Posted by: peribadirasulullah | Mei 10, 2011

Kelebihan Rasulullah SAW-1

http://peribadirasulullah.files.wordpress.com/2011/05/muhammad2brasulullah.jpg?w=291&h=219

Bab Mukjizat Nabi s.a.w

Hadis   Anas r.a:
Sesungguhnya Nabi s.a.w pada suatu hari meminta air, lalu baginda diberikan sebekas air. Orang ramai diajak mengambil wuduk dengan air tersebut. Maka aku hitungkan jumlahnya iaitu orang yang mengambil wuduk, antara enam puluh hingga lapan puluh orang. Kemudian aku perhatikan air keluar dari celah-celah jari tangan baginda

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4224

Bab Menerangkan Contoh contoh Nabi s.a.w Menyampaikan Petunjuk dan Ilmu

Hadis   Abu Musa r.a:
Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda: Perumpamaan Allah Azza Wa Jalla mengutusku menyampaikan petunjuk dan ilmu adalah seperti titisan hujan yang telah membasahi bumi. Manakala bumi tersebut sebahagian tanahnya ada yang subur sehingga dapat menyerap air serta menumbuhkan rumput dan sebahagian lagi berupa tanah-tanah keras yang dapat menahan air, lalu Allah memberi manfaat kepada manusia sehingga mereka dapat meneguk air, memberi minum dan menggembala ternaknya di tempat itu. Ada juga titisan air hujan tersebut jatuh di tanah yang lain, iaitu tanah gersang yang sama sekali tidak dapat menahan air dan tidak dapat menumbuhkan rumput rampai. Manakala itu semua adalah perumpamaan orang yang bijak pandai tentang agama Allah dan memanfaatkannya setelah aku diutus oleh Allah. Maka baginda tahu dan mahu mengajar apa yang diketahuinya dan juga perumpamaan orang yang keras kepala yang tidak mahu menerima petunjuk Allah yang kerana-Nya aku diutuskan

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4232

Bab Kasih Sayang Nabi s.a.w Terhadap Umatnya Dan Memperingatkan Mereka Dari Perkara perkara Yang Membahayakan

Hadis   Abu Musa r.a:
Daripada Nabi s.a.w baginda bersabda: Sesungguhnya perumpamaanku sebagai utusan Allah, adalah seperti seorang lelaki yang menemui kaumnya seraya berkata: Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah melihat dengan mata kepala kamu sendiri sekumpulan pasukan. Sesungguhnya aku adalah orang yang memberi peringatan. Carilah keselamatan, maka sebahagian dari kaumnya ada yang patuh, malam-malam mereka berangkat dengan tidak terburu-buru. Manakala sebahagian lagi mereka mendustakan, di mana sehingga pagi hari mereka masih berada di tempatnya. Pada pagi itu pula, pasukan tersebut menghancurkan mereka hingga tidak ada yang tinggal. Maka itu adalah perumpamaan orang-orang yang patuh kepadaku dan mengikuti misi yang aku bawa serta perumpamaan orang yang derhaka kepadaku dan mendustakan misi kebenaran yang aku bawa

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4233

Hadis   Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya perumpamaanku dan perumpamaan umatku adalah seperti seseorang yang menyalakan api, lalu binatang-binatang melata dan nyamuk berduyun-duyun datang kepada api tersebut. Manakala aku telah berusaha memegang tali pinggang kamu, namun kamu masuk ke dalam api tersebut

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4234

Bab Menyatakan Nabi s.a.w Sebagai Penutup Para Nabi

Hadis   Abu Hurairah r.a:
Daripada Nabi s.a.w Baginda bersabda: Perumpamaanku dan perumpamaan para Nabi adalah seperti perumpamaan seseorang yang mendirikan sesebuah bangunan. Beliau membinanya dengan baik dan rapi, tetapi ramai orang yang berkunjung dan melihat bangunan tersebut memberi komen, kami belum pernah melihat bangunan sebaik ini melainkan seketul bata ini. Maka akulah seketul bata tersebut

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4237

Hadis   Jabir r.a:
Daripada Nabi s.a.w Baginda bersabda: Perumpamaanku dan perumpamaan para Nabi adalah seperti perumpamaan seseorang yang membangunkan sebuah rumah. Beliau membinanya dengan baik dan sempurna, tetapi masih ada satu tempat yang belum diletakkan bata. Ramai orang yang masuk ke dalam rumah tersebut dan mereka kagum terhadapnya seraya berkata: Alangkah lebih baik jika kekurangan itu disempurnakan. Kemudiannya Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diibaratkan sebagai bata tersebut di mana kedatangan aku adalah sebagai penutup para Nabi

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4240

Bab Telaga Nabi s.a.w (Di Syurga) Dan Sifat Sifatnya

Hadis   Jundab r.a katanya:
Aku mendengar Nabi s.a.w bersabda: Aku mendahului kamu berada di Telaga (Telaga di Syurga)

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4242

Hadis   Sahl r.a katanya:
Aku mendengar Nabi s.a.w bersabda: Aku mendahului kamu berada di Telaga (Telaga di Syurga). Sesiapa yang sampai di sana sudah tentu dia akan dapat meminum air itu. Sesiapa yang telah meminumnya nescaya dia tidak akan dahaga selama-lamanya. Sesungguhnya akan datang kepadaku kaum-kaum yang aku kenal mereka dan mereka kenal aku. Kemudian aku dan mereka dihalangi

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4243

Hadis   Abdullah bin Amru bin Al-As r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Telagaku (di Syurga) panjangnya sejauh jarak perjalanan selama satu bulan. Begitu juga dengan luasnya. Airnya pula seputih perak, baunya sewangi minyak kasturi dan jumlah bekas airnya sebanyak bintang di langit. Sesiapa yang telah meminum air telaga tersebut, nescaya dia tidak akan haus selama-lamanya

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4244

Hadis   Asma’ binti Abu Bakar r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Aku berada di atas telaga sehingga aku dapat melihat siapakah di antara kamu yang datang kepadaku dan siapakah orang-orang di bawahku akan dihukum, lalu aku berkata: Wahai tuhanku! Mereka adalah sebahagian dariku dan termasuk umatku. Kemudian dikatakan: Tahukah engkau apa yang mereka lakukan sesudahmu? Demi Allah, mereka terus kembali kepada kekafiran sepeninggalanmu. Kata perawi: Ibnu Abu Mulaikah berdoa: Ya Allah! Sesungguhnya aku mohon perlindungan Kepada-Mu agar tidak kembali kepada kekafiran atau tidak difitnah dari agama kami

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4245

Hadis   Uqbah bin Amir r.a:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pada suatu hari keluar untuk menyembahyangkan seorang tentera Uhud yang meninggal dunia. Kemudian baginda naik ke atas mimbar dan bersabda: Sesungguhnya aku akan mendahului kamu. Aku akan menjadi saksi kamu. Demi Allah, sesungguhnya sekarang ini aku sudah dapat melihat telagaku. Sesungguhnya aku telah diberi kunci gedung-gedung di bumi atau kunci-kunci bumi. Demi Allah, sesungguhnya aku tidak merasa takut kamu akan kembali musyrik setelah peninggalanku, tetapi aku takut kamu akan berlumba-lumba dalam kehidupan dunia

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4248

Hadis   Abdullah bin Mas’ud r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Aku akan mendahului kamu berada di Telaga. Sesungguhnya aku sempat berebut-rebut dengan beberapa kaum, namun aku dapat mengalahkan mereka, aku katakan: Wahai Tuhanku, tolonglah sahabat-sahabatku, tolonglah sahabat-sahabatku. Lantas dikatakan: Sesungguhnya kamu tidak tahu apa yang telah mereka kerjakan sepeninggalanmu

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4250

Hadis   Harithah r.a:
Sesungguhnya beliau pernah mendengar Nabi s.a.w bersabda: Luas telaga itu adalah seluas kawasan yang membentang antara daerah Sanaa dengan daerah Madinah

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4251

Hadis   Ibnu Umar r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya di hadapan kamu terdapat sebuah telaga, luasnya adalah seluas kawasan yang membentang antara daerah Jarba’ dengan daerah Azruh

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4252

Hadis   Abu Hurairah r.a:
Sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya aku akan mengusir orang-orang yang berada di sekitar telagaku seperti mengusir orang asing yang hendak mengambil air untuk memberi minum untanya

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4257

Hadis   Anas bin Malik r.a:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Luas telagaku kira-kira seluas kawasan yang terbentang antara daerah Ailah sehingga daerah Sanaa yang berada di Yaman. Sesungguhnya di sana terdapat bekas air yang jumlahnya sebanyak bintang di langit

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4258

Bab Penyertaan Malaikat Jibril dan Mikail Dalam Peperangan Uhud Untuk Membela Nabi s.a.w

Hadis   Saad r.a katanya:
Aku pernah melihat di sebelah kanan dan kiri Rasulullah s.a.w terdapat dua orang lelaki yang berpakaian warna putih semasa peperangan Uhud, sebelum dan selepasnya aku tidak pernah melihat mereka, iaitu Malaikat Jibril dan Mikail a.s

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4264

Bab Keberanian Nabi s.a.w Dan Penyertaan Baginda Ke Medan Perang

Hadis   Anas bin Malik r.a katanya:
Rasulullah s.a.w adalah seorang yang paling baik, dermawan dan berani. Pernah pada suatu malam penduduk Madinah dikejutkan oleh suara yang kuat. Orang ramai kemudiannya berangkat menuju ke arah suara tersebut lalu berjumpa Rasulullah s.a.w, ketika itu baginda baru sahaja pulang dari tempat suara tersebut. Baginda telah mendahului mereka pergi ke arah suara tersebut. Pada waktu itu baginda menaiki kuda kepunyaan Abu Talhah. Di leher kuda itu, terdapat sebilah pedang. Kemudian baginda bersabda: Kamu tidak perlu takut, kamu tidak perlu takut. Anas berkata: Rasulullah s.a.w kembali semula ke tempat kami sepantas kilat. Anas berkata lagi: Ketika itu kuda baginda berjalan perlahan

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4266

Bab Nabi s.a.w Adalah Seorang Yang Lebih Dermawan Dalam Hal Hal Kebaikan Daripada Angin Yang Diutuskan

Hadis   Ibnu Abbas r.a katanya:
Rasulullah s.a.w adalah Seorang yang paling dermawan dalam hal-hal kebaikan. Baginda lebih dermawan lagi pada bulan Ramadan. Sesungguhnya Malaikat Jibril a.s telah bertemu dengan baginda setiap tahun pada bulan Ramadan sehingga berakhir Ramadan. Rasulullah s.a.w membaca Al-Quran di hadapannya. Apabila Rasulullah s.a.w bertemu dengan Malaikat Jibril, maka baginda adalah orang yang paling dermawan dalam hal-hal kebaikan melebihi angin kencang yang diutuskan

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4268

Bab Rasulullah s.a.w Adalah Seorang Yang Berakhlak Mulia

Hadis   Anas bin Malik r.a katanya:
Aku pernah melayani Rasulullah s.a.w selama sepuluh tahun. Demi Allah, baginda sama sekali tidak pernah mengatakan kepadaku: His! Baginda tidak pernah mengatakan kepadaku kerana sesuatu yang aku lakukan: Kenapa kamu lakukan perkara itu? Tidakkah kamu seharusnya melakukan perkara ini

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4269

Bab Setiap Kali Rasulullah s.a.w Diminta Sesuatu, Belum Pernah Baginda Mengatakan Tidak Boleh. Baginda Adalah Seorang Yang Suka Memberi

Hadis   Jabir bin Abdullah r.a katanya:
Apabila Rasulullah s.a.w diminta sesuatu, baginda tidak pernah menjawab: Tidak boleh

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4274

Hadis   Jabir bin Abdullah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Seandainya harta kekayaan Bahrain dapat aku miliki, nescaya aku akan berikan kepada kamu sekian, sekian, dan sekian, sambil baginda mengisyaratkan kedua belah tangannya. Namun Nabi s.a.w wafat terlebih dahulu sebelum harta kekayaan Bahrain dimilikinya

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4278

Bab Kasih Sayang Serta Sopan Santun Nabi s.a.w Terhadap Anak Anak, Keluarga Dan Yang Lebih Dari Itu

Hadis   Anas bin Malik r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Pada malam ini aku dikurniakan seorang anak dan aku namakannya dengan nama datuk nenekku iaitu Ibrahim. Kemudian baginda menyerahkannya kepada Ummu Saif, isteri seorang tukang besi yang bergelar Abu Saif. Pada suatu hari baginda berangkat menemui Ummu Saif untuk menyerahkan anaknya dan aku mengikuti baginda sehingga bertemu Abu Saif. Abu Saif ketika itu sedang meniup api dengan menggunakan alat khas sehingga rumahnya dipenuhi dengan asap. Aku terus berjalan dengan cepat lantas berkata: Wahai Abu Saif! Ambil putera Nabi ini. Setelah Abu Saif mengambil putera baginda, Nabi s.a.w lalu terus berdoa kemudian merangkul puteranya yang masih kecil. Pada waktu itu baginda sempat menyatakan sesuatu kepada puteranya. Anas berkata lagi: Waktu Ibrahim putera Nabi itu hampir dengan kematiannya dan sewaktu beliau berada dalam buaian Rasulullah s.a.w aku melihat kedua belah mata baginda berlinang air mata seraya baginda bersabda: Aku berlinang air mata dan hati ini terasa sedih, namun aku tidak akan berkata sesuatu melainkan perkataan yang disukai oleh tuhanku. Demi Allah, wahai Ibrahim, sesungguhnya aku sedih atas keadaanmu

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4279

Hadis   Aisyah r.a katanya:
Pada suatu hari, beberapa Arab desa datang kepada Rasulullah s.a.w. Mereka bertanya kepada para sahabat: Apakah kamu pernah memeluk anak-anak kecil kamu? Para sahabat menjawab: Ya. Orang-orang kampung itu berkata: Akan tetapi, demi Allah, kami belum pernah memeluknya. Rasulullah s.a.w lalu bersabda: Aku tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya Allah mencabut rahmat dari kamu

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4281

Hadis   Abu Hurairah r.a:
Sesungguhnya Al-Aqrak bin Haabis pernah melihat Nabi s.a.w memeluk Hasan. Al-Aqrak lalu berkata: Sesungguhnya aku memiliki sepuluh orang anak, namun aku tidak pernah memeluk seorang pun daripada mereka. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya sesiapa yang tidak menyayangi, nescaya beliau tidak akan disayangi

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4282

Hadis   Jarir bin Abdullah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa tidak menyayangi sesama manusia, maka Allah tidak akan menyayanginya

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4283

Bab Rasulullah s.a.w Sangat Pemalu

Hadis   Abu Said Al-Khudriy r.a katanya:
Rasulullah s.a.w lebih pemalu daripada seorang gadis yang berada di dalam biliknya. Sesungguhnya jika baginda tidak suka kepada sesuatu (keadaan sedemikian) dapat aku lihat pada air mukanya

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4284

Bab Kasih Sayang Nabi s.a.w Terhadap Isteri isteri Baginda Dan Mengarahkan Kepada Pemandu Kenderaan Supaya Berlaku Lembut Terhadap Kaum Wanita

Hadis   Anas r.a katanya:
Rasulullah s.a.w pernah di dalam perjalanannya berkata kepada seorang pelayan berkulit hitam bernama Anjasyah yang sedang memandu kenderaan yang dinaiki oleh isteri-isteri Nabi. Maka Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: Wahai Anjasyah! Perlahankanlah kenderaan. Berlaku lembutlah kepada kaum wanita

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4287

Bab Sikap Nabi s.a.w Yang Menjauhi Patung patung Berhala. Baginda Memilih Yang Paling Mudah Dari Sesuatu Yang Di Haruskan Dan Baginda Akan Membalasnya Jika Kehormatan Allah Dipermainkan

Hadis   Aisyah isteri Nabi r.a katanya:
Setiap kali apabila Rasulullah s.a.w disuruh memilih di antara dua perkara, maka baginda akan mengambil yang paling ringan di antara keduanya selama mana ianya tidak berdosa. Jika yang paling ringan itu berdosa, maka baginda menjauhinya pula. Rasulullah s.a.w tidak pernah membalas kerana untuk diri sendiri melainkan jika kehormatan Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Agung dipermainkan

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4294


Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,565 other followers

%d bloggers like this: