. mengembalikan semula mata itu di tempat asalnya dengan penglihatan orang itu menjadi lebih sihat dan lebih baik dari sebelumnya.

Perkara yang sama telah berlaku diri Saiyidina Ali bin Abu Talib r.a. ketika matanya sakit di waktu peperangan Khaibar, lalu baginda pun meludah ke mata yang sakit itu, maka baiklah mata itu serta merta. Baginda pun menyerahkan kepadanya panji-panji Islam untuk membuka Kota Khaibar itu.

Demikianlah sebahagian dari mukjizat-mukjizat Nabi s.a.w. yang dapat disebutkan di sini hingga kepada selainnya dari hal-hal yang luar biasa dan dari mukjizat-mukjizatnya yang amat banyak itu.

Barangsiapa yang masih menyangsikan terjadinya perkara-perkara yang luar biasa ini atas diri Rasulullah s.a.w. serta menganggap bahwa berita tentang peristiwa-peristiwa dan kejadian-kejadian yang luar biasa itu tidak di bawa menurut tawatur (bersambung-sambung sehingga sukar dibohongi lagi) seperti tawaturnya Al-Quran, maka yang demikian itu samalah seperti seorang yang masih menyangsikan ketangkasan Saiyidina Ali bin Abu Talib r.a. atau seperti seorang yang masih meragui tentang kemurahatian Hatim at-Tha’i.

Memang benar, bahwa tiap-tiap satu dari kejadian-kejadin tadi tidak tawatur pemberitaanya, akan tetapi pada umumnya keseluruhan kejadian-kejadian itu memberitahu kepada kita semacam pengetahuan yang diharuri. Dan tawatur al-Quran al-Karim itu sudah tidak dapat dipertelingkahkan lagi, dan ia juga merupakan  satu-satunya mukjizat yang paling utama dan terbesar sekali, yang masih ada di antara manusia hari ini. Tidak ada seorang Nabi yang mempunyai mukjizat yang masih tinggal, selain dari mukjizat Rasulullah s.a.w. telah mencabar sekalian pakar ilmu bahasa dalam kalangan manusia dan sasterawan-sasterawan Arab seluruhnya.

Kebetulan di masa itu, Jazirah Arabia penuh dengan pakar-pakar ilmu bahasa dan sasterawan-sasterawan ulung, sehingga mencapai bilangan ribuan. Orang-orang in memanglah kerjanya memajukan kesusasteraan dan kefasihan bahasa Arab, maka dengan mukjizat al-Quran itulah Rasulullah s.a.w. telah mencabar mereka dan mengatasi ilmu pengetahuan mereka.

Seringkali pula Rasulullah s.a.w. berdiri di hadapan mereka seraya menyeru mereka mencipta seperti al-Quran, kiranya mereka masih meragui al-Quran. Kemudian meminta mereka mencipta sepuluh Surah saja seperti al-Quraan. Kemudian dengan satu Surah saja… tetapi semua cabaran dan rayuan Rasulullah s.a.w. itu, mereka tetap tidak berkuasa menandinginya.

Baginda lalu membacakan kepada mereka ayat al-Quran yang berbunyi:

“Katakanlah sekiranya berkumpul manusia dan jin untuk mendatangkan (mencipta) seperti al-Quran ini, mereka tidak akan mampu mendatangkan sepertinya, meskipun sebahagian mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang lain.” (al-Isra’: 88)

Baginda telah berkata demikian untuk membuktikan kelemahan mereka itu. Sememangnyalah mereka itu menjadi lemah sekali, bila mereka berhadapan dengan al-Quran al-Karim, sehingga mereka mendedahkan diri mereka kepada penawanan oleh kaum Muslimin dalam peperangan-peperangan yang mereka masih tidak berkuasa untuk menetang al-Quran. Juga tidak mampu untuk mencacatkan keindahan dan kemurniaan al-Quran.

Sesudah itu tersebarlah cerita I’jaz al-Quran ini ke seluruh antero dunia, baik di timur mahupun di barat, dari satu abad ke abad yang lain, dan dari suatu masa ke masa yang lain, hinggalah sampai ke zaman kita ini, tidak ada seorang pun yang sanggup menentangnya.

Adalah suatu kebodohan yang besar, orang yang melihat pada hal-ehwal Rasulullah s.a.w. kemudian kepada tutur katanya, perilakunya, perbuatannya, akhlaknya, budi pekertinya dan seterusnya kepada mukjizat-mukjizatnya, kemudian kepada penyebarannya ke seluruh antero alam, kemudian melihat pula bagaimana sekalian raja-raja dalam zamannya dapat ditundukkan, kemudian raja-raja sesudah zamannya juga dapat ditundukkan sama, padahal baginda tiada lain, melainkan seorang anak yatim yang lemah saja.

Kemudian sesudah orang itu melihat segala-gala yang tersebut di atas tadi, lalu ia cuba mahu mempertelingkahkan tentang kebenarannya? Alangkah besarnya taufiq dan petunjuk orang yang sudah beriman dengan Nabi s.a.w. kemudian ia membenarkannya pula seraya mengikut jejak langkahnya terhadap semua perintah yang diwahyukan.

Marilah kita memohon Allah Ta’ala agar kita diberikanNya taufiq dan pentunjuk untuk mengikuti jejak langkah Nabi s.a.w. dalam akhlak dan budi pekertinya dalam perilaku dan perbuatannya, dalam segala hal dan keadaannya, dalam kata-kata dan tutur bicaranya dengan kurniaannya dan keluasan kasih sayangnya. Amin.


Responses

  1. Salam’alaik. Ada kesalahan pada ayat “Tolaklah kejahatan itu dengan cara yang paling baik, sehingga kiranya ada permusuhan di antaramu dengannya menjadi seolah-olah kawan yang setia.” (as-sajdah: 34). sepatutnya (Surah Fussilat, ayat 34)

    • Terima Kasih di atas nasihat anta.. saya akan membuat penbetulan. salam Ukhuwah dari ana.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Kategori

%d bloggers like this: