Posted by: peribadirasulullah | Ogos 17, 2009

Hadis Berjabat Tangan, Musalsal Musafahah: Kritikan Riwayah Dan Dirayah

Akhir-akhir ini, tersebar di dalam masyarakat kita sebuah hadis yang didakwa diriwayatkan dengan cara yang istimewa iaitu setiap perawi akan menyampaikan hadis seperti mana yang diterima. Hadis itu berbunyi “Sesiapa yang berjabat tangan denganku atau berjabat tangan dengan orang yang berjabat tangan denganku maka akan memasuki syurga.” Seperti kandungan matannya, periwayatan ini dilakukan dengan cara berjabat tangan iaitu setiap daripada perawi akan berjabat tangan lalu membacakan matan ini.

Ada beberapa perkara yang perlu diletakkan di hadapan bagi menilai kedudukan hadis yang didakwa atas nama Rasulullah s.a.w. Pertama, kandungan matan mesti diperiksa terlebih dahulu bagi memastikan ia selaras dengan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis sahih yang lain serta prinsip-prinsip Islam. Kedua, jika kandungannya bercanggah maka ia harus diketepikan dan tidak mempunyai sebarang nilai. Ketiga, jika ia menepati atau termasuk di bawah prinsip-prinsip Islam maka para perawinya perlu dinilai untuk menentukan kesahihannya. Kaedah ini lebih dikenali sebagai Usul Dirayah dan Usul Riwayah.

Apabila kita melihat kepada hadis berjabat tangan ini, kita mendapati ianya mempunyai beberapa ciri hadis maudhu` sebagai yang telah dijelaskan oleh ulama hadis seperti Hafiz al-Sakhawi, al-Suyuti, Ibn al-Qayyim, Ibn al-Jauzi, Al- al-Qari dan lain-lain.

Tanda-tanda maudhu` ialah:

Pertama, bercanggah dengan ayat al-Quran:

“Allah s.w.t. berfirman, maksudnya: Sesiapa yang mengerjakan amal-amal soleh, baik lelaki mahupun wanita dalam keadaan mereka beriman, maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak akan dianiaya walaupun sedikit.” Surah al-Nisa’: 124.

Ayat ini dengan tegas mensyaratkan pentingnya keimanan dan amalan soleh untuk melayakkan diri ke syurga bukan semata-mata berjabat tangan. Begitu juga Allah menempelak golongan Musyrikin yang mempersoalkan urusan mengadap kiblat:

“Bukanlah menghadap wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman dengan Allah, hari Akhirat, malaikat-malaikat…..” Surah al-Baqarah: 177.

Kedua, bercanggah dengan prinsip dalam Islam. Jaminan untuk masuk syurga mestilah dengan mengakui tauhid kepada Allah dan beramal soleh. Sedangkan mengikut riwayat batil ini semata-mata berjabat tangan sudah layak memasuki syurga.

Apakah pereka hadis ini memahami dengan sejelas-jelasnya hakikat berjabat tangan dengan Rasulullah s.a.w. Apakah sahabat yang berjabat tangan dengan baginda berpada dengan perbuatan yang ringkas ini lalu duduk menanti untuk memasuki syurga. Tidakkah apabila para sahabat berjabat tangan dengan Rasulullah s.a.w. bererti mereka berjanji untuk taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan memberi sumpah setia untuk berjuang mempertahankan Islam.

Ciri hadis maudhu` ketiga yang terdapat di dalam riwayat musafahah ini ialah

Menjanjikan ganjaran yang besar-besar kerana perbuatan yang tidak seberapa. Berjabat tangan adalah perbuatan begitu ringkas dan kecil sehingga mendapat jaminan yang begitu besar.

Selain itu, hadis ini tidak terkenal di zaman sahabat dan Tabi`in. Sekian ramai para sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis daripada Rasulullah s.a.w. seperti Abu Hurairah, Aishah, Ibn Umar dan Ibn Abbas tidak meriwayatkan hadis ini. Oleh itu kita mengatakan hadis amat ganjil.

Al-Muammar yang satu-satu sahabat yang meriwayatkan hadis musafahah ini, hanya meriwayatkan hadis ini sahaja atau beberapa hadis lain yang tidak dikenali. Begitu juga perlu diambilkira, hadis ini tidak terdapat di dalam kitab-kitab hadis yang muktabar seperi Jami`, Sunan, Zawaid atau Musnad. Persoalannya, Di manakah letaknya hadis ini selama ini dan mengapa sekarang baru dipopularkan? Siapakah Muammar yang menjadi punca atau madar kepada hadis ini?

Hafiz Ibn Hajar memutuskan bahawa tiada perawi yang dikatakan sebagai al-Muammar itu. Ia hanyalah ciptaan para pereka-pereka hadis. Malah al-Suyuti mengatakan Mu`ammar itu serang pendusta dan dajjal, hadis batil dan tidak halal meriwayatkannya. (Abd al-Fattah Abu Ghuddah, Ta`liq Zafar al-Amani, hal. 275)

Kebanyakan hadis musalsal adalah tidak sahih. Bahkan menurut Imam al-Zahabi kebanyakannya adalah palsu kerana pendustaan yang dilakukan oleh para perawinya. (lihat al-Zahabi, al-Muqizah, hal. 44).

Walaupun sesetengah ulama menyebutkan hadis ini di dalam kitab mereka itu tidak menunjukkan bahawa hadis itu boleh diterima sebulat-bulatnya tanpa usul periksa. Umpamanya Shah Waliyullah al-Dahlawi ada menyebutkan hadis ini di dalam kitabnya al-Fadhl al-Mubin Fi al-Musalsal Min Hadith al-Nabi al-Amin. Ini tidaklah bermakna beliau mengatakan hadis itu boleh diamalkan dan dipegang. Sebagai pengarang, beliau hanya mengumpulkan hadis tersebut dengan sanadnya dan masih lagi tertakluk kepada kaedah penerimaan dan kritikan hadis. Hal ini sememangnya lumrah dalam penulisan kitab-kitab hadis yang mengumpulkan pelbagai jenis hadis yang tidak dinyatakan statusnya. Sebagai contoh, Imam al-Bukhari tidak beriltizam untuk mengeluarkan hadis-hadis sahih sahaja di dalam kitab-kitabnya yang lain seperti dalam Juz Raf` al-Yadain, al-Qira’ah Khlfa al-Imam dan kitab-kitab lain selain dari Sahih al-Bukhari. Begitu juga terdapat juga hadis maudhu` di dalam Sunan al-Tirmizi dan Sunan Ibn Majah. Tugas mereka ialah mencatatkan hadis-hadis yang sampai kepada mereka dengan sanad-sanadnya. Terserah kepada ulama hadis untuk menilai kedudukannya. Ini bermakna kewujudan hadis-hadis tersebut tidak boleh disebarkan untuk orang ramai tetapi hanya untuk tujuan dokumentasi bagi ulama hadis sahaja.

Shah Waliyullah sendiri menyebutkan hal ini setelah membincangkan kelas-kelas kitab hadis. Kata beliau:

Kitab-kitab hadis yang berada pada kelas ketiga iaitu Masanid, Jawami` dan Musannafat yang ditulis sebelum dan selepas zaman Imam al-Bukhari dan Muslim yang menghimpunkan hadis sahih, hasan, dhaif, ma`ruf, gharib, syazz, munkar, khata’, sowab, thabit dan maqlub serta tidak terkenal di kalangan ulama hadis.” (Hujjah Allah al-Balighah, jil. 1, hal. 134)

Kemudian beliau menyebutkan kedudukan kitab-kitab tersebut:

Tentang kitab-kitab kelas ketiga itu, maka hanya ulama yang mahir dan berautoriti yang menghafal nama-nama perawi dan penyakit-penyakit hadis sahaja yang layak untuk berinteraksi dengan hadis-hadis di dalamnya untuk tujuan beramal dan mengeluarkan pendapat berdasarkan kepadanya malah boleh juga untuk mutaba`ah dan syawahid.” (jil. 1,hal. 135)

Begitu juga halnya dengan Imam al-Tabari yang mencatat segala jenis riwayat di dalam kitabnya Tarikh al-Muluk Wa al-Umam. Di muqaddimah tarikhnya itu,  beliau menulis:

“Hendaklah pembaca kitab kami ini mengetahui sesungguhnya pegangan saya bahawa setiap perkara yang saya sebutkan dalam kitab ini adalah mengikut syarat yang saya beriltizam dengannya iaitu meriwayatkan berita-berita sebagaimana ia telah diriwayatkan dan saya hanya menyebutkannya sahaja. Apa yang terkandung dalam kitab ini tentang sebahagian kisah orang yang terdahulu. Antara berita tersebut ada yang menyebabkan pembacanya merasa benci atau pendengar merasa jelik. Ini kerana dia tidak dapat menerimanya sebagai sesuatu yang benar atau sesuatu hakikat. Oleh itu, hendaklah dia mengetahui bahawa berita-berita tersebut bukan datang daripada kami, tetapi ia datang daripada orang yang menyampaikannya kepada kami. Dan kami hanya menyampaikan seperti yang dibawakan kepada kami.” (jil. 1, hal. 8)

Kesahihan dari sudut matan dan sanad sangat penting kerana walaupun sanadnya sahih dengan rantaian perawi-perawi yang thiqah tetapi jika kandungan matan itu rapuh dan bercanggah dengan prinsip-prinsip dirayah maka ia tetap tidak sahih. Tidaklah menghairankan kerana sesiapa sahaja akan berani untuk mencipta satu kata-kata lalu dia meletakkan dengan sanad yang sahih hatta rantaian perawi-perawi emas bahawa ini adalah hadis Rasulullah s.a.w. Era periwayatan hadis secara bersanad telahpun berakhir. Hadis-hadis telah dibukukan sejak zaman imam-imam hadis lagi. Oleh itu sesiapa sahaja yang mendakwa sesuatu hadis yang ganjil yang tidak pernah diketahui oleh tokoh-tokoh hadis bermakna dia telah membawa masuk hadis palsu dalam dunia Islam.

Jika kandungan matan sudah tidak sahih maka tidak ada makna untuk dibahas kedudukan sanadnya. Apatah lagi apabila sepintas lalu didapati sanadnya itu mempunyai perawi-perawi yang tidak dikenali.

Mengenai perkara ini Allah s.w.t. berfirman, maksudnya:

Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu, orang-orang mukmin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri (mengapa tidak kamu berkata, ini adalah suatu berita bohong yang nyata.” (surah al-Nur: 12)

Firman-Nya lagi: “Dan mengapa kamu tidak berkata di waktu mendengar berita bohong itu: sekali-kali tidaklah patut kita memperkatakan perkara ini. Maha Suci Engkau (wahai Tuhan kami) ini adalah dusta yang besar.” (surah al-Nur: 16)

Dua ayat al-Quran ini menegaskan kepada kita supaya menilai kandungan sesuatu riwayat supaya ia benar-benar sesuai dengan peraturan syariat dan menepati dengan keadaan Rasulullah s.a.w.

Seperti hadis-hadis yang lain, musalsal masih tetap terikat dengan neraca dirayah dan riwayah untuk diakui sebagai sahih. Hadis musalsal ialah hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi dengan cara yang sama yang diriwayatkan oleh perawi-perawi sebelumnya sehinggalah sampai kepada Rasulullah s.a.w. Keistimewaannya hanya dari segi cara penyampaian sahaja bukan dari segi kedudukan sanadnya.

Memang diakui hadis musalsal yang sahih pada matan dan sanadnya mempunyai keistimewaannya kerana mempunyai ketepatan yang lebih berbanding dengan hadis biasa. Sebaliknya jika maudhu` boleh jadi kepalsuannya itu lebih teruk lagi.

Dalam hal ini, atas dasar nasihat untuk agama dan umat, kami ingin mengingatkan mana-mana individu atau mana-mana kelompok yang cuba menyebar hadis-hadis palsu sebenarnya bertujuan untuk menyesatkan masyarakat dan memalingkan mereka daripada berpegang dengan al-Quran dan al-Sunnah.  Malah usaha seperti ini merupakan fitnah untuk memperdayakan umat supaya mereka memilih jalan yang sesingkat mungkin untuk masuk syurga.

Amalan menyampaikan hadis musalsal berjabat tangan ini sebenarnya mirip kepada penjualan sili-sijil pengampunan yang berleluasa di kalangan penganut-penganut Kristian. Menurut mereka, dengan mengemukakan sejumlah bayaran yang tertentu kepada pihak gereja, seseorang itu akan memperolehi sijil tanda sucinya mereka daripada dosa-dosa tanpa melakukan apa-apa amalan. (al-Mawsu`ah al-Muyasarah fi al-Adyan wa al-Mazahib al-Mu`asirah, hal. 505). Dari satu sudut, penyebaran hadis musalsal ini lebih dahsyat lagi kerana tiada sebarang wang yang diperlukan untuk jaminan masuk syurga.

Kesan penyebaran hadis ini ialah menyebabkan orang ramai akan meyakini berjabat tangan dengan guru akan menjamin ke syurga kerana guru-guru sebelum gurunya berjabat tangan dengan Rasulullah s.a.w.  Ini amatlah berbahaya kerana perkara yang diyakini akan menjadi  aqidah sedangkan aqidah hanya sabit dengan nas al-Quran dan hadis yang sahih.

Sebahagian masyarakat terpedaya dengan hadis musafahah ini kerana mereka menganggap ianya sama dengan hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik. Pada hal antara keduanya adalah seperti siang dan malam, antara langit dan bumi.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda kepada Muaz bin Jabal: Sesiapa yang menemui Allah dengan tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatu, dia akan masuk syurga. Kata Muaz: “Bolehkah saya menyampaikan berita gembira ini kepada orang ramai? Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jangan, saya takut mereka akan berpada (dengan ucapan itu sahaja).” Hadis riwayat al-Bukhari no: 126.

Hadis ini menjelaskan bahawa menjaga keimanan dengan menjauhi syirik akan menjamin seseorang masuk syurga dan seseorang mukmin tidak boleh berpada dengan menjaga diri daripada syirik tetapi dia mestilah berusaha meningkatkan tahap keimanan dengan melakukan amal-amal kebajikan. Oleh itu, hadis ini tidaklah difahami secara mutlak malah mesti difahami mengikut perspektif hadis-hadis sahih yang lain. Di samping itu, ia menekankan prinsip tauhid dan menjaga aqidah manakala hadis musafahah yang palsu itu tidak mengandungi apa-apa tuntutan amalan melainkan semata-mata berjabat tangan dan mengharapkan berkat dengan orang yang mengambil berkat dengan Rasulullah s.a.w. Walhal, keselamatan di akhirat tidak boleh dijamin dengan menumpang orang lain. Allah s.w.t. berfirman:

“Di hari harta dan anak-anak lelaki tidak berguna, kecuali orang yang datang kepada Allah dengan hati yang bersih.” Surah al-Syu`ara’: 88-89.

Sebagai rumusan, hendaklah kita berhati-hati jangan sampai terlibat dalam meriwayatkan hadis palsu atas nama Rasulullah s.a.w. seperti hadis musafahah yang batil ini kerana ia bukan menjamin kita ke syurga tetapi yang nyata membawa kita ke neraka.

Apakah kita masih lagi tidak berpuas hati dengan sekian banyak hadis-hadis sahih yang termuat di dalam kitab-kitab hadis yang muktabar tentang janji-janji Allah kepada orang yang beriman dan beramal soleh. Sikap sebegini tidak ubah seperti Syiah Rafidhah yang tidak berpuas hati dengan hadis-hadis kelebihan Saidina Ali yang sahih lalu mereka mencipta beribu-ribu hadis batil.


Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 2,409 other followers

%d bloggers like this: