Posted by: peribadirasulullah | Mei 10, 2011

Kelebihan Rasulullah SAW-2

http://t2.gstatic.com/images?q=tbn:ANd9GcRLTMpmV0qoRt0PYPtCDhgBi9778OAWY_gyN4xHE5tf8KQmWXbQxQ

Bab Keharuman Keringat Nabi s.a.w Dan Mencari Keberkatan Dengannya

Hadis   Anas r.a:
Sesungguhnya Nabi s.a.w pernah datang ke rumah Ummu Sulaim dan ingin berehat iaitu tidur siang di rumahnya. Ummu Sulaim lalu meletakkan hamparan dari kulit sebagai alas tidur Nabi. Manakala di saat tidur itulah baginda mengeluarkan banyak keringat. Ummu Sulaim lalu mengumpulkan keringat tersebut kemudian mencampurnya dengan minyak wangi dan memasukkannya ke dalam botol-botol kecil. Kemudian Nabi s.a.w bertanya kepada Ummu Sulaim: Apa ini? Beliau menjawab: Keringat kamu. Aku mencampurnya dengan minyak wangiku

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4302

Bab Keringat Nabi s.a.w Di Musim Dingin Dan Ketika Menerima Wahyu

Hadis   Aisyah r.a katanya:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah menerima wahyu pada waktu pagi di musim dingin kemudian didapati dahinya berkeringat

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4303

Bab Nabi s.a.w Mengurai Dan Menyikat Rambutnya Menjadi Dua Belahan

Hadis   Ibnu Abbas r.a katanya:
Kebiasaan Ahli Kitab ialah mengurai rambutnya. Kebiasaan orang-orang musyrik ialah menyikat rambutnya menjadi dua belahan. Rasulullah s.a.w suka menyesuaikan dengan Ahli Kitab pada perkara yang tidak diperintahkan. Rasulullah s.a.w mengurai rambutnya, kemudian barulah baginda menyikatnya menjadi dua belahan

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4307

Bab Sifat Nabi s.a.w Dan Baginda Adalah Seorang Yang Paling Tampan

Hadis   Al-Bara’ r.a katanya:
Rasulullah s.a.w adalah seorang lelaki yang berbadan segak, berbahu lebar dan berambut panjang sehingga terjuntai ke cuping telinga. Baginda memakai pakaian yang berwarna merah. Aku tidak pernah melihat sesuatu yang indah, seindah Nabi s.a.w

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4308

Bab Sifat Rambut Nabi s.a.w

Hadis   Anas bin Malik r.a:
Diriwayatkan daripada Qatadah r.a katanya: Aku pernah bertanya kepada Anas bin Malik, bagaimanakah keadaan rambut Rasulullah s.a.w. Anas bin Malik menjawab: Rambutnya ikal, tidak keriting dan tidak lurus, kemudian terurai sehingga sampai ke bahu baginda

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4311

Bab Uban Nabi s.a.w

Hadis   Anas bin Malik r.a:
Diriwayatkan daripada Ibnu Sirin r.a katanya: Anas bin Malik pernah ditanya: Apakah Rasulullah s.a.w mewarnakan rambut iaitu ubannya? Anas bin Malik menjawab: Sesungguhnya beliau belum pernah melihat uban melainkan sedikit

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4317

Hadis   Abu Juhaifah r.a:
Aku pernah melihat rambut Rasulullah s.a.w yang di sini, berwarna putih. Zuhair memberi isyarat sambil meletakkan sebahagian jari-jarinya di bawah bibir. Salah seorang bertanya kepada Zuhair: Berapakah umur kamu pada waktu itu? Zuhair menjawab: Aku pada waktu itu sudah pandai membuat anak panah dan melekatkan bulu pada panah tersebut

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4323

Bab Adanya Tanda Kenabian dan Sifatnya Yang Terletak Di Salah Satu Bahagian Pada Badan Nabi s.a.w

Hadis   As-Saib bin Yazid r.a katanya:
Emak saudaraku pernah menemui Rasulullah s.a.w bersama-samaku. Emak saudaraku berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya anak saudaraku ini diserang sakit perut. Maka aku melihat baginda mengusap kepalaku dan mendoakan aku supaya mendapat berkat. Selepas itu baginda berwuduk lalu minum air lebihan wuduk baginda kemudian aku berdiri di belakang baginda. Aku melihat ada tanda pada tengah-tengah bahu baginda dengan terang seperti lubang pada sarang merpati

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4328

Bab Sifat Nabi s.a.w Ketika Baginda Diangkat Sebagai Utusan Dan Usia Baginda
Hadis   Anas bin Malik r.a katanya:
Bentuk tubuh Rasulullah s.a.w tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah. Baginda tidak terlalu putih dan tidak terlalu hitam. Rambut baginda tidak terlalu Kerinting dan tidak terlalu lurus. Baginda diutuskan oleh Allah ketika berusia empat puluh tahun. Baginda tinggal di Mekah selama sepuluh tahun dan di Madinah selama sepuluh tahun. Baginda wafat ketika berusia awal enam puluhan. Sementara itu di kepala dan janggut baginda tidak terdapat lebih dari dua puluh helai rambut yang berwarna putih

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4330

Bab Usia Nabi s.a.w Ketika Baginda Wafat

Hadis   Aisyah r.a:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w wafat pada usia enam puluh tiga tahun

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4332

Bab Tempoh Nabi s.a.w Tinggal Di Mekah Dan Madinah

Hadis   Ibnu Abbas r.a katanya:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w tinggal di Mekah selama tiga belas tahun. Baginda wafat pada usia enam puluh tiga tahun

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4333

Bab Nama nama Nabi s.a.w

Hadis   Jubair bin Mut’im r.a:
Sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda: Aku adalah Muhammad. Aku adalah Ahmad. Aku adalah Al-Maahi yang mana disebabkan aku kekufuran dihancurkan. Aku adalah Al-Haasyir di mana ramai orang dikumpulkan selepasku. Aku adalah Al-Aaqib dan Al-Aaqib adalah penutup para Nabi

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4342

Bab Pengetahuan dan Ketakwaan Nabi s.a.w Kepada Allah Taala

Hadis   Aisyah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w pernah membuat sesuatu pekerjaan namun baginda kemudiannya memberikan keringanan. Ketika perkara itu didengar oleh sebahagian daripada sahabat-sahabat baginda, mereka seolah-olah tidak suka dengan tindakan baginda itu dan mengatakan ianya tidak berdosa. Reaksi mereka itu sampai kepada baginda. Baginda seterusnya berdiri dan berpidato: Apa dipedulikan orang-orang itu? Mereka mendengar berita tentang diriku yang memberikan kemurahan terhadap sesuatu. Mereka tidak menyukainya dan mengatakan ianya tidak berdosa. Demi Allah, sesungguhnya aku adalah orang yang paling tahu dan paling bertakwa kepada Allah daripada mereka

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4345

Bab Wajib Mengikuti Jejak Nabi s.a.w

Hadis   Abdullah bin Az-Zubair r.a:
Sesungguhnya seorang lelaki Ansar berkelahi dengan Az-Zubair di samping Rasulullah s.a.w berkenaan saluran air di Harrah. Lelaki Ansar tersebut berkata: Alirkan air itu sehingga mengalir. Az-Zubair menolak permintaan mereka, lalu mereka berkelahi di samping Rasulullah s.a.w. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda kepada Az-Zubair: Berilah aliran air, wahai Az-Zubair! Kemudian biarkan air itu mengalir pada jiran tetanggamu. Lelaki Ansar tadi marah seraya berkata: Wahai Rasulullah! Apakah kerana Zubair adalah anak saudara engkau? Nabi s.a.w dengan marah bersabda: Wahai Az-Zubair! Berilah kepadanya air, kemudian tahanlah air tersebut sehingga ianya mengalir ke kebun itu. Setelah selesai kejadian itu, Az-Zubair berkata: Demi Allah, sesungguhnya aku yakin bahawa ayat ini turun membicarakan tentang perkelahian tadi. فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا Yang bermaksud: Maka demi Tuhan, mereka pada hakikatnya tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa di dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4347

Bab Kewibawaan Nabi s.a.w Dan Baginda Tidak Bertanya Tentang Perkara Perkara Yang Tidak Perlu Atau Perkara Perkara Yang Tidak Ada Kaitannya Dengan Syarak Atau Perkara Perkara Yang Tidak Realiti Dan Sebagainya

Hadis   Saad bin Abu Waqqas r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya sebesar-besar dosa orang Islam terhadap orang Islam lain ialah orang yang bertanya tentang sesuatu yang tidak diharamkan kepada orang-orang Islam, kemudian diharamkan ke atas mereka disebabkan pertanyaannya

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4349

Hadis   Anas bin Malik r.a katanya:
Satu berita tentang para sahabat sampai kepada Rasulullah s.a.w. Maka baginda bersabda: Telah diperlihatkan kepadaku Syurga dan Neraka. Aku belum pernah melihat sesuatu yang paling baik dan paling buruk seperti yang aku lihat pada hari ini. Jika kamu mengetahui perkara-perkara yang dapat aku ketahui, nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis. Anas berkata lagi: Cuaca hari ini sangat panas. Kepanasannya menyengat para sahabat Rasulullah s.a.w sehingga mereka terpaksa menutup kepala. Jadi, semasa mereka berteriak tangis yang memilukan. Umar berdiri seraya berkata: Kami rela Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad sebagai Nabi. Selanjutnya Anas berkata lagi: Ada seorang lelaki yang berdiri dan berkata: Siapakah bapaku? Beliau menjawab: Bapa engkau adalah si polan. Kemudian turun ayat: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَسْأَلُوا عَنْ أَشْيَاءَ إِنْ تُبْدَلَكُمْ تَسُؤْكُمْ Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu menanyakan (kepada nabimu) perkara-perkara yang mana jika diterangkan kepadamu, nescaya menyusahkan kamu

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4351

Hadis   Abu Musa r.a katanya:
Nabi s.a.w pernah ditanya tentang beberapa perkara yang tidak disukai oleh baginda. Oleh Kerana baginda didesak dengan berbagai pertanyaan, baginda menjadi marah dan bersabda kepada mereka: Bertanyalah kepadaku tentang apapun yang kamu inginkan. Seorang lelaki bertanya: Siapakah ayahku? Baginda bersabda: Ayahmu adalah Huzafah. Maka berdiri pula yang lain dan bertanya: Siapakah ayahku, wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Ayahmu adalah Salim Maula Syaibah. Setelah Umar melihat Rasulullah s.a.w sangat marah, beliau berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4355

Bab Kelebihan Nabi Isa a.s

Hadis   Abu Hurairah r.a katanya:
Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Aku adalah orang yang paling berhak terhadap Putera Mariam. Para Nabi adalah saudara-saudara sebapa. Antara aku dan dia (Putera Mariam) tidak ada walau seorang Nabi

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4360

Hadis   Abu Hurairah r.a:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada seorang bayi yang dilahirkan melainkan telah disentuh oleh syaitan. Bayi itu menangis, menjerit kerana sentuhan syaitan tersebut kecuali Putera Mariam dan Mariam

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4363

Hadis   Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Pada suatu hari Isa bin Mariam melihat seorang lelaki sedang mencuri. Lalu Nabi Isa bertanya kepada lelaki tersebut: Kamu mencuri? Lelaki tersebut menjawab: Tidak, Demi Zat yang tiada Tuhan melainkan Dia. Selanjutnya Nabi Isa berkata: Aku beriman kepada Allah. Aku mendustakan diriku

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4366

Bab Kelebihan Nabi Ibrahim a.s Sahabat Allah

Hadis   Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Nabi Ibrahim a.s adalah seorang Nabi yang berkhatan sendiri pada usia lapan puluh tahun dengan sebilah kapak

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4368

Hadis   Abu Hurairah r.a:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Nabi Ibrahim adalah seorang nabi yang sama sekali tidak pernah berdusta kecuali dalam tiga keadaan. Dua keadaan yang melibatkan Allah, iaitu ucapan Nabi Ibrahim: إِنِّي سَقِيمٌ Yang bermaksud: Sesungguhnya aku sakit dan ucapan Nabi Ibrahim sendiri: بَلْ فَعَلَهُ كَبِيرُهُمْ هَذَا Yang bermaksud: Sebenarnya patung besar inilah yang memukulnya. Salah satunya adalah melibatkan diri Sarah. Sesungguhnya Ibrahim bersama Sarah pernah datang di wilayah seorang Raja yang diktator. Sarah adalah seorang wanita yang paling cantik. Nabi Ibrahim berkata kepada Sarah: Sesungguhnya jika raja yang diktator itu tahu bahawa kamu adalah isteriku, tentu beliau akan memaksaku untuk memiliki kamu. Jika beliau bertanya kepadamu, maka katakan kepadanya bahawa kamu adalah saudara perempuanku. Sesungguhnya kamu memang saudara perempuanku dalam Islam. Sesungguhnya di wilayah ini aku tidak melihat seorang muslim pun melainkan aku dan kamu. Ketika Nabi Ibrahim memasuki Wilayah Raja diktator tersebut ada seorang rakyatnya yang melihat Sarah. Beliau datang kepada Raja diktator tersebut dan melaporkan: Sesungguhnya telah datang ke wilayah kamu seorang wanita yang hanya patut menjadi milik kamu. Raja tersebut mengirimkan utusan kepada Sarah dan membawanya, lalu Nabi Ibrahim a.s mendirikan sembahyang. Ketika Sarah bertemu muka dengan Raja tersebut. Beliau tidak mampu menguasai tangannya untuk memeluk Sarah kerana tangannya tergenggam erat. Beliau berkata kepada Sarah: Berdoalah kepada Allah agar Allah melepaskan tanganku, aku tidak akan menyusahkan kamu, lalu Sarah berdoa. Raja menggenggam tangannya sendiri dengan erat, lebih erat daripada yang pertama. Raja mengulangi ucapannya, maka Sarah melakukannya. Raja menggenggam tangannya sendiri dengan erat, lebih erat daripada yang pertama dan kedua. Raja berkata: Berdoalah kepada Allah agar dia melepaskan tanganku. Demi Allah aku tidak akan menyusahkan kamu. Sarah menurut saja. Kali ini tangan Raja tersebut terlepas. Lalu Raja tersebut memanggil orang yang membawa Sarah dan berkata: Sesungguhnya yang kamu bawa kepadaku adalah syaitan bukan manusia. Usirkan beliau dari wilayahku dan berikanlah Siti Hajar kepadanya. Abu Hurairah meneruskan kata-katanya: Sarah kembali dengan berjalan kaki. Ketika Nabi Ibrahim a.s melihatnya, beliau menyambutnya seraya bertanya: Bagaimana khabarmu? Sarah menjawab: Baik, sesungguhnya Allah telah mengunci tangan orang yang ingin berbuat jahat atau serong dan memberi seorang khadam (pelayan)

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4371

Bab Kelebihan Nabi Musa a.s

Hadis   Abu Hurairah r.a katanya:
Malaikat maut pernah diutuskan kepada Nabi Musa a.s. Ketika Malaikat tersebut datang kepadanya, Musa menamparnya sehingga matanya tercabut. Malaikat tersebut kembali kepada Tuhannya dan berkata: Engkau telah mengutuskan aku kepada orang yang tidak ingin mati. Allah kemudiannya mengembalikan matanya seraya berfirman: Kembalilah kepada Musa, katakan kepadanya supaya beliau meletakkan tangannya di punggung seekor lembu jantan. Beliau berhak mendapat umur setahun pada setiap helai bulu yang ditutupi oleh tangannya. Malaikat tersebut bertanya: Ya Tuhanku, setelah itu? Tuhan berfirman: Kemudian mati. Malaikat tersebut berkata: Sekarang, Musa memohon kepada Allah agar mendekatkannya dengan bumi suci sejauh lontaran seketul batu. Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya aku berada di sana tentu aku akan memperlihatkan kepada kamu makam Musa yang berada di pinggir jalan di bawah sebuah bukit pasir merah

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4374

Hadis   Abu Hurairah r.a katanya:
Ketika seorang Yahudi menawarkan barang dagangannya dan telah diberi sedikit gambaran bahawa beliau belum merasa puas hati atau tidak meredainya, kalau tidak silap namanya Abdul Aziz berkata: Tidak, demi Zat yang telah memilih Nabi Musa a.s kepada manusia. Seorang lelaki Ansar yang mendengar kata-katanya terus menampar mukanya dan berkata: Kamu berkata Demi Zat yang telah memilih Nabi Musa a.s kepada manusia? Bukankah Rasulullah s.a.w telah berada di tengah-tengah kita? Lalu orang Yahudi tersebut pergi menemui Rasulullah s.a.w dan berkata: Wahai Abu Al-Qasim! Sesungguhnya aku memiliki jaminan dan perjanjian, tetapi si anu telah menampar mukaku. Rasulullah s.a.w bertanya kepada lelaki Ansar tadi: Kenapa kamu menampar mukanya? Beliau menjawab: Orang Yahudi telah berkata bahawa demi Zat yang telah memilih Nabi Musa a.s kepada manusia. Bukankah engkau berada di tengah-tengah kami? Rasulullah s.a.w menampakkan wajahnya yang marah dan bersabda: Janganlah kamu mengutamakan di antara para utusan Allah. Sesungguhnya sangkakala iaitu sejenis serunai akan ditiup. Apa yang berada di pelosok langit dan di bumi akan mati, melainkan orang-orang yang dikehendaki oleh Allah. Pada tempoh yang lain pula sangkakala iaitu sejenis trompet akan ditiup lagi. Maka aku adalah orang pertama yang dibangkitkan. Apabila Nabi Musa a.s telah berpegang pada Arasy, aku tidak tahu adakah telah diperhitungkan kematian Musa a.s (dengan tiupan sangkakala) pada hari At-Tur atau beliaukah yang telah dibangkitkan sebelum aku dan aku tidak akan berkata: Sesungguhnya ada seorang lelaki yang lebih utama daripada Yunus bin Matta a.s

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4376

Bab Memperingati Nabi Yunus a.s Dan Sabda Nabi s.a.w: Tidak Patut Bagi Seorang Hamba Berkata Bahawa Aku Adalah Orang Yang Lebih Baik Daripada Yunus Bin Matta a.s

Hadis   Ibnu Abbas r.a:
Dari Nabi s.a.w sabdanya: Tidak patut bagi seorang hamba berkata: Aku adalah orang yang lebih baik daripada Yunus bin Matta a.s dengan mengaitkannya kepada ayahnya

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4382

Bab Kelebihan Nabi Yusuf a.s

Hadis   Abu Hurairah r.a:
Tanyakan wahai Rasulullah siapakah orang yang paling mulia? Baginda bersabda: Mereka yang paling bertakwa. Mereka berkata: Bukan itu yang kami tanyakan kepada engkau. Baginda bersabda: Nabi Yusuf a.s adalah seorang Nabi, anak seorang Nabi, Cucu seorang Nabi dan ayah datuknya adalah Khalilullah iaitu kekasih Allah. Mereka berkata: Bukan perkara itu yang kami tanyakan kepada engkau. Baginda bersabda: Apakah tentang nenek moyang orang-orang Arab yang kamu tanyakan kepadaku? Keunggulan mereka pada masa jahiliah adalah keunggulan mereka pada masa Islam, iaitu jika mereka berbudi pekerti yang baik

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4383

Bab Kelebihan Khaidir

Hadis   Ubai bin Kaab r.a:
Diriwayatkan daripada Said bin Jubair r.a katanya: Aku pernah berkata kepada Ibnu Abbas: Sesungguhnya Naufal Al-Bikali menganggap bahawa Nabi Musa a.s seorang Nabi Bani Israel adalah bukan Nabi Musa a.s yang menjadi sahabat Khaidir Ibnu Abbas berkata: Bohong musuh Allah. Aku pernah mendengar Ubai bin Kaab berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Nabi Musa a.s pernah berpidato di tengah-tengah Bani Israel lalu Nabi Musa a.s ditanya: Siapakah manusia yang lebih tahu? Beliau menjawab: Akulah orang yang lebih tahu. Allah terus menegurnya kerana beliau tidak mengembalikan pengetahuannya kepada Allah. Allah memberikan wahyu kepadanya: Sesungguhnya seorang hambaKu yang berada di pertemuan dua buah lautan adalah lebih tahu daripada kamu. Selanjutnya Nabi Musa a.s bertanya: Wahai Tuhanku! Bagaimana aku dapat berjumpa dengannya? Dikatakan kepada Musa: Bawalah ikan paus dalam sebuah keranjang. Di mana saja kamu kehilangan ikan tersebut, maka di situlah dia berada. Lalu Nabi Musa a.s berangkat bersama muridnya bernama Yusya’ bin Nun. Nabi Musa a.s membawa ikan tersebut di dalam sebuah keranjang. Nabi Musa a.s dan muridnya berangkat secara berjalan kaki sehingga sampai di sebuah batu karang besar yang sangat keras lalu Nabi Musa a.s dan muridnya tidur. Sementara itu, ikan yang berada di dalam keranjang tersebut bergerak dan keluar dari keranjang lalu terjun ke laut. Allah menahan ombak, sehingga menjadi seperti sebuah jambatan supaya ikan tersebut dapat melintasinya. Nabi Musa a.s dan muridnya merasa hairan, mereka meneruskan perjalanan yang masih berbaki pada siang dan malam. Murid Nabi Musa a.s terlupa untuk memberitahunya. Pada suatu pagi Nabi Musa a.s berkata kepada muridnya: آتِنَا غَدَاءَنَا لَقَدْ لَقِينَا مِنْ سَفَرِنَا هَذَا نَصَبًا Yang bermaksud: Bawalah makanan kemari, sesungguhnya kita telah merasa letih kerana perjalanan kita ini. Tetapi Nabi Musa a.s tidak akan merasa letih sebelum beliau sampai ke tempat yang diperintahkan. Muridnya berkata: قَالَ أَرَأَيْتَ إِذْ أَوَيْنَا إِلَى الصَّخْرَةِ فَإِنِّي نَسِيتُ الْحُوتَ وَمَا اَنْسَانِيهُ إِلَّا الشَّيْطَانُ أَنْ أَذْكُرَهُ وَ اتَّخَذَ سَبِيلَهُ فِي الْبَحْرِ عَجَبًا Yang bermaksud: Tahukah engkau ketika kita mencari tempat berlindung di sebuah batu karang tadi aku terlupa menceritakan tentang ikan itu. Syaitan telah membuatkan aku lupa untuk menceritakannya. Ikan itu telah masuk ke dalam laut dengan cara yang sangat aneh sekali. Seterusnya Nabi Musa a.s berkata: ذَلِكَ مَا كُنَّا نَبْغِ فَارْتَدَّا عَلَى آثَارِهِمَا قَصَصًا Yang bermaksud: Kalau begitu itulah tempat yang kita cari. Lalu kedua-duanya kembali ke tempat tersebut mengikuti jejak mereka yang dahulu sehinggalah mereka sampai ke tempat batu tersebut. Musa melihat seorang lelaki yang berselimut dengan sehelai pakaian dan itulah Khaidir. Nabi Musa a.s cuba memberi salam kepadanya. Khaidir bertanya kepada Nabi Musa a.s: Bagaimana mungkin ada salam di bumi ini? Nabi Musa a.s berkata: Aku adalah Musa. Khaidir bertanya: Musa Bani Israel? Nabi Musa a.s menjawab: Ya. Khaidir berkata: Sesungguhnya kamu memiliki salah satu ilmu yang telah diberikan Allah kepada kamu dan aku tidak mengetahuinya. Sebaliknya aku juga memiliki salah satu ilmu Allah yang telah diberikan kepadaku dan kamu tidak mengetahuinya. Nabi Musa a.s berkata kepada Khaidir: هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَى أَنْ تُعَلِّمَنِي مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا قَالَ إِنَّكَ لَنْ تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَى مَا لَمْ تُحِطْ بِهِ خُبْرًا قَالَ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ صَابِرًا وَلَا أَعْصِي لَكَ أَمْرًا Yang bermaksud: Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu yang benar di antara ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu? Khaidir menjawab: Sesungguhnya kamu tidak akan sabar bersamaku. Bagaimana kamu dapat bersabar atas sesuatu kerana kamu belum mempunyai pengetahuan yang cukup tentang perkara itu? Musa a.s berkata: Insya Allah kamu akan mendapati aku sebagai orang yang sabar dan aku tidak akan menentangmu dalam sesuatu urusan pun. Khaidir menjawab: فَإِنِ اتَّبَعْتَنِي فَلَا تَسْأَلْنِي عَنْ شَيْءٍ حَتَّى أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْرًا Yang bermaksud: Khaidir berkata kepada Nabi Musa a.s: Jika kamu mengikutiku, maka janganlah kamu bertanya walau apapun sebelum aku sendiri yang menerangkannya kepadamu. Nabi Musa a.s berkata: Baiklah. Maka berangkatlah Khaidir dan Nabi Musa a.s secara berjalan kaki di tepi pantai. Sebuah perahu datang kepada mereka. Mereka bercakap-cakap dengan para penumpangnya agar membawanya. Setelah mereka mengenali Khaidir, mereka membawa keduanya tanpa apa-apa bayaran. Khaidir dengan sengaja mencabut sekeping papan pada perahu tersebut. Nabi Musa a.s berkata kepada Khaidir: Mereka telah membawa kita tanpa apa-apa bayaran tetapi kenapa dengan sengaja kamu lubangi perahu mereka? لِتُغْرِقَ أَهْلَهَا لَقَدْ جِئْتَ شَيْئًا إِمْرًا قَالَ أَلَمْ أَقُلْ إِنَّكَ لَنْ تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا قَالَ لَا تُؤَاخِذْنِي بِمَا نَسِيتُ وَلَا تُرْهِقْنِي مِنْ أَمْرِي عُسْرًا Yang bermaksud: Kamu menenggelamkan penumpangnya. Bukankah kamu telah membuat suatu kesalahan yang besar? Khaidir berkata: Bukankah aku telah berkata: Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sabar bersamaku. Nabi Musa a.s berkata: Janganlah kamu menghukum aku kerana kelupaanku dan janganlah kamu membebani aku dengan sesuatu kesulitan dalam urusanku. Seterusnya mereka berdua meninggalkan perahu tersebut. Sewaktu mereka berdua sedang berjalan di tepi pantai, tiba-tiba mereka dapati seorang remaja bermain dengan beberapa orang kawannya. Khaidir memegang kepala seorang kanak-kanak kemudian membongkok lalu membunuhnya. Nabi Musa a.s berkata: أَقَتَلْتَ نَفْسًا زَاكِيَةً بِغَيْرِ نَفْسٍ لَقَدْ جِئْتَ شَيْئًا نُكْرًا قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَكَ إِنَّكَ لَنْ تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا Yang bermaksud: Mengapa kamu bunuh jiwa yang bersih itu? Bukankah beliau tidak membunuh orang lain? Sesungguhnya kamu telah melakukan sesuatu yang mungkar. Bukankah aku telah katakan kepadamu, bahawa kamu tidak akan sabar bersamaku? Ini sudah keterlaluan daripada yang pertama. Khaidir berkata: قَالَ إِنْ سَأَلْتُكَ عَنْ شَيْءٍ بَعْدَهَا فَلَا تُصَاحِبْنِي قَدْ بَلَغْتَ مِنْ لَدُنِّي عُذْرًا فَانْطَلَقَا حَتَّى إِذَا أَتَيَا أَهْلَ قَرْيَةٍ اسْتَطْعَمَا أَهْلَهَا فَأَبَوْا أَنْ يُضَيِّفُوهُمَا فَوَجَدَا فِيهَا جِدَارًا يُرِيدُ أَنْ يَنْقَضَّ فَأَقَامَهُ Yang bermaksud: Seterusnya Nabi Musa a.s berkata: Jikalau aku bertanya lagi kepadamu tentang sesuatu, maka aku tak akan mengikutimu. Sesungguhnya kamu cukup memahami akan aku. Mereka berdua meneruskan perjalanan. Ketika mereka berdua sampai ke sebuah negeri mereka meminta supaya dijamu oleh penduduk negeri itu. Tetapi penduduk negeri itu tidak mahu menjamu mereka. Kemudian keduanya mendapati dalam negeri itu terdapat dinding rumah yang hampir roboh. Lalu Khaidir menegakkan dinding itu. Nabi Musa a.s berkata: Jika kamu mahu, kamu boleh mengambil upah. Khaidir mengisyaratkan tangannya dan menegakkan dinding tersebut. Nabi Musa a.s berkata kepada Khaidir: Orang-orang yang kita datangi tidak mahu menerima kita sebagai tetamu dan tidak mahu menjamu kita. لَوْ شِئْتَ لَتَخِذْتَ عَلَيْهِ أَجْرًا قَالَ هَذَا فِرَاقُ بَيْنِي وَبَيْنِكَ سَأُنَبِّئُكَ بِتَأْوِيلِ مَا لَم تَسْتَطِعْ عَلَيْهِ صَبْرًا Yang bermaksud: Jika kamu mahu, bolehlah kamu mengambil upahnya dari pekerjaanmu itu. Khaidir berkata: Inilah perpisahan kita. Aku akan memberitahumu tujuan perbuatan-perbuatanku yang membuatkan kamu tidak sabar terhadapnya. Rasulullah s.a.w bersabda: Semoga Allah merahmati Nabi Musa a.s. Aku amat suka sekiranya Nabi Musa a.s dapat bersabar sehingga beliau dapat menceritakan kepada kita tentang pengalaman mereka berdua. Rasulullah s.a.w bersabda: Tindakan Nabi Musa a.s yang pertama memang kerana terlupa. Baginda bersabda: Seekor burung pipit terbang lalu singgah di tepi perahu tersebut dan mematuk di laut. Lalu Khaidir berkata kepada Nabi Musa a.s: Ilmu kita, jika dikaitkan dengan ilmu Allah, adalah seperti patokan seekor burung pipit pada lautan

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4385


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,614 other followers

%d bloggers like this: